Bismillahirrahmaanirrahiim
Pemilihan adalah suatu perkara
yang tidak dapat tidak, kita sebagai manusia mesti lakukan dalam kehidupan kita
sehari-hari. Bangun dari tidur, kita ada pilihan antara mahu meneruskan tidur
atau bangun untuk solat. Bila bekerja, kita hadapi persimpangan antara mahu
melakukan kerja dengan kesungguhan atau tidak dan samada mahukan rezeki yang
halal ataupun haram.
Begitulah antara contoh
pilihan-pilihan dalam kehidupan kita sehari-hari. Dengan kata lain, kita tidak
dapat lari dari melakukan pemilihan dalam hidup. Dari pagi hingga malam, dari
perkara yang sekecil-kecilnya sehinggalah kepada perkara yang besar, kita akan
membuat apa yang kita anggap sebagai pilihan terbaik dalam hidup kita. Ada
orang menganggap hukum pilihan itu satu perkara biasa dalam kehidupan. Bukan
semua perkara yang dipilih mereka ada kena mengena dengan dosa dan pahala.
Anggapan mereka itu sebenarnya
meleset sekali kerana tiada satupun perkara di atas dunia ini akan terlepas
dari penghakiman Allah. Suruhlah mereka sebutkan satu perkara yang tiada kena
mengena dengan dosa dan pahala, nescaya tiada mereka temui. Firman Allah :
"Barang
siapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat
(balasannya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah
pun, nescaya dia akan melihat (balasannya)". (al-Zalzalah :7-8)
Akan tetapi dalam semua keputusan
pemilihan kita itu, adakah kita pasti pilihan kita itu adalah pilihan yang
diredhai Allah? Apakah yang seharusnya menjadi garis panduan kita dalam
memilih? Tentunya sebagai seorang muslim panduan dari al-Quran dan sunnah yang
akan menjadi kayu pengukur kepada setiap keputusan yang kita buat kerana kita
inginkan pahala dari Allah.
“Dan kami bentangkan kepada mereka dua jalan (Jalan yang baik untuk
dilalui dan jalan yang buruk untuk dijauhi)” (al - Balad : 10)
Salah satu perkara besar yang
telah digariskan oleh Islam dalam membuat pemilihan ialah memilih pemimpin. Keutamaan
memilih pemimpin ini telah dibuktikan oleh sahabat-sahabat rasulullah s.a.w
iaitu ketika wafatnya baginda. Mereka telah bermesyuarat di Saqifah Bani
Sai’dah bagi mengangkat pemimpin umat Islam yang baru, menggantikan rasulullah
s.a.w. Sehinggakan urusan pengkebumian rasulullah s.a.w dilewatkan kerana
mengutamakan pemilihan khalifah
Pentingnya memilih pemimpin dalam
Islam adalah kerana pemimpinlah yang akan mencorak kehidupan masyarakatnya. Baik
pemimpin, baiklah masyarakat. Sebaliknya kehancuranlah yang akan menimpa rakyat
jika pimpinan itu tergolong dari mereka yang terkeluar akhlaknya dari akhlak
Islam. Kenyataan ini munasabah kerana manusia sukar berbuat baik sekiranya dia
jahat dan dia akan menghindari kejahatan jika dia seorang yang baik menurut
agama.
Berkata ulamak “agama rakyat itu
menurut agama pemerintah”. Jika didalami perkataan ini, maka kita dapat lihat
betapa besarnya pengaruh pemimpin terhadap mereka yang dipimpin sehinggakan
agama mereka juga boleh dipengaruhi oleh pemimpin. Contoh semenanjung arab,
yang dahulunya adalah tanah penyembah berhala, tetapi kini berhala-berhala
itu lupus sama sekali apabila datangnya
Islam. Di Sepanyol yang satu ketika dahulu hampir semua penduduknya beragama
Islam, tetapi sekarang majoritinya kristian. Ini semua kerana pengaruh dari kepimpinan.
Oleh itu sangat penting kita memilih pemerintah dengan betul.
Tampuk kepimpinan ini adalah satu
amanah dalam Islam. Ianya tidak boleh diminta jika tidak diberi serta juga tidak
boleh ditolak sekiranya diberikan. Ini adalah prinsip asas dalam Islam. Akan
tetapi apabila bertembung dengan kezaliman, maka kita dibolehkan merebut kuasa
itu sekiranya mampu, demi untuk
menghapuskan kezaliman sebagaimana yang dinyatakan oleh rasulullah :
“Apabila kamu melihat kemungkaran maka hendaklah kamu menghalangnya
dengan tangan. Jika tidak mampu, maka dengan lisan. Jika tidak mampu, maka
dengan hati. Dan demikian (benci dengan hati) adalah selemah-lemah iman”(HR
Muslim)
Hadis ini menyuruh kita mencegah
kemungkaran dari merebak dengan tingkatan kekuatan iman yang kita ada,
sehinggakan dibolehkan mengambil kuasa dari pemerintah yang zalim. Bagi kita yang
tinggal di negara yang mengamalkan sistem demokrasi, ianya membolehkan kita
memilih pemimpin negara setiap lima tahun melalui pilihanraya. Maka jika kita
yang membuang pemimpin yang tidak amanah atau zalim itu bukanlah kerana gilakan
kuasa, tetapi mengambil kuasa itu untuk diberikan kepada yang lebih beramanah
dan mengikut undang-undang kerajaan sediada.
Sesuai dengan hadis rasulullah
s.a.w bersabda :
“ Jihad yang paling utama ialah berkata benar di hadapan pemerintah
yang zalim” (HR Tirmizi dan Abu Daud)
Tidak semuanya dari kita dapat
berkata benar di hadapan pemimpin zalim, akan tetapi kaedah yang terpakai di
Malaysia untuk menolak pemimpin zalim ialah setiap rakyat yang layak, berhak
menentukan kepimpinan negara melalui peti undi. Maka kita mesti menolak mereka,
iaitu pemimpin yang telah terbukti zalim dalam pemerintahannya.
Dalam konteks pembangunan pula,
negara akan hancur dengan penyelewangan-penyelewengan yang dilakukan oleh
tangan-tangan yang tidak amanah dan zalim. Kerana hanya keuntungan yang
difikirkan mereka. Mereka secara tidak lansung telah menghancurkan negara.
Lihatlah kehancuran yang telah berlaku keatas negara-negara yang dipimpin oleh
mereka yang korup. Keruntuhan berlaku sana-sini samada keruntuhan binaan
mahupun keruntuhan akhlak. Benarlah firman Allah :
“Telah timbul
berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang
telah dilakukan oleh tangan manusia “(ar-
Rum : 41)
Maka wajiblah kita berlaku adil
kepada diri kita, keluarga kita, masyarakat kita dan akhir sekali kepada negara
kita dengan menghalang kezaliman. Adil yang didefinasikan oleh Islam ialah
“meletakkan sesuatu itu pada tempatnya”. Firman Allah :
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan bersikap ihsan”
(an- Nahl : 90
Maka jika kita tidak meletakkan
sesuatu itu pada tempatnya, bermakna kita telah berbuat zalim kerana adil itu
lawannya zalim. Jika kita masih lagi memilih kepimpinan yang tidak amanah dan
zalim, maka kita bukan sahaja menzalimi diri, keluarga, masyarakat malahan
kepada negara kita. Apa jawapan yang akan berikan kepada Allah nanti dengan
kezaliman kita itu? Fikirkanlah masa depan agama, bangsa dan negara kita.
Jauhkanlah diri kita dari
kemurkaan Allah dengan memilih pemimpin yang amanah, adil dan berakhlak menurut
Islam. Supaya kita, keluarga, masyarkat dan juga negara selamat dari kemusnahan
kerana sikap amanah kita dalam memilih pemimpin yang betul. Dan semoga kita tidak
digolongkan dalam golongan orang yang membantu kezaliman. Firman Allah :
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku
zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang
kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan
sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” (Hud : 113)
Semoga Allah jauhkan. Wallahua’lam
Ustaz Mohd Nor Hamzah
Calon N18 DUN Bukit Payong
0 comments :
Post a Comment