Monday, April 29, 2013

Oleh : Mat Teropong

Nama-nama calon bagi pilihanraya umum ke 13, telahpun diishytiharkan pada 20hb April baru-baru ini. Sudah menjadi adat dalam kemeriahan bertanding akan pasti ada kekecewaan, kemurungan dan ketidakpuashatian keatas mereka-mereka yang namanya tercicir dari senarai calon. Ada diantara mereka mengambil jalan lain dengan mencalonkan diri sendiri sebagai calon bebas. Ada sesetengah pula akan cuba mensabotaj calon biarpun dari parti mereka sendiri. Pendirian mereka alang-alang tak dapat biar semua tak dapat.
Contoh berlaku keatas Datuk Kamilia Ibrahim yang merupakan Naib Ketua Wanita Umno Malaysia sebelum beliau meletakkan jawatan itu atas dasar tidak berpuashati dengan pencalonan Umno di Kuala Kangsar. Atas kepercayaan beliau bahawa bukan sahaja dia telah dikhianati tetapi juga seluruh harapan wanita Umno telah dirobek sebegitu rupa dengan terkeluarnya nama beliau sebagai calon.
Dengan ketuanya Datuk Shahrizat Jalil yang mengumumkan tidak bertanding kerana menghadapi masalah dengan perbicaraan hal berkaitan projek lembu, ditambah dengan ketua Puterinya juga tidak dicalonkan maka harapan wanita sepatutnya tergalas diatas bahu Kamilia, tentunya. Dan kerusi Dewan Undangan Negeri pastilah bukan tempatnya untuk dia bersuara bagi mewakili wanita keseluruhannya. Maka kerusi parlimen adalah tempat selayaknya bagi beliau.
Dengan nekad yang telah dibulatkan, atas dasar wanita dimalukan, maka keputusannya untuk bertanding sebagai calon bebas adalah satu keputusan sukar baginya yang telahpun bergelumang dalam Umno selama lebih dari 30 tahun (seperti katanya) tetapi amat tepat bagi memertabatkan maruah wanita yang dilihat telah dicalar teruk oleh Menteri Wanita – Najib  Razak. Berat mata memandang, berat lagi bahunya memikul maruah wanita. Syabas, Kamilia sekurang-kurangnya ada tindakan berani setelah diri dihina walaupun disingkirkan dari Umno. Dengan keberanian yang telah ditunjukkan oleh Kamilia mantan Naib Ketua Wanita Umno, sepatutnya ia menjadi contoh dan tauladan oleh pejuang-pejuang dalam Umno tak kira wanita atau pemuda.
Akan tetapi keberanian Kamilia itu kelihatannya tidak dijejaki oleh orang-orang muda dalam Umno di negeri Terengganu ini. Bayangkanlah tiada wakil bos-bos pemuda dalam senarai calon-calon PRU 13. Ketuanya Saiful Bahri Baharuddin (kiri) yang dikatakan bakal menjadi calon di Alur Limbat, nampaknya hanya berperanan sebagai tukang buat laporan polis sahaja (rujuk Sinar Harian Edisi Terengganu Rabu 24 April). Beliau kelihatannya telah disekat oleh penyandangnya iaitu Alias Abdullah. Walaupun Alias menghadapi masalah dengan bosnya Dato’ Ahmad Said, namun kerana kemungkinan kekalahan di Alur Limbat sekiranya Saiful bertanding, menyebabkan Ahmad terpaksa menerima Alias.
Gugurnya pencalonan Naib ketuanya Ustaz Khazan Che Mat (kanan) yang juga Ketua Pemuda Bahagian Setiu, adalah berita yang paling mengejutkan apabila beliau suatu ketka dahulu sering dipuji ramai orang. Masakan digugurkan? Hendak kata tua, eh....itukan pemuda, hendak kata menyeleweng, mana laporannya? Hendak kata apa lagi kalau bukan prestasi pemuda Umno secara keseluruhannya adalah tidak mencapai piawaian Ahmad Said bagi membantu beliau memerintah Terengganu sekiranya berkuasa kembali.
Apli Yusof nama yang terdengar akan menduduki kerusi Kuala Nerus sebagai calon, akhirnya tenggelam juga. Badrol Hisham Zaki pula, walaupun ada suara-suara yang cuba mengangkat beliau sebagai calon Parlimen Kuala Terengganu, namun dia kelihatannya masih terkial-kial dengan imejnya sebagai Ketua Pemuda Bahagian Kuala Terengganu. Suatu ketika ada terdengar ura-ura yang kuat bagi mengangkat Kamarudin Ali sebagai calon di DUN Kijal sekiranya Ahmad Said dinaikkan ke Parlimen atau tidak bertanding, tapi sama seperti nasib sahabat-sahabatnya yang lain, tercicir juga namanya. Nasib agak baik bagi Zaidi Muda di Bukit Payong dan Mohd Mahdi Musa apabila diberi kepercayaan untuk bertanding di DUN Kota Putera.
Kasihan melihat kepada sayap-sayap Umno ini kerana bos-bos mereka kesemuanya tidak tersenarai sebagai calon bagi kerusi-kerusi samada DUN atau Parlimen. Begitulah nilai perjuangan mereka didalam Umno. Amat teruk kepimpinan mereka sehinggakan tiada satupun kerusi yang boleh diperuntukkan kepada mereka? Kerusi manakah yang diperuntukkan kepada Wanita Umno Terengganu? Dimana Nordiana Shafie, ketua Puterinya? Bagi sayap pemuda Umno Terengganu, hal ini bukan baru, semenjak Datuk Sabri Alwi menyandang ketua lagi, Pemuda Umno Terengganu telah gagal meletakkan ketua mereka sebagai calon.
Bandingkan dengan calon-calon PAS yang mengemukakan ramai muka-muka baru dari kalangan orang muda. Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah (kiri) bertanding di Bukit Payong. Timbalannya Ustaz Riduan Hashim di Teluk Pasu. Manakala naibnya Ustaz Kamaruzzaman di Parlimen Hulu Terengganu. Bukan itu sahaja, bahkan exco pemuda juga diberikan tempat seperti Ustaz Sulaiman Sulong di Pengkalan Berangan, Ustaz Mohd Razki Alias di Ajil dan Ustaz Hishamudin Abdul Karim sebagai pencabar kepada Ramli Nuh di Tepoh.
Tidak ketinggalan juga wakil dari Pemuda PAS Pusat, yang mempertaruhkan Ketua Penerangannya Ustaz Ridhuan Mohd Nor sebagai calon Parlimen Besut berhadapan dengan mantan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh. Wakil dari Dewan Ulamak PAS Pusat Ustaz Khairuddin Aman Razali At-Takiri juga baru berusia 40 tahun. Pengganti kepada ayahandanya, Hilmi Harun di DUN Manir masih muda belia usianya. Dan yang terakhir Ustaz Hazri Jusoh yang bakal berhadapan dengan Datuk Seri Ahmad Said juga dari kalangan pemuda. Manakala bagi mewakili Dewan Muslimat, Ustazah Nafisah Ismail telah diberi tanggungjawab sebagai calon.
Begitulah PAS, bersungguh-sungguh memberikan komitmen dalam strategi menawan hati anak-anak muda dan kalangan wanita serta berusaha memberikan kehidupan yang lebih baik kepada generasi muda. Siapa lagi yang lebih memahami kehendak orang muda kalau bukan dari kalangan orang muda juga? Sama juga kepada golongan hawa. Maka disini jelas Umno Terengganu telah gagal dalam memahami aspirasi anak-anak muda Terengganu dengan kegagalan mereka menampilkan wakil-wakil pemuda mereka di negeri Terengganu. Akan tetapi saya yakin dan percaya pasti akan ada “Kamilia” versi Pemuda Umno Terengganu yang akan bangun mempertahankan maruah dan menyatakan hak bagi golongan mereka. Akan tetapi jika tiada, Pemuda Umno Terengganu patut belajar dari Kamilia hal berkaitan “kejantanan” bagi menegakkan hak mereka.
Motto pemuda PAS ialah Orang Mude Geng Kite sekarang jelas telah diusahakan dengan mengenengahkan calon-calon dari kalangan orang muda. InsyaAllah kita akan kota apa yang kita kata. Orang muda harapan negara dimasa depan, merekalah yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara nanti. Sambil tidak mengenepikan orang-orang lama, golongan muda diketengahkan dengan penuh bergaya. PAS hormati yang tua dan kasihkan yang muda. PAS untuk semua. Undilah PAS.
Oh ya sebelum menutup laptop ini, dimana agaknya kedudukan ulamak-ulamak Umno Terengganu? Dimana penasihat-penasihat agama menteri besar? Apakah mereka senasib dengan pemuda-pemuda Umno Terengganu? Takkanlah dua tiga orang ulamak sahaja yang diangkat jadi calon? Oh.....perjuangan menegakkan Islam versi Umno rupanya tidak memerlukan ulamak. Aduhai nasib badan......

0 comments :

ARKIB