Salam untuk rakyat Bukit Payong khasnya dan Terengganu
seluruhnya:
Saya ingin mengulas mengenai perjalanan Persidangan Dewan
Undangan Negeri Terengganu yang bermula
pada jam 9.30 pagi dan telah ditamatkan pada pukul 1.05 petang hari Isnin
bersamaan 30 September 2013. Kemungkinan rakyat sedang menunggu jawapan-jawapan
yang jujur dari pihak kerajaan tentang
kewangan, pembangunan dan kebajikan serta cara urustadbir negeri Terengganu Darul
Iman yang kita semua cintai ini. Disamping, rakyat tertanya tentang tragedi keruntuhan
masjid baru dibina di Dun Bukit Tunggal iaitu sehari sebelum persidangan ini.
Masihkah kita ingat tentang keruntuhan Stadium Sultan Mizan
sehari sebelum persidangan Dun dahulu? Untuk kali ini, sahabat saya, Adun Teluk
Pasu, YB Ustaz Ridzuan Hashim bersedia dan telah bangun awal untuk
membentangkan usul untuk dibincangkan dalam Dun tentang kes masjid runtuh ini,
tapi seolah-olah Yang DiPertua (YDP) Dun tidak menghiraunya dan mengutamakan YB
Jabi yg membentang usul tentang Syiah yang kita akui juga penting tetapi bukan
keutamaan ketika ini.
Kami wakil-wakil rakyat Pas bersedia agar usul tentang Syiah
diterima dan dibahas tapi yang menjadi keutamaan sepatutnya ketika itu ialah
usul tentang kepentingan rakyat dan negeri yang mana tentulah hal berkaitan
keruntuhan masjid ini lebih utama ketika itu. Apatah lagi dengan siri keruntuhan
bangunan dan binaan di Terengganu yang sudah melebihi 14 kali. Bukankah Umno
begitu vokal melaung-laungkan bahawa merekalah yang aktif membina masjid
(walaupun setiap kali waktu solat hampir kosong tanpa jemaah). Namun apabila
terkena kes begini, mahu ditutup seketat-ketatnya.
Soalan-soalan lain yang dikemukakan oleh Tuan Guru
Presiden sebagai wakil Rhu Rendang, Adun Batu Burok, Paka, Ladang dan saya
sendiri telah ditolak. Saya turut mengemukakan dua soalan lisan dan lima soalan
bertulis (anda semua boleh merujuk dalam Facebook saya soalan-soalan itu).
Soalan tentang pegawai-pegawai khas yang dilantik oleh YAB Menteri Besar. Beberapa
persoalan perlu dijawab tentang tujuh pegawai khas yang lantik, yang dikatakan
untuk menggantikan Pegawai Pembangunan Dun (PPD) yang dilantik sepanjang sesi
lalu (2008-20013). Antaranya :
-Adakah MB bercadang untuk menambah pegawai-pegawai khas
tersebut?
-Berapakah jumlah keseluruhan pegawai khas yang telah
sediada dan berapakah yang akan ditambah?
-Apakah bidang tugas dan peranan pegawai-pegawai khas
tersebut?
-Adakah ianya bertujuan untuk menjadi proksi MB bagi
mengekal dan mengukuhkan kuasa politik MB di Dun-dun agar tidak wujud lagi
pasukan yang akan mencabar kedudukan beliau?
Kita bimbang kewujudan jawatan ini hanyalah untuk menyuap
proksi MB dan calon-calon Umno yang telah ditolak oleh rakyat padahal adalah
lebih baik MB menggunakan duit tersebut untuk kebajikan dan kepentingan rakyat.
Cuba bayangkan, jika jumlah elaun pegawai-pegawai khas yang sangat besar itu
digunakan untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan bantuan pendidikan anak-anak Terengganu?
Berapa ramaikah yang akan mendapat manafaatnya? Bukankah itu lebih baik?
MB Terengganu juga
tidak menunjukkan sikap demokratik apabila menolak keputusan dan mandat rakyat
yang telah menyerahkan amanah kepada wakil-wakil rakyat yang telah dipilih oleh
rakyat di 15 Dun di Terengganu. Adakah pihak kerajaan umno menolak keputusan
pilihanraya dengan mengenepikan hak-hak rakyat ini? Ini persoalan-persoalan dari
satu soalan yang wajar dijawab oleh pihak kerajaan akan tetapi malang, ianya
ditolak. Begitulah banyaknya persoalan dan penjelasan, banyak yang perlu
dijawab dari keseluruhan soalan-soalan kami tapi ditolak kerana Umno takut pecah
tembelang dan temberang.
Kita juga berasa kesal dengan sikap YDP Dun yang
kelihatan agak gopoh untuk menamatkankan persidangan Dun sehingga tidak
bersedia untuk memberi ruang yang seluas-luasnya kepada ahli-ahli Dun.
Kelihatannya seperti ada sesuatu yang tidak kena dalam perjalanan sidang Dun
semalam.
Ini jelas apabila Adun Bandar mempersoalkan kesilapan
peringatan persidangan Dun yang lalu telah ditandatangani oleh YDP Dun.
Kesilapan dengan tidak mencatatkan Adun Bandar dan saya sendiri (Bukit Payong)
turut berucap dalam ucapan menjunjung kasih titah tuanku. Adun Bandar sudahpun
meminta untuk diperbetulkan diawal sidang Dun tetapi sehingga akhir sidang Dun
, YDP Dun hanya mampu memberi jawapan “kita akan semak” sedangkan dia boleh
menyemak dalam tempoh hampir empat jam sidang Dun itu berlangsung tapi dia
tidak mahu mengaku kelemahan dan kecuaian YDP Dun yang dipilih oleh Umno.
Beginilah sikap dan layanan yang diberikan oleh kerajaan
kepada rakyat Terengganu, sama juga seperti kerajaan pusat. Apa lagi kalau
bapaknya borek, anaknya rintiklah. Betapa mereka semua memandang masalah rakyat
tak perlu dibincangkan dengan panjang lebar. Kesombongan mereka terserlah dalam
sidang Dun ini dengan mengenepikan persoalan-persoalan yang lebih penting
berkaitan rakyat sedangkan mereka dipilih oleh rakyat. Begitu sahaja duit
rakyat lebur seperti leburnya siling Masjid Kampung Tebauk jatuh ke bumi.
Apakah yang Umno fikirkan? Dengan hanya kurang dari empat
jam bersidang sudah memadai masalah rakyat dihadam dan diselesaikan? Persidangan
bukannya diadakan tiap-tiap hari, ianya hanya beberapa kali dalam setahun,
iaitu hanya mungkin tiga atau empat bulan sekali. Benar sidang kali ini untuk
menambah peruntukan, akan tetapi apabila mereka membuka ruang untuk soal jawab,
kenapa pula disekat soalan-soalan dari pembangkang? Paling kurang sidang
semalam, ditangguhkan sehingga asar bagi membuka kepada semua mengemukakan permasalahan
rakyat. Dimanakah demokrasi yang Umno laung-laungkan?
Lihatlah sendiri wahai rakyat Terengganu sekelian,
bagaimana pembesar-pembesar Umno negeri ini memperlakukan hak-hak anda sekelian,
setiap kecurangan yang berlaku dikambus, ditutup sekemas-kemasnya sedangkan itu
adalah amanah rakyat kepada mereka yang mesti dimaklumkan kepada rakyat.
Begitulah seterusnya rakyat akan diperbodohkan kerana kuasa di tangan mereka.
Maka tanamkanlah dalam pemikiran kamu wahai rakyat bahawa Umno jelas mengkhianati
amanah yang kamu berikan.Wallahua’lam.
0 comments :
Post a Comment