Allahu Akbar,
Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar,
Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar,
Allahu Akbar, Allahu Akbar
Walillahil Hamd
Bismillah. Segala puji bagi
Allah yang menguasai sekelian alam ini. Tiba kita pada hari kebesaran Islam
iaitu Eid Adha. Besarnya pengertian Eid Adha kepada kita kerana didalamnya
mengandungi ibadah haji. Dinyatakan pula dari mulut Rasulullah s.a.w yang mulia
bahawa 10 hari terawal bulan Zulhijjah ini adalah hari-hari yang disukai oleh
Allah. Hari yang sangat cocok memperbanyakkan ibadat. Dalam meraikan hari yang
besar ini, kita tidak akan terlepas dari mengaitkannya dengan keluarga bapa
kepada agama hanif iaitu nabi Ibrahim a.s. Contoh dan teladan yang ditunjukkan
oleh baginda, seharusnya kita sebagai orang yang mengaku beriman mengambil
iktibar yang sebanyak-banyaknya daripada baginda.
Baginda seorang
yang digelar dalam al-Quran seorang yang penghiba, seorang yang penyabar
terhadap kaumnya, rajanya serta bapanya dalam menyampaikan agama Allah. Beliau
juga sangat berkeyakinan tinggi terhadap apa jua keputusan dari Allah kerana
mempercayai bahawa Allah tidak akan mensia-siakan dirinya. Baginda meninggalkan
isteri dan anaknya berdua di tengah-tengah padang pasir yang tandus dan di
lembah yang gersang dari air dan makanan. Isteri yang disayangi serta anak
lelaki yang sekian lama ditunggu kelahirannya, dengan perintah Allah, baginda
terpaksa berpisah sebagai ujian kenabiannya.
Begitu hebat
baginda mendidik isterinya, sehinggakan si isteri tidak merasakan goyah
keyakinannya ditinggalkan di lembah gersang itu apabila Ibrahim mengesahkan
bahawa perlakuannya itu adalah atas perintah Allah dan isterinya begitu yakin
menjawab yang Allah pasti tidak akan mensia-siakan mereka berdua. Itulah
keyakinan mereka terhadap janji-janji Allah, terhadap rezeki dan ajal maut
mereka. Mereka tekad menyerahkannya kepada Allah. Tidak hanya isterinya
terdidik dengan keyakinan kepada Allah itu, anaknya juga ditunjangi keyakinan
yang sama apabila bersedia untuk mati seketika menerima arahan untuk dijadikan
korban kepada Allah. Malah dengan kekuatan dalaman hasil tarbiyyah bapa kepada
ibu, ibu kepada anaknya dan anaknya kepada isterinya. Terbukti keyakinan kepada
Allah apabila Ibrahim a.s yang menziarahi anaknya yang ketika itu tiada di
rumah kerana keluar berburu, disambut oleh menantunya yang tidak tahu bersabar
dan lupa mengucapkan syukur dengan ujian kehidupan, lalu diisyaratkan Ibrahim
a.s kepada anaknya agar menceraikan isteri yang tidak tahu bersyukur itu.
Dan apabila
didatangi kali kedua Ibrahim ke rumah anaknya dan disambut oleh menantu baru baginda
yang sentiasa melahirkan rasa syukur dan yakin kepada Allah serta sabar, walaupun
dengan keadaan yang diketahui payah, maka Ibrahim mengisyaratkan kepada putera kesayangannya
agar mengekalkan isteri yang tahu bersyukur dan yakin itu. Hasil dari pasangan
yang redha kepada ketentuan dan yang berkeyakinan tinggi terhadap Allah ini,
dari zuriat mereka, maka lahirlah benih yang mulia iaitu Muhammad Bin Abdullah
s.a.w, keturunannya nabi Ibrahim yang menuruti keyakinan nenek moyang baginda,
dan memelihara agama Allah yang hanif iaitu agama Islam yang lurus yang akan
membawa manusia menuju kemuliaan dunia dan akhirat jika menurutinya dengan
benar.
Dapatkah kita
lihat dalam sirah nabi Ibrahim ini, bahawa ketaatan dan keyakinan kita terhadap
Allah akan membuahkan hasil yang begitu gemilang bukan sahaja di dunia malah di
akhirat lebih-lebih lagi? Sehinggakan keturunan baginda dimuliakan Allah.
Inilah kualiti yang tertinggal dalam diri orang-orang Islam masakini.
Kehilangan keyakinan terhadap Allah menghumbankan mereka ke lembah yang hina.
Kualiti keyakinan kita kalau adapun sangatlah rendah dan lebih malang kerana
kita kelihatan sepertinya sudah tiada lagi keyakinan terhadap Allah.
Keruntuhan
akhlak umat Islam adalah hasil daripada kehilangan keyakinan kepada Allah. Kita
hanya dilihat menjalankan ritual-ritual Islam yang kadang kala tiada kita faham
apakah makna disebalik ibadat kita itu. Lebih menyayatkan hati ibadat-ibadat
itu ditambah dengan sesedap rasa kerana tiada kefahaman terhadap ilmu dan
keyakinan terhadap Allah. Hasil dari penyelewengan-penyelewengan ibadat dan
keyakinan ini, maka timbullah berita-berita tentang rasuah, pecah amanah,
penyelewengan itu dan ini, seperti isu penyelewengan yang didedahkan oleh
Laporan Audit Negara berkenaan perbelanjaan yang begitu rakus tangan-tangan
yang tidak bertanggungjawab terhadap duit rakyat. Islam tidak pernah mengajar
penganutnya melakukan hal yang demikian, membaham segala yang diamanahkan
kepada mereka dengan cara yang batil. Islam yang asalnya indah, menjadi hodoh
hasil dari perbuatan golongan ini.
Kejahatan inil
adalah hasil dari hilangnya keyakinan manusia terhadap Allah, tiada lagi rasa gerun akan
janji azab dan tiada rasa kenikmatan terhadap janji nikmat bagi yang melakukan
kebaikan. Tiadalah pernah sampai ke telinga kita bahawa para anbia yang yakin
dengan janji-janji Allah, mengerjakan penyelewengan bagi menjaga kepentingan
diri, tidak pernah sama sekali. Penyelewengan hanya terjadi bermula dari hati
yang kotor, jauh dari keyakinan yang benar terhadap Allah dan sering memikirkan
habuan dunia sahaja. Bagi mereka yang hilang keyakinan terhadap Allah, dunia
inilah tempatnya mereka mengumpulkan segala-galanya.
Tidak sebagaimana
keyakinan para rasul seperti yang dinukilkan dalam surah as-Syuaara apabila
kesemua nabi Nuh, Hud, Saleh, Lut serta Syuaib menegaskan kepada kaum mereka
bahawa “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku
sampaikan (dari tuhanku), balasanku hanyalah terserah kepad Allah tuhan
sekelian alam. Bermaksud mereka tidak mengejar kesenangan atau balasan di dunia
apatah lagi secara batil. Inilah dia, bagi yang hatinya yakin sepenuhnya terhadap
Allah, mereka menunggu saat ketika Allah melaksanakan pembalasan untuk
mendapatkan bahagian mereka yang hakiki.
Maka sayugialah
kita semua bersempena Eid Adha ini, bersama-sama mengikut jejak-jejak tinggalan
nabi Ibrahim a.s serta keluarga baginda atas keyakinan mereka yang hakiki,
tiada kegoyahan sedikitpun terhadap Allah. Kita bina keyakinan itu dari dalam
diri, kita bentuk ia dalam keluarga kita dan seterusnya kepada masyarakat kita
agar keyakinan itu akan menghalang segala penyelewengan dan kejahatan yang ada
di sekeliling kita. Takutlah Allah, yakinlah bahawa balasan azab dan nikmat itu
benar maka insyaAllah kita akan menjadi insan yang bertaqwa. Wallahua’lam.
Allahu Akbar,
Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar,
Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar,
Allahu Akbar, Allahu Akbar
Walillahil Hamd.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Adun Bukit Payong
9 Zulhijjah 1434
0 comments :
Post a Comment