• Tak akui salah tikam isteri
Mohd Najib mengaku tidak bersalah dengan sengaja mencederakan isterinya, di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
 
KUALA TERENGGANU - Seorang suami dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya, dalam satu kejadian 30 September lalu.

Bagaimanapun, Mohd Najib Mohtar, 27, dari Kampung Surau Panjang, di sini, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu.

Bapa kepada seorang anak itu mengaku tidak bersalah dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan dengan menikam menggunakan pisau di paha kiri dan tangan kiri mangsa, Intan Suhana Rani, 26, di kediaman mereka di Kampung Surau Panjang, di sini, pada 30 September lalu, jam lebih kurang 1 pagi.

Dengan itu, Mohd Najib yang turut memiliki rekod jenayah lampau atas kesalahan menyalahgunakan dadah berdepan hukuman penjara boleh sampai tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah manakala Mohd Najib tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tidak bersalah Mohd Najib direkodkan, Nurunaim menetapkan 4 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Selain itu, Mohd Najib turut dibenarkan dibebaskan dengan jaminan RM2,500 dengan dua orang penjamin.

Semalam, Sinar Harian ada melaporkan hasrat murni seorang isteri menegur perbuatan panas baran suaminya yang memukul dan memarahi anak perempuan mereka berusia empat tahun, bertukar episod ngeri apabila dia ditampar dan ditumbuk.

Bukan itu sahaja, mangsa yang cuba melindungi anak tunggal mereka itu turut cedera di tangan dan paha dalam usaha menyelamatkan dirinya daripada cuba ditikam dengan pisau oleh suspek.