Thursday, February 13, 2014


Marang : Kerajaan negeri Terengganu diminta mengkaji dengan lebih mendalam rancangan mengagihkan zakat dengan memberikan barang keperluan disebalik agihan wang seperti dahulu kerana bimbang berlaku perkara yang tidak sepatutnya.
Kebimbangan itu jelas berasas kerana pengagihan itu mungkin akan dimonopoli oleh sesetengah pihak dan sekaligus akan menimbulkan perbalahan oleh mereka yang tidak terpilih bagi sama-sama membekalkan barangan tersebut.
Selain itu juga, wang dilihat sebagai medium yang lebih memudahkan penerima zakat bagi menyelesaikan lebih banyak masalah keperluan mereka berbanding barang-barang keperluan.
Pendapat ini disuarakan oleh Ketua Penerangan PAS Terengganu YB Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika ditemui semalam.
Beberapa hari lalu dalam satu laporan akhbar, Kerajaan Negeri Terengganu melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah mengumumkan untuk memperkenalkan cara baharu pengagihan zakat kepada asnaf-asnaf.
Menurut pengarahnya, pengagihan zakat dahulu dalam bentuk wang akan digantikan dengan cara menyediakan sebanyak 13 barangan keperluan kepada penerima-penerima.
Kaedah agihan baharu yang diperkenalkan awal tahun ini akan dihulurkan kepada seramai lebih dua ribu orang asnaf-asnaf diseluruh negeri Terengganu
Kerajaan juga melantik seramai kira-kira 70 orang pembekal bagi mengagihkan bantuan tersebut disetiap daerah di Terengganu, yang mana negeri Terengganu mempunyai tujuh daerah.
Mengulas lanjut, Ustaz Mohd Nor berkata, selain keperluan yang mungkin tidak sama antara satu sama lain, kemungkinan harga barangan mungkin tidak akan ada tawar menawar dan menyebabkan kos yang sepatutnya murah, menjadi mahal.
Peningkatan kos ini menurutnya lagi terbukti apabila pembekal yang dilantik juga akan menghantar barangan keperluan ke rumah-rumah penerima, sekaligus kos pengangkutan juga semestinya akan dikira.
“Kita bimbang harga akan jadi lain apabila sistem ini dilaksanakan iaitu barangan keperluan yang dibekalkan makin menjadi mahal.
Selain itu, 13 barang keperluan seperti yang dinyatakan, sudah pasti tidak menjadi keperluan kepada semua walaupun kerajaan cuba untuk berbuat demikian dan kemungkinan pembaziran berlaku itu ada.
Mungkin sesetengah lebih memerlukan lebih wang bagi belanja sekolah anak, yuran itu dan ini serta pelbagai keperluan lain yang semakin menggila kenaikkannya, jadi mereka boleh tambah belanja dengan wang itu.
Saya juga bimbang ini hanya projek untuk memberikan keuntungan lebih kepada peniaga-peniaga yang terpilih bagi memastikan keuntungan tetap mereka setiap bulan.
Jumlah RM 1 juta sebulan itu banyak, dan apabila dibahagikan dengan 70 orang peniaga terpilih setiap daerah, maka peniaga-peniaga terpilih ini akan mendapat kira-kira RM2000 sebagai pendapatan tetap sebulan,” ujar beliau.
Beliau juga turut risau akan mutu barangan yang akan diberikan kepada penerima-penerima, seperti aduan yang pernah terjadi kepada bekalan barangan oleh Kedai Rakyat 1 Malaysia yang lalu.
Oleh itu beliau menggesa agar kerajaan kembali semula kepada cara lama iaitu mengagihkan wang tunai kepada penerima-penerima, supaya asnaf-asnaf itu boleh memanafaatkannya mengikut keperluan mereka dengan lebih tepat.

"Walaupun pengagihan ini tidak melibatkan semua wang zakat penerima tetapi kita percaya pembahagian wang itu lebih baik," kata beliau mengakhiri temubual.

0 comments :

ARKIB