Tuesday, May 7, 2013


(Ustaz Mohd Nor menunjukkan calitan dakwat kekal di jari beliau sebagai tanda selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Tok Dir Kedai Buloh pada 5 Mei lalu)
 
Bukit Payong : Keputusan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) pada 5 Mei yang lalu menyaksikan penyandang kerusi DUN Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berjaya mengekalkan kerusi  tersebut dengan majoriti sebanyak 613.
Lebih dari itu PAS juga berjaya merampas kembali DUN Alur Limbat melalui wakilnya yang baru iaitu Ustaz Ariffin Deraman dan mengekalkan DUN Rhu Rendang serta Parlimen Marang melalui presidennya Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
Pertambahan undi sebanyak 498 undi berbanding PRU ke 12 iaitu 115 undi ini agak seimbang jika dibandingkan dengan pertambahan jumlah pengundi baru untuk PRU kali ini.
Beliau yang kelihatan keletihan kerana tidak putus-putus berkempen sepanjang 15 hari waktu berkempen kemudiannya terus ke kawasan berhampiran Pasar Kedai Buloh sebaik mengetahui keputusan rasmi bagi bertemu dengan para pengundi yang sedia menunggu.
Dalam ucapan meraikan kemenangan itu, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas-petugas parti, para pengundi yang mengundi PAS samada di peringkat DUN ataupun Parlimen.
“Ucap terima kasih kepada semua yang telah membantu kemenangan ini.
Ini bukan kemenangan saya seorang tetapi ia adalah kejayaan semua pihak yang terbabit samada dari kalangan petugas dan pengundi dan juga mereka yang terlibat secara langsung atau tidak bagi kemenangan ini,” katanya.
Mengulas tentang polar pengundian kali ini, beliau berkata undi orang muda amat menggalakkan berbanding dengan undi dari orang tua  atau yang lebih dikenali sebagai saluran satu.
Ini tegas beliau membuktikan PAS lebih dipercayai oleh golongan muda berbanding Umno yang dilihat gagal memahami kehendak dan aspirasi golongan muda.
Sebagi contoh, paling ketara ialah ketiadaan wakil pimpinan Pemuda Umno yang diangkat sebagai calon bagi PRU kali ini, menunjukkan kelemahan kepimpinan golongan muda dalam Umno.
Walaubagaimanapun tidak dinafikan bahawa wujudnya budaya “cah keting” dikalangan pengundi Umno apabila di beberapa peti undi di kubu Umno, majoriti yang diperolehi Umno ternyata lebih rendah berbanding PRU yang lalu.
Ini antara beberapa faktor penting kemenangan PAS di Bukit Payong selain daripada faktor utama iaitu kerja keras yang berterusan dan strategi yang  tersusun oleh jentera-jentera PAS.
InsyaAllah Bukit Payong akan lebih sejahtera dengan kemenangan ini dan PAS akan cuba membawakan pembangunan rohani dan jasmani kepada penduduk Bukit Payong.

0 comments :

ARKIB