Wednesday, August 8, 2012

Petikan : Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Ahli Pas di peringkat akar umbi mahu parti itu keluar segera daripada pakatan pembangkang kerana kebiadaban DAP serta Pengerusinya, Karpal Singh terhadap Islam merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima dan tidak boleh dimaafkan.

Bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, mereka berpendapat selagi Pas berada dalam pakatan tersebut, perjuangan Islam yang selama ini menjadi asas perjuangan parti tersebut akan terus dikekang hebat oleh DAP.

Ujarnya, ia merupakan satu hakikat yang berlaku dan atas sebab itu golongan ulama di dalam Pas perlu tampil meminta pucuk pimpinan parti mengkaji semula kerjasama parti tersebut dengan DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Rata-rata ahli akar umbi yang saya temui menyifatkan kenyataan Karpal sebagai kurang ajar dan biadab kerana ia melibatkan kesucian Islam dan kepentingan umat Islam. Ini bukan soal Pas tetapi soal Islam dan umat Islam.

Sebab itu ada di antara mereka yang mahu Pas keluar daripada pakatan pembangkang kerana mereka melihat Pas tidak mampu berbuat apa-apa selagi terus menjadi anggota pakatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas ketegasan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa partinya akan menentang habis-habisan sebarang cubaan melaksanakan hukum hudud jika pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang.

Kontroversi perlaksanaan hukum hudud timbul semula berikutan dakwaan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hasan kononnya DAP kini memahami dan menerima pendirian parti itu mengenai negara Islam tetapi ia segera disanggah Karpal yang menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur mengenai perlaksanaan hukum tersebut.

Dalam pada itu, Mohamed Hafiz mengakui rata-rata ahli kini semakin keliru dengan hala tuju perjuangan Pas berhubung penubuhan negara Islam bukan lagi keutamaan kepada parti tersebut.

Pernah ada orang bertanya kepada saya, pilihan raya akan datang mahu pilih siapa? Ini adalah disebabkan mereka keliru dengan kedudukan Pas yang semakin diketahui ke mana hala tuju parti ini,’’ ujarnya.

Menjawab satu soalan, beliau tidak menolak kemungkinan kedudukan Islam akan bertambah teruk sekiranya pakatan pembangkang diberi mandat untuk memerintah.

Bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri Mohamad pula berkata, Pas terus dayus dengan kecaman serta penolakan terang-terangan DAP terhadap Islam.

Beliau berkata, Pas lebih rela menentang keras UMNO walaupun ia merupakan parti milik orang Islam yang sepatutnya kedua-dua parti berkenaan boleh menjalinkan kerjasama atas nama Islam.

Hakikatnya beliau berkata, Pas sebenarnya melakukan kerja sia-sia termasuk menganjurkan himpunan hijau menuju ke Putrajaya kerana pada akhirnya parti paling dominan dalam pakatan pembangkang adalah DAP yang jelas biadab menentang Islam.

Begitu juga dengan PKR yang bersekongkol dengan DAP menolak Islam. Parti ini juga akan menjadi parti dominan. Jelas, motif kerjasama Pas dengan DAP hanyalah untuk menang kerusi sahaja.

Mengenai isu hudud, apa yang nyata Pas memainkan isu itu kerana sedar ia boleh menarik undi orang Melayu dan Islam sedangkan jika diimbau kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ia cukup menggambarkan bahawa Pas takut kepada tuntutan DAP," katanya.

Sementara itu, di Kuala Terengganu, Ketua Dewan Pemuda Pas Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd. Nor Hamzah berkata, Karpal merupakan seorang pemimpin yang sudah terlalu tua dan berfikiran lama.

Malah, beliau berkata, pemikiran Karpal turut dianggap tidak lagi sesuai dengan perkembangan politik semasa era sekarang sehingga kewujudannya menjadi satu bebanan kepada pakatan pembangkang.

Mohd. Nor seterusnya mempersoalkan Karpal yang tidak berhak menyentuh hal-hal berkaitan syarak termasuk pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan Pas.

"Apa hak beliau mahu sentuh pasal hukum Islam termasuk soal hudud yang kita perjuangkan.

Sebenarnya usia beliau sudah terlalu tua dan pemikirannya lama, tak sesuai lagi dengan suasana politik masa kini.

Jangan banding usia dia dengan usia saya. Saya masih muda dan pemikiran saya sesuai dengan suasana sekarang," katanya.



0 comments :

ARKIB