Tuesday, July 3, 2012

Marang : Kerajaan hari ini digesa agar membawa amil-amil yang tidak amanah ke muka pengadilan untuk didakwa.

Gesaan ini dibuat oleh Adun Bukit Payong Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika mengulas tentang laporan isu pemecatan 39 orang amil yang dikatakan tidak beramanah oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) semalam.
Semalam sebuah akhbar mengemukakan laporan pemecatan amil-amil oleh Maidam itu yang disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat.
Menurut Khazan, pemecatan serta merta itu dilihat wajar sebagai pengajaran bagi mereka yang tidak amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.
Yang DiPertua Maidam, Datuk Mazlan Hashim berkata, pihaknya mempunyai bukti kukuh untuk mensabitkan kesalahan mereka dan tindakan tegas yang diambil itu merupakan pengajaran kepada yang lain agar tidak sesekali mengulangi kesalahan yang sama.
Mengulas lanjut tentang hal ini, Ustaz Mohd Nor meminta Maidam menyenaraikan sepenuhnya kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh amil-amil tersebut.
“Maidam seharusnya menyenaraikan sepenuhnya kesalahan-kesalahan mereka itu, bukan hanya sebahagian sahaja.
Kita minta supaya mereka didakwa atas kesalahan ini kerana kita bimbang berlaku kezaliman ke atas amil-amil ini dan ini sepatutnya Maidam hindari.
Sekiranya ada diantara amil-amil tersebut merasakan diri mereka dizalimi maka kita mohon agar mereka sedia menyatakan sikap mereka atas hal ini,” saran beliau.
Tambah beliau lagi isu ini perlu ditangani dengan serius kerana ia mungkin boleh menyebabkan kepercayaan orang ramai kepada amil-amil akan musnah.

0 comments :

ARKIB