Tuesday, November 29, 2011

Petikan Sinar Harian:

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT) sangsi dengan tindakan kerajaan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), bagi memberi ruang yang lebih luas untuk pelajar aktif berpolitik.

Ketuanya, Mohd Nor Hamzah berkata, selain melihat keputusan itu tidak lebih untuk memancing undi dalam kalangan mahasiswa pada pilihan raya umum akan datang, pihaknya tidak yakin berhubung kebebasan yang diberi melalui pindaan seksyen terbabit.

Menurutnya, pelaksanaan itu dikhuatiri tidak memberi kebebasan sepenuhnya, terutama mereka yang membangkang kerajaan berhubung sesuatu isu sehingga mewujudkan ketidakseimbangan dengan mereka yang menyokong parti memerintah.

“Dari sudut pelaksanaan, kita bimbang kebebasan menjurus kepada mereka yang menyokong parti memerintah sahaja.

“Sebaliknya menyekat, menghalang mana-mana pihak yang tidak menyokong parti kerajaan. Kita juga khuatir sekiranya pemimpin sebenarnya mahu melihat mereka yang tidak menyokong mereka dan mengenakan tindakan tertentu seperti menarik balik biasiswa dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.

Berdasar ketidakyakinan itu, Mohd Nor turut mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa bebas untuk memantau pelaksanaan undang-undang itu bagi memastikan ia berjalan lancar.

Jelasnya, keadaan itu penting bagi memastikan pelajar-pelajar tidak didiskriminasi atau dikenakan sebarang ugutan sekiranya mengeluarkan pandangan berhubung sesuatu isu yang tidak memihak kepada kerajaan.

“Kita minta ada jawatankuasa bebas terdiri daripada pembangkang dan mahasiswa bagi memantau pelaksanaan undang-undang tersebut,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengharapkan kerajaan bersikap jujur dan ikhlas terhadap pindaan Seksyen 15 itu sambil menyifatkan tindakan itu bagus kerana memberi kebebasan berpolitik buat mahasiswa.

Beliau menegaskan, kebebasan itu sepatutnya sudah lama dinikmati kelompok cerdik pandai itu dalam menunjangi tradisi keintelektualan.

Pada masa sama, katanya, peluang yang diberi kerajaan itu perlu diguna sepenuhnya untuk membuat perubahan besar memandangkan sudah berpuluh-puluh tahun kebebasan mereka disekat.

0 comments :

ARKIB