Saturday, November 12, 2011

Petikan Sinar Harian:


Kuala Terengganu – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan pilihan raya umum lebih awal bagi memberi peluang kepada pengundi membuat penilaian.

Ketuanya, Mohd Nor Hamzah berkata, penetapan tarikh lebih awal juga melambangkan sistem demokrasi yang diamalkan dalam negara lebih telus selain memberi peluang kepada semua pihak bersiap sedia.

Menurutnya pilihan raya adalah perkara yang besar dan tidak harus disembunyikan daripada pengetahuan umum dengan mengadakan pilihan raya secara mengejut.

“Perkara ini menjadi persoalan besar kepada masyarakat yang sepatutnya ditentukan awal supaya masyarakat boleh berfikir dan membuat penilaian kerana mereka mempunyai hak memilih,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini.

Bagaimanapun, Mohd Nor menjelaskan bahawa tarikh pilihan raya di negara ini tidak pernah diumumkan lebih awal, sebaliknya pilihan raya mengejut bertujuan memberi kelebihan kepada satu pihak.

Mengulas mengenai ramalan pembangkang mengenai tarikh pilihan raya yang dijangka berlaku tahun ini, beliau berkata PAS bersedia bila-bila masa sahaja menghadapi kemungkinan tersebut.

Pihaknya tetap menyerahkan perkara berhubung tarikh sebenar pilihan raya kepada Najib.

Bagaimanapun beliau tidak menolak pilihan raya boleh berlaku bila-bila masa sahaja termasuk musim banjir memandangkan Kelantan dan Terengganu dijangka mengalami banjir besar tahun ini.

Berdasarkan sejarah katanya, pilihan raya di negara ini pernah berlaku pada musim haji, namun menjelaskan Umno sebenarnya mendapat pandangan tertentu untuk memastikan pilihan raya menyebelahi mereka.

“PAS bersedia bila-bila masa dan melihat suasana ketika ini, banyak isu berlaku termasuk laporan audit yang didedahkan baru-baru ini di Parlimen,” katanya

0 comments :

ARKIB