Sunday, November 27, 2011

Petikan Sinar Harian:


KUALA TERENGGANU – Pas menyifatkan kenyataan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengundurkan diri sebagai isyarat kepada golongan muda supaya meneruskan perjuangan parti.

Pengarah Penerangan Pas Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah percaya kenyataan itu bukanlah bermaksud Abdul Hadi tidak akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya, beliau yakin, ia isyarat kepada ahli parti terutama golongan muda untuk bersiap sedia bagi meneruskan perjuangan dalam politik di negara ini.

“Kita rasa kenyataan be-liau sebelum ini bertujuan memastikan keyakinan dalam kalangan pelapis baru untuk meneruskan perjuangan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Sinar Harian bertarikh 12 November lalu bertajuk ‘Abdul Hadi sedia undur beri laluan muka baru’.

Memetik laporan tersebut, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan sedia mengundurkan diri bagi memberi laluan kepada muka baru yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Ditanya jika benar keadaan itu berlaku, Wan Sukairi menjelaskan bahawa Pas tidak bergantung pada kekuatan individu, sebaliknya memberi tumpuan terhadap prinsip perjuangan parti.

Mengulas lanjut, pemimpin yang tidak bertanding juga tidak akan hilang jawatan dalam politik dan tetap akan diberi kedudukan sesuai sebagaimana yang berlaku terhadap Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Harun Din.

“Tidak timbul isu apabila tidak bertanding akan hilang pengaruh. Dalam Pas, kita tidak pernah anggap apabila bersara, pemimpin tidak pegang apa-apa atau jawatan politik akan hilang. Pas tidak seperti Umno,” katanya.

Beliau bagaimanapun yakin, Abdul Hadi akan tetap bersama meneruskan perjuangan dalam parti.

Menurutnya, kepimpinan Abdul Hadi juga dilihat mampu membawa Pas ke arah lebih baik apabila kewibawaan beliau bukan sahaja diiktiraf di peringkat negeri dan negara tetapi juga antarabangsa.

“Keadaan ini terbukti apabila banyak negara luar menjemput beliau menjadi salah seorang pemimpin untuk memberi penerangan berhubung sesuatu isu peringkat global,” katanya.

0 comments :

ARKIB