Wednesday, October 12, 2011

Petikan Sinar Harian

BUKIT PAYONG - Cantik di bahagian luar tetapi rupa-rupanya pelbagai kerosakan berlaku di dalam bangunan. Itu gambaran keadaan Pasar Baru Kedai Buloh di sini, yang baru sahaja beroperasi selepas dirasmikan September lepas.

Beberapa peniaga ketika ditemui Sinar Harian mendakwa, terdapat keretakan pada bahagian tepi bangunan itu termasuk sistem aliran air longkang yang tidak berfungsi dengan sempurna, sehingga menyebabkan saluran terbabit tersumbat dan berbau busuk.

Selain itu, atap bangunan pasar baru itu turut dilaporkan mengalami kebocoran.

Seorang peniaga yang ditemui, Mohd Salahuddin Yusof, 31, berkata, kemudahan air juga tidak disediakan di dalam tandas pasar itu menyebabkan keadaan persekitaran menjadi busuk sehingga memberikan kesan buruk kepada peniaga.

“Masalah itu telah berkali-kali dikemukakan kepada pihak bertanggungjawab, namun masih belum ada sebarang tindakan bagi menanganinya. Sewajarnya kekurangan ini diatasi segera untuk memberikan keselesaan peniaga dan pengunjung,” katanya.

Peniaga buah-buahan, Mohd Yusof, 53, pula berkata, pendapa- tan peniaga kini semakin merosot berbanding ketika menjalankan perniagaan di pasar lama Kedai Buloh yang terletak berdekatan bangunan baru berkenaan.

Menurutnya, kemerosotan pendapatan peniaga itu mungkin boleh diatasi jika setiap masalah bangunan pasar dibangkitkan peniaga dapat diselesaikan pihak pengurusan bangunan.

Sebelum ini, Pasar Baru Kedai Buloh yang membabitkan belanja lebih RM9 juta itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin pada 20 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad ketika berucap pada majlis perasmian bangunan itu berkata, pembinaan pasar baru itu adalah contoh jelas keprihatinan kerajaan terhadap golongan peniaga.

Beliau berucap di hadapan lebih 9,000 penduduk yang hadir memeriahkan majlis itu berkata, daerah Marang kini terus maju dan pembangunan untuk masyarakat di kawasan itu tidak pernah dipinggirkan.

“Beberapa premis kedai di bandar Marang juga sedang rancak dilaksanakan dan semua ini adalah hasil sumbangan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Difahamkan Pasar Baru Kedai Buloh berkenaan dibina pada awal 2007 di atas kawasan seluas 1.5 hektar, menempatkan 16 unit kedai makan, 128 gerai kering, buah-buahan dan sayuran, 44 gerai basah dan 18 lot kedai pelbagai barangan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kedai Buloh, Mohd Nor Omar, 70, berkata, permasalahan peniaga di pasar baru itu telah dikemukakan, tetapi sehingga kini masih menunggu tindakan lanjut pihak bertanggungjawab di pasar itu.

Katanya, pihaknya telah memanjangkan aduan kepada pihak terbabit setelah sering menerima rungutan peniaga dan berharap aduan dibuat mendapat perhatian segera demi menjaga imej kerajaan di mata rakyat.

Sinar Harian akan mendapatkan komen pengurusan pasar berkenaan iaitu pihak Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) dalam masa terdekat.

0 comments :

ARKIB