Friday, February 21, 2014

*Laporan berdasarkan ketika tinjauan bersama YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
 
MARANG – Sikap membisu yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri Terengganu terhadap penduduk dan peniaga yang tinggal dan berniaga di sepanjang jalan dari Merchang ke Jambu Bongkok dekat sini, meresahkan mereka.
 
jalan mercang jambu bongkok5Ini kerana mereka tidak mendapat maklumat tepat dari kerajaan berkenaan status tanah yang telah diambil bagi melaksanakan projek pembesaran jalan dari Merchang ke Jambu Bongkok itu dan meninggalkan mereka dalam kebingungan.
 
Luahan hati sebahagian penduduk dan peniaga itu didengari oleh Ketua Penerangan Pas Terengganu YB Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika menziarahi mereka bagi bertanya khabar tentang status mereka.
 
Seorang peniaga roti, Norhashimah Mamat yang telah menjalankan perniagaan itu sejak sekian lama berkata tiada hitam putih dan pengesahan terutama mengenai pampasan yang akan diberikan atas perobohan kedai mereka.
 
“Takdok (tiada) orang kerajaan mari (datang) nok bagitahu apa-apa sampai ke hari ni.
Exco pun takdok mari jumpa dengan kita,” kata beliau yang mendakwa sudah beberapa kali turun naik Pejabat Tanah Marang itu.
 
jalan mercang jambu bongkok3Mereka sekeluarga yang ditemui juga merasa tidak puas hati diatas cara kerajaan dan kontraktor menguruskan hal ini, terutama berkenaan sempadan tanah.
 
Norhashimah juga turut hairan kerana batu penanda tanah yang diletakkan dihadapan kedainya, tetapi pelebaran jalan dibuat sehingga lebih kurang tiga meter kedalam kedainya.
 
Ditambah lagi dengan ura-ura bahawa tanah yang sudah termasuk didalam rezab jalan tidak akan dibayar pampasan, dia berpendapat hal itu tidak adil bagi mereka yang sudah lama berniaga di situ.
 
“Macamana kita masa nak dapat kelulusan bina gerai dulu, dia terima geran tanah ni dan dok (tidak) timbul soal dimana tanah rezab dan sempadan jalan?
 
Le ni (sekarang), timbul pasal tanah rezab pulok (pula) masa nak ambik tanah ni.
 
Sedangkan kita duduk bayar lesen sokmo (sentiasa), duit kita dia ambik, bila kena hal gini, kalau dia tak mahu bayar, teruklah kita,” ujarnya kesal.
 
jalan mercang jambu bongkok4
Untuk rekod, sebanyak 15 buah rumah, tujuh buah premis perniagaan dan lebih 30 gerai jualan terutamanya gerai jagung akan terjejas disebabkan projek pelebaran jalan ini.
 
Beberapa orang lagi peniaga yang ditemui juga tidak mendapat gambaran yang jelas berkenaan status perniagaan mereka samada akan diberikan pampasan ataupun tidak.
 
Seorang peniaga jagung yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Lah memaklumkan bahawa dia hanya mendengar dari mulut ke mulut yang para peniaga akan dibayar seribu ringgit bagi setiap gerai jagung.
 
Tiada pengesahan samada dari pihak kerajaan mahupun wakil rakyat ataupun kontraktor berkenaan berita pampasan itu.
 
Menurut Kak Lah lagi, penjual biasanya memperolehi hasil jualan antara RM200 sehingga RM300 sehari dan jika pada hari minggu dan cuti am, hasil jualan boleh mencecah sebanyak RM500 sehingga RM600.
 
Menurutnya lagi, dia mungkin tidak akan meneruskan jualannya lagi selepas ini kerana tiada tanah untuk berniaga.
 
Seorang lagi peniaga, Puan Puteh pula berkata dia hanya mendapat tahu berkenaan pampasan itu melalui pekerja-pekerja yang terlibat dengan pelebaran jalan itu sahaja berkenaan adanya pampasan dan bukannya dari pihak yang berkuasa.
 
jalan mercang jambu bongkok6Masalah pelebaran jalan ini bukan sahaja melibatkan penduduk dan peniaga sahaja, malahan turut melibatkan tanah perkuburan yang ada berdekatan Kampung Pasir Putih juga turut termasuk dalam projek pelebaran ini.
 
Menurut maklumat dari beberapa penduduk yang sedang menggali kubur ketika tinjauan ini dilakukan, pelebaran jalan itu telah menimbus beberapa kubur lama yang sedia ada.
 
Namun dimaklumkan, wakil Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah datang bagi melihat keadaan tanah kubur tersebut semalam dan penduduk sedang menunggu keputusan JHEAT.
 
Mengulas isu ini, YB Ustaz Mohd Nor berkata tidak sepatutnya kontraktor terbabit datang dan mengerjakan tanah yang terlibat dengan pelebaran ini terutama berhampiran kubur secara semberono.
jalan mercang jambu bongkok2
 
“Walaupun kubur lama, mereka sepatutnya melihat jajaran kubur ini dahulu dengan nasihat dari pihak berwajib dan orang-orang kampung yang tahu dimana letaknya kubur-kubur ini.
 
Dalam Islam, kita percaya sesetengah mayat mungkin tidak mudah reput, jadi sepatutnya kita gali dan pindahkan mayat-mayat ini sebagai menghormati mayat dan juga ahli keluarga mereka,” kata beliau.
 
Beliau juga menyatakan pendedahan ini bukan bertujuan bagi menghalang atau menolak sebarang pembangunan, tetapi seharusnya setiap pembangunan itu memikirkan akan kesan kepada masyarakat sekeliling.
 
Ianya juga bagi memastikan semua projek pembangunan yang menggunakan duit rakyat, dilaksanakan dengan betul dan telus kerana projek ini akan dinilai oleh semua pihak.
 
Beliau seterusnya mendesak agar kerajaan membuat satu kenyataan rasmi berkenaan projek pelebaran jalan ini yang menurutnya ada beberapa perkara yang memerlukan penjelasan lanjut dari kerajaan.
 
jalan mercang jambu bongkok7“Persoalan seperti siapakah kontraktor yang mendapat projek ini?
 
Kenapa ianya dijalankan secara tidak teratur iaitu tanpa notis dan pemberitahuan umum terutama kepada penduduk dan peniaga di sepanjang jalan ini.
 
Juga berapakah pampasan yang akan diberikan kerajaan terhadap penduduk dan peniaga-peniaga yang 100 peratus melayu itu sebagai ganti rugi keatas perniagaan mereka.
 
Dan juga kerajaan juga perlu menjelaskan kekeliruan terhadap sempadan tanah yang dikatakan telah diambil sejak tahun 1963 lagi, kerana ada beberapa penduduk yang mengadu sempadan tanah tidak jelas.
 
Sehingga kini masih tiada wakil kerajaan mahupun exco datang bagi menjelaskan perkara ini,” tegas beliau.

0 comments :

ARKIB