Saturday, February 15, 2014

Bismillahir Rahmaanir Rahiim

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) amat wajar dimansuhkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan bukan sekadar untuk dikaji semula. Walaupun PBS bertujuan bagi mengimbangi pemarkahan secara fizikal dan mental iaitu bagi menilai IQ dan EQ iaitu sistem penilaian yang tidak berasaskan peperiksaan sahaja ataupun seperti yang dinyatakan oleh KPM, PBS ini adalah bentuk pendidikan holistik, namun perlaksanaannya yang begitu tunggang langgang dilihat sebagai satu kegagalan dalam perlaksanaan sistem PBS ini.
Paling bermasalah adalah sistem perekodan butiran ataupun pencapaian pelajar yang menjadi antara punca utama beban yang tidak sepatutnya dikenakan ke atas guru-guru. Ada yang terpaksa memasukkan data pada lewat malam, ada juga juga yang terpaksa bangun awal pagi semata-mata kerana ini. Keadaan ini sudah pasti akan menjejaskan kualiti rehat yang diperlukan oleh guru-guru, terutama bagi yang telah berkeluarga, bertambah lagi jika guru itu sudah mempunyai anak. Itu belum dikira jika pasangan guru itu tinggal berjauhan kerana lokasi sekolah (yang kadang-kadang sengaja dipisahkan kerana alasan politik).
Banyak lagi keburukan ataupun perkara yang menyusahkan terutama yang akan terbeban keatas guru-guru dan juga ketidakadilan permarkahan kepada pelajar-pelajar yang didedahkan diatas perlaksanaan PBS ini. Antara yang lain ialah permarkahan yang tanpa rujukan piawai oleh guru-guru, tiadanya projek perintis tetapi perlaksanaannya terus ke seluruh negara, perbezaan soalan bagi mencapai “Band” dan setelah tiga tahun, penyeragaman masih gagal dilakukan oleh kementerian. Kesusahan juga timbul kepada ibu bapa yang tinggal di pendalaman bagi mengakses internet dan masalah berganda bagi mereka yang tidak tahu menggunakan komputer.
Janji penambahbaikan oleh kedua-dua menteri pelajaran ditabur secukup rasa bagi menyedapkan hati pihak yang menolak perlaksanaan PBS kerana menyusahkan ini. Janji pertama oleh Menteri Pelajaran II Dato’ seri Idris Jusoh pada 10 September 2013 di Shah Alam dalam Program Bicara Minda bagi penambahbaikan PBS berlalu bersama angin. Kemudiannya datang lagi janji baru oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran I Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa hari lalu untuk mengangguhkan perlaksanaan PBS sehingga masalah-masalah yang ada diselesaikan.
Saya melihat PBS ini juga dilihat sebagai makmal ujikaji yang mana pelajar-pelajarnya menjadi bahan ujikaji manakala guru-guru pula menjadi robot di dalam makmal. Seharusnya kita sedar bahawa bayak perancangan yang dibuat oleh kerajaan, tidak menepati aspirasi rakyat, tetapi “trial and error” yang mana menjadi mangsa adalah rakyat terbanyak samada dalam bentuk kerahan tenaga mahupun kerahan wang iaitu pembaziran wang rakyat.
Terbukti bukan sahaja guru-guru yang membantah, malahan Profesor DiRaja Engku Aziz sendiri menggambarkan kejahatan “tangan-tangan gatal” yang jelas menganggu, menyebabkan sistem pendidikan negara menjadi caca marba. Lebih dari itu beban yang ditambah dengan sengaja keatas guru-guru ini dikhuatiri adalah kerana projek-projek yang disediakan oleh kroni bagi mengisi kantung masing-masing dan bukannya ikhlas kerana untuk menaikkan prestasi pelajar-pelajar. Ayuh guru-guru, anda semua bukan golongan yang boleh dipergunakan oleh kelompok-kelompok yang mempunyai agenda mereka tersendiri. Anda adalah pendidik, yang mendidik anak bangsa, saya menyeru kepada semua warga guru agar menyatakan sikap anda semua.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Pas Terengganu
15 Rabi’ul Akhir 1435 bersamaan 15 Februari 2014

0 comments :

ARKIB