Friday, February 14, 2014

Petikan : Bernama

MARANG – Meskipun harga gula dan beberapa bahan mentah meningkat, namun 30 peniaga di sekitar Pasar Kedai Buluh di sini masih menjual makanan dengan harga rendah.
 
Contohnya air teh ‘o’ (tanpa susu) gelas kecil berharga 50 sen dan kuih-muih lima biji RM1.
 
Seorang peniaga kuih, Akma Abdullah, 45, berkata 16 jenis kuih di kedainya masih dijual dengan harga murah sejak lima tahun lepas meskipun harga bahan mentah utama seperti tepung, telur dan gula meningkat sekali ganda.
 
“Kebanyakan kuih yang kakak jual ni kuih tradisional, harga memang sama sejak dulu…kalau naik pun, lima sen saja dan ada lagi kuih yang kakak jual berharga 20 sen dan 25 sen sebiji.
 
“Karipap inti ikan, kuih tako, belebat ubi, tepung bungkus dan kuih koci, kakak jual lima biji RM1, kuih kasidah empat biji RM1, peneram pula kakak jual tujuh biji RM1…kalau jual mahal-mahal nanti ramai pula orang merungut,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kedainya di sini Selasa.
 
Menurut Akma, beliau masih mengekalkan harga rendah meskipun mendapat keuntungan sedikit, kerana kebanyakan pembelinya merupakan pelanggan tetap sejak 15 tahun lepas.
 
Bagi peniaga nasi ayam dan masakan panas yang hanya mahu dikenali sebagai Lili Suhana, 33, beliau mengenakan RM3.50 untuk sepinggan nasi ayam sama dengan dua lagi peniaga nasi ayam di pasar berkenaan.
 
“Selain jual nasi ayam, kakak juga jual nasi goreng, mee sup, kuey teow sup dan semua ini hanya RM3 semangkuk manakala untuk semangkuk nasi air, kakak jual RM2.50,” katanya.
 
Lili Suhana turut menawarkan harga minuman dengan kadar rendah seperti 50 sen untuk secawan teh ‘o’ walaupun guna teh uncang dan RM1.60 untuk segelas milo ais berbanding harga biasa RM2 segelas.
 
Fatimah Ismail, 56, yang menjual nasi dagang turut mengekalkan harga lama walaupun harga beras pulut dan ikan tongkol tidak menentu dan kadangkala meningkat mengikut harga pasaran.
 
“Dah hampir 11 tahun mak cik berniaga, harga barang dah berkali ganda naik, tapi mak cik tetap jual dengan harga berpatutan, dulu harga RM1.50, tapi sekarang mak cik naikkan 50 sen sebab memang tak dapat nak tampung lagi harga ikan dan beras.
 
“Harga ikan tak tentu, kadang-kadang RM8 sekilo, kadang-kadang sampai RM10 sekilo, tapi mak cik tetap jual dengan harga RM2 sebab bila mak cik tak naikkan harga, pelanggan akan terus datang membeli,” kata Fatimah yang menjual 14kg nasi dagang sehari.
 
Peniaga air batu campur (ABC) Abdul Mutalib Ali, 75, yang sudah 40 tahun berniaga berkata walaupun harga ABC yang dijual hanya RM1, bahannya tetap mewah kerana beliau turut meletakkan buah kabung, kacang serta jagung di dalamnya.
 
“Pakcik juga menjual sepinggan mee goreng dengan harga RM1. Pakcik tak jual mahal, walau untung sikit tapi sekurang-kurangnya boleh menyara seorang cucu yang tinggal dengan pakcik,” katanya.
 
Bagi Ahmad Shawal Ibrahim, 40, yang bekerja di Chendering berkata beliau memilih menjamu selera di kedai makan Pasar Kedai Buluh ini kerana harga makanan yang dijual sangat murah berbanding tempat lain terutama harga minuman yang dijual bawah RM1.
 
“Boleh dikatakan setiap hari saya akan singgah makan di sini kerana banyak makanan yang enak dan sering mengajak rakan sepejabat makan di kawasan ini kerana ia dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.
 
Seorang lagi pelanggan, Khamis Salleh, 49, berkata beliau sering mengunjungi pasar berkenaan untuk menikmati kuih tradisional serta nasi dagang dan berpuas hati dengan tahap kebersihan di kawasan itu walaupun lokasinya di sebelah pasar basah.
 
“Di sini senang nak dapat kuih tradisional, murah pula tu, di tempat lain tak ada lagi orang jual kuih lima biji RM1 dan walaupun kuih dan makanan lain jual dengan harga murah, tapi kuantitinya masih banyak dan memang saya puas hati dalam semua aspek,” katanya.- BERNAMA

0 comments :

ARKIB