Saturday, April 12, 2014


 
PAS sentiasa terbuka dalam menerima sesiapa sahaja sebagai sahabat, tanpa mengira latar belakang mereka asalkan mereka sanggup memberi ruang ataupun kerjasama kepada penyebaran dan perkembangan Islam.

Demikian yang dinyatakan oleh Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang semalam ketika menerima kunjungan muhibbah wakil NGO Haji Kamarudin Abdullah di rumahnya semalam.
Beliau memberi contoh tahaluf siyasi yang diadakan PAS dengan DAP, yang mana kesannya sangat positif apabila mereka mula membaca buku-buku Islam bagi menambah lagi pengetahuan mereka berkaitan Islam.
Keterbukaan PAS ini adalah salah satu daripada ramuan kejayaan mereka dalam mendepani halangan-halangan politik semasa iaitu saling lengkap melengkapi keperluan diantara masyarakat majmuk di Malaysia.
“Kita bersama bergerak membuang halangan yang ada untuk kelangsungan Islam.
Sehingga ada sesetengah orang kristian masuk Islam kerana surah at-Tiin yang mana permulaan ayat surah itu menyebut demi buah tiin, demi buah zaitun dan demi bukit Sinai dan demi tanah (Mekah) yang aman ini.
Mereka mendapati penyebutan buah tiin dan zaitun itu merujuk kepada tempat lahir nabi Isa a.s yang sememangnya subur dengan buah tiin dan zaitun, Bukit Tursina bagi nabi Musa dan tanah yang aman ialah Mekah.
Oleh kerana merasakan adanya hubungan ini maka ada orang kristian masuk Islam,” terang beliau.
Tambah beliau lagi, bangsa arab adalah bangsa yang paling keras jiwa mereka tetapi akhirnya tunduk kepada Islam melalui rasulullah, menunjukkan dengan kaedah dakwah yang berkesan akan membawa kejayaan.
Beliau menyarankan agar pendakwah-pendakwah memberikan kefahaman dan penerangan kepada sasaran dakwah mereka dengan fakta, hujah dan dialog dan bukannya menyerang serta bergerak dalam organisasi yang tersusun.
Maka tiada sebab sasaran dakwah itu akan menolak Islam selepas mereka difahamkan dengan fakta-fakta yang jelas tentang kebenaran islam.
Presiden NGO Islamic Propagation Society International (IPSI) Haji Kamarudin Abdullah yang diraikan sebagai tetamu Presiden PAS itu, melahirkan rasa gembiranya dengan kesanggupan kerjasama dari pihak PAS.
Beliau yang datang bagi mengadakan program penerangan berkenaan berdakwah kepada bukan Islam di sekitar Marang berkata banyak kelemahan yang beliau perhatikan dalam cara berdakwah kepada bukan Islam.
Beliau menyarankan agar para pendakwah membuang pemikiran sempit seperti menekankan bangsa, puak, parti dalam menyampaikan dakwah.
Kefahaman yang lemah dalam ilmu Islam juga memberikan kesan yang besar kepada cara berdakwah dan kadangkala menjadikan Islam itu lebih buruk pada pandangan bukan Islam.
“Kelemahan sebahagian pendakwah ialah tidak faham sepenuhnya berkenaan Islam.
Pendakwah mesti meningkatkan ilmu mereka dari semasa ke semasa dan kemantapan kefahaman kepada sesuatu perkara mesti diasah agar dapat salah faham dapat dielakkan,” tegas beliau.
IPSI ialah satu pertubuhan bukan kerajaan yang melakukan dakwah kepada bukan Islam dengan aktif disemua peringkat yang berpusat di Pulau Pinang dimana mereka adalah satu-satunya pertubuhan dakwah yang mempunyai bangunan sendiri.

0 comments :

ARKIB