Friday, August 2, 2013

Petikan : Malaysian Insider




Petisyen pilihan raya yang dibuat oleh PAS untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, Terengganu mencatat rekod kos petisyen paling tinggi apabila pempetisyen dikenakan kos sebanyak RM150,000.

Hakim Mahkamah Pilihanraya Kuala Terengganu, Datuk Mariana Yahya menolak petisyen yang dibuat seorang pengundi di kawasan itu, Ahmad Zamani Yusof.

Ahmad Zamani diwakili peguam Saipudin Othman, Faris Irwan Mustafa dan Mohd Azwan Mohd Rosli.
Mahkamah menganugerahkan kos sebanyak RM50,000 kepada setiap respondan petisyen ini iaitu Adun Kuala Berang, Tengku Putera Tengku Awang; Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pegawai Pengurus pilihan raya DUN ini.

Sebelum ini, hakim yang sama menganugerahkan hanya RM30,000 kepada wakil rakyat PAS dari DUN Teluk Pasu Ridhuan Hashim dan Rantau Abang, Alias Harun.

Petisyen yang dikemukan oleh BN terhadap mereka ditolak oleh mahkamah sama.

Dalam pilihan raya umum lalu, calon PAS Muhyidin Abdul Rashid kalah kepada Tengku Putera dengan majoriti 449 undi di DUN Kuala Berang.

Kos petisyen

Sebelum ini, rekod kos petisyen dicatat oleh calon PKR untuk parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, apabila dikenakan kos RM120,000.

Ekoran itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa bimbang dengan penolakan petisyen pilihan raya yang dibuat dengan alasan teknikal sedangkan mahkamah meletak jumlah kos yang tinggi setiap petisyen.

Semalam Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu membangkitkan isu ini dalam sidang medianya.

"Kes pengendalian pilihan raya semacam ada pengarahan. Ia diselesaikan tanpa perbicaraan dan kos yang dituntut mahkamah amat luar biasa dikenakan ke atas petisyen dari PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat," kata Mohamad Sabu dalam sidang media itu.

Sehubungan itu, beliau mewakili PAS melahirkan rasa pelik dengan kepincangan yang berlaku sedangkan sebelum ini SPR dan kerajaan berkata, mana-mana yang tidak berpuas hati dengan perjalanan pilihan raya ini boleh membawanya ke mahkamah.

"Jangan salahkan rakyat jika ada persepsi di kalangan mereka mahkamah sekarang kembali ke zaman (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) dulu yang boleh ditentukan keputusannya dan berlaku beli belah hakim yang menyebabkan rakyat tidak mendapat keadilan sebenarnya," tambah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dalam sidang media sama.

Beliau bimbang, selepas protes kepada SPR, rakyat akan buat protes pula di depan Istana Keadilan kerana tidak berpuashati dengan pengadilan kes petisyen pilihan raya ini.

Hulu Besut

Dalam perbicaraan hari ini, mahkamah pilihan raya Kuala Terengganu turut menolak petisyen yang dibuat terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Hulu Besut, Nawi Mohamad.

Seorang pengundi, Salleh Sidek membuat petisyen terhadap Nawi kerana mendakwa beliau memberikan rasuah, satu kesalahan yang dinyatakan dalam peraturan pilihan raya.

Mahkamah juga menolak petisyen ini dengan kesilapan teknikal dan mengarahkan pempetisyen membayar kos RM50,000 terhadap respondan iaitu Adun BN.

Pempetisyen turut diwakili peguam Saipudin Othman, Faris Irwan Mustafa dan Mohd Azwan Mohd Rosli.

0 comments :

ARKIB