Monday, March 18, 2013

Petikan : Sinar Harian
Suami mengamuk bakar tilam
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan
MARANG – Harapan seorang isteri supaya suami dapat menjaga dirinya selepas kematian bapa hanya tinggal harapan, sebaliknya hidupnya pula jadi tidak tentu arah apabila suami terjebak najis dadah.

Malah, suaminya itu tergamak membakar katil dan tilam di bilik tidur mereka di Kampung Surau Haji Mat Zain di sini, petang kelmarin selepas permintaannya mendapatkan RM50 tidak dapat ditunaikan.

Dalam kejadian antara jam 2.30 hingga 3 petang itu, suspek berusia 31 tahun itu membakar katil dan tilam bernilai RM1,000, bertujuan merosakkan harta milik mereka di rumah keluarga isterinya.

Mangsa berusia 29 tahun berkata, sebelum kejadian, suaminya datang ke tempat kerjanya di Kampung Padang Midin untuk meminta sejumlah wang.

“Saya tiada wang dan kemudian, suami seperti mengugut akan melakukan sesuatu sebab saya tidak dapat tunaikan permintaannya.
 
“Suami terus pulang ke rumah dan melepaskan geram dengan membakar katil serta tilam,” katanya.
Mangsa yang belum mempunyai anak dan tinggal bersama ibu dan empat adik beradiknya di rumah terbabit berkata, dia sering berdepan dengan kejadian seumpama itu.
Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis.
 
Difahamkan, suspek yang pernah terlibat dalam kes penagihan dadah sebelum ini dan dipercayai masih dalam pengawasan polis ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan kejadian berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

0 comments :

ARKIB