Sunday, October 14, 2012

Marang : Dewan Pemuda PAS Terengganu hari ini mendesak SPRM menyiasat secara terperinci dan menyeluruh berkenaan dana yang dikatakan diperolehi Umno Sabah sebanyak RM40 juta baru-baru ini.
Ketuanya Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata perkara ini bukan perkara kecil kerana ianya sendiri diakui oleh menteri Umno.
Beliau kemudiannya menyatakan bahawa inilah caranya Umno terus kekal berkuasa iaitu dengan mendapat dana asing.
“Mereka berhelah dengan mengatakan bahawa PR mendapat dana asing sedangkan kes ini membuktikan sebaliknya.
Kita mendesak SPRM agar menyiasat perkara ini, kerana berkemungkinan dana itu datang dari mereka yang berkepentingan,” ujarnya.
Ustaz Mohd Nor melahirkan kebimbangan berkenaan penglibatan pihak asing ini dengan monopoli dan penguasaan kuasa asing terhadap kepimpinan negara dan menjejaskan hala tuju kehidupan rakyat.
Menurut beliau lagi, tindakan Umno ini bercanggah dengan aspirasi rakyat yang mahukan kerajaan yang bersih.
Malah hal ini katanya menunjukkan perbezaan yang jelas antara PAS dan Umno.
“Tuan Guru Presiden dan Tuan Guru Mursyidul Am sanggup disiasat oleh SPRM bagi membuktikan kerajaan mereka bersih dari penyelewengan.

Sedangkan Najib, dia tak mahu mendedahkan siapa penyumbang wang kepada Umno Sabah dan menganggap perkara itu biasa dalam politik,” tambah beliau lagi.
Dalam laporan beberapa buah portal berita, seorang usahawan berbangsa cina yang dikenali sebagai Micheal Chia telah ditahan pada 14 Ogos 2008 di lapangan terbang antarabangsa Hong Kong.
Beliau didapati membawa sejumlah wang sebanyak RM40 juta dalam bentuk matawang Singapura dalam bagasinya sebelum menaiki pesawat yang menuju ke Kuala Lumpur.
Dalam perkembangan lain mengenai laporan pertemuan antara PM dan George Soros, beliau menegaskan inilah rupa sebenar Umno.
“Dulu PM kata sebuah NGO mendapat dana dari Soros, bekas PM pula kata satu undi kepada pembangkang, bermakna satu undi kepada Soros.
Tapi bila ada laporan yang mengatakan bahawa PM juga ada bertemu dengan Soros, dia kata tak ada apa-apa.
Mungkin kita boleh kata satu undi kepada BN bermakna satu undi untuk Soros?,” tanya beliau sinis.
Beberapa hari lalu dalam laporan berita, dinyatakan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib ada bertemu dengan George Soros, namun Perdana Menteri kemudiannya menyatakan pertemuan itu adalah atas permintaan Soros.
Oleh itu beliau mengajak rakyat untuk melakukan perubahan dan memilih PR dalam PRU akan datang agar PR dapat mendirikan kerajaan yang bersih dan telus.

0 comments :

ARKIB