Oleh Mat Teropong:
Apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata bahawa kemasukan Irshad Manji ke Malaysia adalah kerana dia didalangi
oleh individu tertentu maka saya melihat beliau seolah-oleh cuba mengocak-ngocakkan
air yang tenang dan jernih agar menjadi keruh dan kemudiannya senang bagi
beliau untuk menangguk.
Terlalu mudah plot cerita yang cuba dia reka itu, seperti cerita
Hindustan cerita sama yang diulang-ulang. Cuma watak dan tempat sahaja yang
berbeza. Balik-balik kisah cinta terhalang, kisah wira penyelamat yang
kekuatannya sekali tumbuk lima, enam orang musuh melayang. Itupun orang yang
bodoh masih percaya dan menangis-nangis bila menontonnya.
Saya mungkin tidak terlalu arif tentang bagaimana proses kemasukkan
orang asing ke negara ini yang kalau seperti dilaporkan oleh Malaysiakini,
Jamil sepertinya menggambarkan kemasukan seseorang ke negara ini amat sukar
disekat sepertinya negara kita ini tiada sistem bagi mengenal pasti siapa
pelancong itu. Adakah sedangkal itu sistem yang dimiliki oleh imigresen
Malaysia?
Kalaulah benar begitu sukarnya pihak berkuasa menyekat kemasukan
orang-orang yang tidak diingini ke negara ini maka, bagaimana mungkin seorang peguam
William Bourdon yang ingin menyiasat tentang kes rasuah pembelian kapal selam
scorpene sedikit masa dahulu disuruh pulang kembali ke negaranya? Adakah pihak
imigresen atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghalau peguam itu secara
rambang? Atau kebetulan bertemu di pasar malam?
Dan bukankah kedatangan Irshad Manji telah menjadi isu yang besar di
kebanyakkan akhbar kerana bantahan rakyat? Dan jelas beliau telah ditolak di
Indonesia. Maka kenapa apabila kita sudah tahu berkenaan kedatangannya itu,
kita masih gagal melakukan tindakan pro-aktif bagi menghalangnya? Perlu diingat
Irshad Manji bukan pendatang tanpa izin yang masuk melalui hutan di sempadan.
Dia masuk secara sah dan berdaftar atau dengan kata lain dia masuk melalui
pintu depan rumah kita !
Kes yang sama pernah berlaku sedikit masa dahulu apabila seorang lelaki
rakyat Arab Saudi Hamza Kashgari yang dikaitkan dengan tuduhan menghina
rasulullah di laman Facebooknya ditangkap dan beliau telah dihantar kembali
oleh kerajaan Malaysia ke negara asalnya. Kenapa dengan kes yang sangat
menyerupai antara satu sama lain, tetapi hasil keputusannya sangat berbeza?
Begitu mudah dia ditahan dan dihantar pulang, jadi apakah kerumitan yang
dihadapi oleh kerajaan dalam kes Irshad?
Bagi pandangan saya isu Irshad Manji ini sebenarnya akan membawa sedikit
political mileage kepada Umno sekiranya isu berkaitan dengan lesbian, gay,
biseksual dan transeksual (LGBT) berjaya diperbesarkan, maka ia secara tidak
langsung akan dipalit kepada pembangkang. Sengaja dibiarkan kemasukkan Irshad
Manji agar terkait dengan pembangkang yang dituduh menyokong LGBT. Namun Alhamdulillah
kelihatannya strategi ini tidak Berjaya
Berkaitan dengan dalang yang dikatakan oleh Jamil pula, dia hendaklah
mengemukakan bukti supaya terang siapakah dalang disebalik segala ini dan
diambil tindakan sewajarnya, dan saya percaya Pakatan Rakyat terutamanya PAS
akan menyokongnya. Tetapi Jamil jangan hanya melepaskan peluru secara rambang,
bahaya ! Kerana peluru itu mungkin terkena kepada orang yang tidak bersalah.
(Penerbit ZI Publications Ezra Zaid-kiri bersama Erykah Badu, artis
kontroversi yang membuat tatu nama Allah di badannya)
Kerajaan juga sepatutnya menjalankan siasatan kepada penganjur program
ini ZI Publications kerana cuba menghuru-harakan kefahaman orang awam terhadap
Islam. Dengan tindakan keras oleh kerajaan saya percaya dan yakin pihak-pihak
lain tidak akan mengambil mudah lagi dalam isu berkaitan sensiviti Islam.
Hendak seribu daya tak nak seribu dalih. Dan jangan dilakukan kerana keuntungan
politik semata-mata. Sama jugalah dengan isu kumpulan K-Pop dalam majlis
sambutan Belia Kebangsaan di Putrajaya dan isu tatu di badan Erykah Badu masih
tak selesai. Dimana Majlis Fatwa Kebangsaan? Kenapa diam? Benarlah kata Tuan
Guru Nik Aziz, ulamak terompah kayu, hanya dipakai dan bising untuk ke jamban.
Inilah yang saya katakan pada permulaan catatan ini iaitu cerita
Hindustan sama yang sedang dimainkan oleh Umno iaitu untuk mengaitkan Pakatan
Rakyat (PR) dengan amalan yang tidak bermoral. Alahamdulillah rakyat Malaysia
sangat bijak membaca apa niat tersirat oleh orang yang berniat serong.
Teringat saya kepada cerita teman saya apabila mula-mula Jamil Khir
dilantik menjadi menteri. Hampir saja Jamil ingin meletakkan jawatannya kata
teman saya kerana tidak tahan melihat Islam bagaikan dipermainkan oleh
kerajaan. Namun beliau dipujuk oleh sekumpulan cerdik pandai dalam kerajaan
agar bertahan dan mereka akan membantu Jamil dari belakang.
Dengan cerita yang semakin banyak berkenaan Jamil Khir (baca cerita negatif)
tentang wang zakat yang dibayar kepada peguam, cerita dalang kepada Irshad
Manji ini dan terbaru kisah kerajaan Arab Saudi yang kononnya ingin
mengurangkan kuota jemaah haji Malaysia kerana himpunan Bersih 3.0 yang
diadakan di Mekah dan Madinah, dibangkang keras oleh Ketua Dewan Ulamak PAS
Pahang Ustaz Mokhtar Senik yang mengatakan kerajaan Saudi tidak pernah
mengeluarkan kenyataan pengurangan kuota itu, saya hanya tersenyum mengingatkan
kembali cerita teman saya itu. Wallahua’lam
0 comments :
Post a Comment