Monday, May 21, 2012

Sumber : The Malaysian Insider
May 21, 2012
KUALA LUMPUR, 21 Mei — Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari sebagaimana yang dijangkakan sebelum ini telah menyerahkan borang keahlian PAS secara rasmi.

Borang tersebut telah diserahkan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dalam satu majlis pengisytiharan rasmi malam tadi di Larut, Perak.

Dipetik Harakahdaily, Fauzi (kiri) dalam ucapannya berkata, penyertaan beliau ke dalam PAS bukanlah atas dasar mahu bertanding kerusi sebaliknya, sekadar membantu usaha ke arah kerja-kerja Islam yang dibawa PAS.

Beliau turut menjelaskan, penyertaan dalam PAS itu dibuat selepas yakin dirinya tidak terlibat dalam sebarang kes jenayah semasa berada dalam pasukan polis.

Semasa menjadi Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, Fauzi terkenal dengan tindakannya membanteras maksiat di pusat bandaraya berkenaan.

Katanya, kehadiran beliau pada majlis itu juga sebagai pengenalan kepada penyokong dan masyarakat sebelum bergiat aktif selepas ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ketua Penerangan yang juga Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty dan Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain.

Penyerahan borang keahlian itu turut disaksikan lebih kurang 5,000 penyokong Pakatan Rakyat (PR).
Penyertaan Fauzi itu dilihat adalah antara nama besar yang menganggotai parti Islam tersebut yang memulakan kempen merekrut tokoh ternama untuk meningkatkan undi dalam pilihan raya akan datang.

Fauzi, yang pernah berkhidmat sebagai ketua pegawai penyiasat, kedudukan ketiga tertinggi dalam pasukan keselamatan tersebut, telah di katakan akan menyertai PAS sebulan lalu bersama bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Ramli Yusoff dan bekas menteri Kabinet Umno Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Ramli dan Abdul Kadir, yang merupakan timbalan presiden Amanah, NGO yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah, menafikan mereka menyertai PAS walaupun telah mengumumkan keluar Umno setelah mengatakan parti itu dibelenggu politik wang.

Fauzi, bersara dua tahun daripada pasukan keselamatan berkenaan tanpa sebarang hebahan.
The Malaysian Insider sebelum ini turut melaporkan PAS mahukan Ramli dan Abdul Kadir untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Ramli dilihat sering memberi tekanan kepada Barisan Nasional (BN) untuk membentuk tribunal menyiasat dakwaan salah guna kuasa Peguam Negara.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad berkata kedua-dua mereka akan memberikan maklumat jenayah yang dilakukan kerajaan BN sebelum ini.

“Mereka dari sistem. Ini adalah orang-orang yang berkelayakan untuk itu. Mereka telah melihat banyak penyelewengan, dan berani tampil menentang sistem tersebut,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Abdul Kadir turut mengesahkan kedua-dua PAS dan PKR telah “mencadangkan” untuk menyertai mana-mana antara dua perti itu, sebelum pilihan raya, namun beliau masih lagi tidak membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno itu menjelaskan beliau menyertai program ceramah PAS sebagai tetamu jemputan, dan akan terus menghadiri program Pakatan Rakyat (PR).

0 comments :

ARKIB