Thursday, May 7, 2009

Assalamualaikum wm. wbt.

Saya mengucapkan syukur kehadrat Allah yang mengurniakan nikmat Islam dan hidayat perjuangan aqidah suci. Saya juga berdoa kepada Allah sentiasa agar Allah menganugerahkan kekuatan untuk memikul amanah Islam bagi menggerakkan sayap kanan Parti Islam SeMalaysia (PAS) di Terengganu. Saya mengajak para pemuda untuk bersama menuju perubahan. Perubahan bersama Islam. Firman Allah : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah satu-satu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada mereka."


Kita melihat kekayaan negeri Terengganu terus dibolot dan dirampas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Royalti petroleum Terengganu terus disalah gunakan oleh Kerajaan Pusat (BN). Isu kemiskinan, pembaziran dan jenayah serta gejala sosial mesti diselesaikan mengikut nilai-nilai Islam. Penyalahgunaan hak rakyat Terengganu mesti diubah oleh rakyat dengan kekuatan kuasa undi. Cuba kita bayangkan dan fikirkan, jumlah perbelanjaan Dana Khas Kerajaan Persekutuan bagi tempoh 2000 hingga 2008 adalah sebanyak RM 14.16 bilion. Daripada jumlah tersebut, RM 6.21 bilion disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan RM 6.27 bilion kepada kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek di Terengganu. Antaranya ialah projek Pembangunan Taman Tamadun Islam di Pualau Wan Man, Projek Pembangunan Semula Pulau Duyong, Projek Lebuhraya Timur Fasa II, Projek Menaik Taraf Lapangan Terbang Kuala Terengganu, Program Pendidikan Terenggan Terbilang dan projek-projek pembinaan jalan /jambatan.


Kerajaan Pusat seolah-olah tidak bertanggungjawab dalam pembangunan Negeri Terengganu. Semua projek-projek yang sepatutnya dibiayai dan dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat terpaksa ditanggung dengan menggunakan wang / royalti petroleum yang dirampas daripada rakyat. Menaik Taraf Lapangan Terbang Kuala Terengganu merupakan tanggungjawab Kerajaan Pusat. Kenapa ia dibiayai dengan menggunakan wang rakyat Terengganu ? Sepatutnya dengan 14.16 bilion ini akan dapat dipergunakan oleh kerajaan Terengganu untuk menunaikan tangggungjawab bidangkuasa Kerajaan Terengganu.

Baki sebanyak 1.68 bilion iaitu sebanyak 873.4 bilion pula digunakan untuk membiayai Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad. Oleh itu, rakyat dan pemuda Terengganu mesti membuat satu perubahan besar dalam Pilihanraya ke 13 bagi menyedarkan Kerajaan BN yang menyalahgunakan wang dan hak rakyat Terengganu. Hak Terengganu, hak rakyat bukan hak Kerajaan Pusat dan hak BN. Ubah minda dan ubah sokongan untuk bersama Islam dan PAS. Sekian, wassalam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
7 Mei 2009

0 comments :

ARKIB