Wednesday, November 5, 2008

4 November 2008; Dr. Musa Abu Marzouq, Timbalan Ketua Sekretariat Politik Hamas, menegaskan bahawa Hamas adalah pihak yang paling mengharapkan kejayaan dialog damai anjuran Kaherah bagi menamatkan perpecahan sesama sendiri di Palestin.



Walaupun begitu, kertas cadangan damai Kaherah itu tidak boleh diterima bulat-bulat, kerana kertas cadangan tersebut turut mengandungi perkara-perkara yang di luar daripada kepentingan dan keperluan sebenar negara Palestin.

Ini kerana Hamas berpendapat perkara-perkara mengenai gencatan senjata dan rundingan damai dengan Israel tidak patut dibincangkan dalam dialog anjuran Mesir ini.

Bagi Hamas, pihak-pihak yang bertelingkah di Palestin perlu terlebih dahulu berdamai dan mencapai persetujuan sesama mereka barulah mereka boleh menangani permasalahan berkaitan hubungan dengan Israel dengan lebih berkesan sebagai entiti 'Palestin' yang sebenar.

Beliau juga berharap dunia Arab dan Mesir agar berdiri sama rata di atas satu pentas dengan tidak menekan mana-mana pihak untuk menerima cadangan penyelesaian tertentu sahaja bagi permasalahan yang dibincangkan di dalam dialog.

Walaupun Hamas tidak menyetujui semua perkara dalam kertas cadangan Kaherah, Hamas tetap akan menyertai dialog tersebut dan mengutarakan pandangan-pandangan dalam dialog tersebut bagi kesatuan dan kebaikan rakyat Palestin.

Lihat Pusat Info Palestin

0 comments :

ARKIB