Dia suka berjenaka, malah boleh
bermesra dengan sesiapapun walaupun kali pertama berjumpa dan bertemu
dengannya.
Namun apabila datang hal-hal yang
penting dan mustahak, dia akan menjadi serius menumpukan perhatiannya kepada
perkara tersebut.
Mungkin inilah antara ramuan
kejayaan YB Haji Hanafiah Mat memikat hati pengundi Chukai dan sekaligus
menjadi wakil rakyat PAS bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai, dalam
parlimen Kemaman.
Bukan sahaja pengundi Melayu,
malah pengundi bangsa lain juga mudah mesra dengan beliau, bersesuai dengan
jawatan yang disandangnya, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Negeri
Terengganu.
Kecaknaan beliau terserlah
apabila baru-baru ini, beliau telah menziarahi kematian seorang perempuan
berbangsa cina yang meninggal akibat kanser di Chukai.
Ketika mendapat berita itu,
beliau sedang berada dalam program kuliah maghrib yang disampaikan oleh YB
Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua Penerangan PAS Terengganu di Surau Dusun Nyior.
Selesai solat isyak, beliau
bergegas ke Rumah Mayat Jakar bagi mengucapkan takziah kepada keluarga Wong
Chan Hai (Kedai Kopi Hai Peng) atas kematian isterinya Puan Tan 71 serta sempat
bertanya khabar dengan orang ramai yang hadir.
Selesai menandatangani buku takziah di Jakar, beliau bergegas
pula ke Pejabat PAS Kawasan Kemaman bagi menghadiri program usrah PAS Kawasan Kemaman.
Bagi beliau, hal berkaitan dengan
perhubungan antara kaum sangat penting kerana, Malaysia terdiri daripada
penduduk yang berbilang bangsa dan tiada kekuatan jika satu daripada bangsa ini
diketepikan.
Beliau tidak mahu terikut-ikut
dengan rentak permainan sesetengah pihak yang sentiasa mencari permusuhan
antara kaum bagi menakut-nakutkan rakyat untuk mengekalkan kuasa.
“Bagi saya, semua kaum di
Malaysia mempunyai kepentingannya yang tersendiri.
Baik Melayu, Cina, India dan
lain-lain etnik, kita semua adalah rakan dan kita boleh hidup bersama tanpa ada
rasa iri hati,” tegas beliau.
Beliau seterusnya menasihatkan
semua rakyat Malaysia agar mengekalkan perpaduan antara kaum yang telah lama
terjalin ini bagi memastikan keamanan di Malaysia dan tidak bermain dengan api
perkauman.
0 comments :
Post a Comment