K MANOHARAN
K MANOHARAN
 
KUALA TERENGGANU - Bengang kehendaknya untuk mendapatkan sejumlah wang tidak dilayan, seorang anak tergamak mengeluarkan kata-kata kesat mengugut akan memukul ibu kandungnya, dalam satu kejadian di Kampung Tok Pong Kedai Buluh, di sini, Selasa lalu.

Lebih melampau, dia yang berusia 20-an itu turut melepaskan geram dengan mencurahkan minyak petrol ke muka adiknya yang secara kebetulan berada dilokasi.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam iaitu semasa ibu malang berusia 49 tahun itu sedang berehat di rumah bersama anak-anak lain sebelum dihampiri suspek dalam keadaan marah-marah sambil mendesak menyerahkan wang.

“Mangsa yang sudah lali dengan perangai panas baran suspek tidak mengendahkan permintaan itu sehingga menyebabkan suspek seperti dirasuk dengan mengamuk dan merosakkan barang-barang di dalam rumah itu.

“Tidak puas dengan itu, suspek turut mengeluarkan kata-kata ugutan akan memukul mangsa sekiranya masih berdegil tidak mahu memberikan wang diminta,” katanya, semalam.

Jelas sumber, suspek yang seperti hilang kawalan itu turut bertindak mencurahkan petrol ke muka adiknya yang cuba masuk campur menegur perbuatan biadabnya terhadap ibu mereka.

“Suspek yang masih tidak berpuas hati itu turut menghantar pesanan ringkas kepada mangsa memaklumkan yang kereta milik mangsa akan dihancurkan juga,” katanya.

Bimbang keselamatan diri dan keluarga serta harta benda, mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chendering, di sini, sejurus suspek keluar dari rumah tersebut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan menjelaskan suspek kini masih diburu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.