“Ok harga tiket ke Tawau semuanya
RM500. Boleh ke? Tanya Habib yang sedang menunggu pengesahan saya sebelum
membeli tiket.
“Tapi tiket ni tak termasuk balik
ke Kuala Terengganu,” katanya lagi.
“Ok”jawab saya ringkas. Habibpun
kemudiannya mengesahkan tiket untuk saya ke Tawau.
Penerbangan dari Kuala Lumpur ke
Tawau mengambil masa kira-kira tiga jam. Inilah pertama kali saya menjejakkan
kaki di Sabah. Saya menyertai rombongan ekspedisi dakwah bersama rombongan
Tabung Kemiskinan Harakah yang diketuai saudara Habib beserta kumpulan dari
Pusat Perubatan Darul Salam Gombak yang diketuai oleh Ustaz Manaf. Turut serta
ialah YB Ustaz Mohd Nor Hamzah Ketua DPPNT, Ustaz Norazli Musa mantan AJK DPPM dan Ustaz
Lothfi dari Kedah bersama rombongan ini.
Kami disambut oleh wakil Pemuda
PAS Tawau setibanya di Lapangan Terbang Tawau. Kami dibawa terus ke rumah TPj
Sabah Haji Ahmad Dollah yang pada kebetulannya sedang mengadakan kenduri.
Selesai makan makanan yang sedap-sedap orang Sabah yang tak pernah saya rasakan
sebelum ini, kami terus ke Pejabat PAS Kawasan Tawau bagi sesi tazkirah.
Kebetulan pula malam itu ialah malam kemerdekaan, maka jalan agak “jam” dan
kami sampai agak lambat ke tempat tazkirah.
Selesai program tazkirah itu, saudara
Habib mewakili Tabung Kemiskinan Harakah menyerahkan sumbangan sebanyak RM5000
kepada mangsa kebakaran di Batu Sapi kepada Yang DiPertua PAS Kawasan Tawau, Haji Muhammad Hussin. Selepas itu kamipun
dihantar ke tempat penginapan untuk berehat.
Subuh hari kedua, saya menemani
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah bagi program kuliah subuh di Masjid al-Ubudiyah Jalan
Damai Tawau. Masjidnya tidak sebesar kebanyakkan masjid-masjid seperti di
kampung saya di Terengganu. Akan tetapi menariknya para jemaah datang awal dan
hampir 70 orang yang hadir untuk mendengar kuliah subuh YB. Hampir tiga saf. Terdetik
dalam hati saya, ada sesetengah masjid di Terengganupun tak dapat seramai ini
untuk solat subuh. Dan paling menarik yang saya perhatikan, jemaah duduk berhimpun
dekat dengan YB dan tiada yang cari tiang dan dinding untuk bersandar ketika
kuliah.....saya tersenyum teringat kebiasaan makmum kepada sesetengah masjid di
Terengganu ketika kuliah berjalan.
Pada sebelah malamnya pula,
program kuliah maghrib diatur, kali ini di Masjid al-Kautsar di tengah-tengah
bandar Tawau, kuliah bertajuk Mesir Berdarah. Sehinggakan selesai kuliah ada
seorang jemaah memberikan komen kepada temannya “Ini baru kuliah....” katanya
yang sangat teruja dengan penyampaian YB Ustaz Mohd Nor. Mungkin berlainan gaya
penyampaian YB yang membuatkan mereka tak mengantuk berbanding dengan cara penyampaian
penceramah lain...entahlah. Selesai di Masjid al-Kautsar, kami bergegas pula ke
tempat ceramah kedua iaitu di Masjid Babus Saadah yang terletak kira-kira empat
atau lima kilometer dari masjid pertama. Walaupun lewat kira-kira sejam dari
jadual asal, alhamdulillah jemaah masih ramai yang menunggu kehadiran YB.
Selesai ceramah, YB beramah mesra dengan jemaah dan bersoal jawab ketika makan.
Banyak sekali pertanyaan dari jemaah menunjukkan keinginan mereka untuk tahu
keadaan sebenar di Mesir.
Hari ketiga kami dimulakan dengan
kuliah subuh di Kampung Baru Tawau. Kami tersalah jalan, mujurlah bertemu
dengan penduduk kampung yang kemudiannya membawa kami ke surau berkenaan.
Rupanya surau itu terletak dalam perkarangan rumah seorang penduduk di situ.
Surau yang baru dibina itu berukuran kira-kira 20’ X 30’ sahaja. Tetapi sebelum
iqamah surau itu sudah hampir penuh. Saya anggarkan lebih kurang 50 orang jemaah. Sungguh
saya hairan dengan keadaan ini. Tanggapan saya sebelum ini tentang Sabah,
masjid-masjid dan surau-surau mereka kosong. Semangat agama mereka lemah,
apatah lagi dengan cerita berkenaan PBS dan kristianisasi yang begitu sinonim
dengan Sabah....aduh...saya silap, jauh tersasar persepsi saya itu. Benar pesan
orang tua, jauh berjalan luas pandangan. Maafkan saya orang Sabah.....
Kami dimaklumkan oleh pihak
Pemuda PAS Sabah yang jadual untuk petang hari ketiga adalah bebas selepas
acara makan sup rusa. Saya terus menghubungi teman saya orang Terengganu yang
kebetulan tinggal di Tawau. Rakan sekolah yang hampir 22 tahun tak berjumpa.
Alhamdulillah facebook banyak juga manafaatnya jika digunakan dengan betul.
Kami berbual panjang, maklumlah cerita 22 tahun. Antara topik kami ialah
berkenaan Islam. Dia hanya ketawa apabila mendengar cerita saya selama tiga
hari berada di Tawau. Itulah juga persepsinya apabila mula-mula menjejakkan
kaki ke Sabah katanya. Tapi sebenarnya orang Islam di Sabah juga mempunyai
kekuatannya sendiri komennya. Mungkin tidaklah seperti di Terengganu dan
Kelantan bila bercakap tentang kelas-kelas agama yang sangat banyak akan tetapi
sekurang-kurangnya tanggapan liar dia dahulu terhapus sama sekali bila dia
bergaul dengan masyarakat, sama seperti saya. Dan alhamdulillah sahabat saya
itu baru saja mendirikan rumahtangga dengan wanita Sabah dimana sahabat saya
inilah yang membawa isterinya memeluk agama Islam....syukur.
Mungkin tiga hari bukanlah satu
waktu yang cukup bagi kita untuk membuat hipotesis berkenaan sesuatu perkara,
apatah lagi hal berkaitan agama, yang mana ianya adalah topik terpenting dalam
hidup kita. Tetapi secara jujurnya, keadaan sesuatu masyarakat itu tidak akan
berubah tiba-tiba. Maksud saya pastinya pengamalan kepada sesuatu tradisi atau
budaya setempat adalah alasan utama bagi amalan itu berterusan. Kelangsungan
ini apatah lagi dalam hal solat, terutamanya subuh, yang memang kita sedia
maklum, ianya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan, meyakinkan saya
bahawa kekuatan Islam di Tawau khasnya terlalu besar peluangnya untuk digilap.
Tinggal saja setakat mana kekuatan kita untuk berusaha merealisasikannya.
Masa depan Islam yang gemilang di
Tawau terlihat pada kesungguhan Pemuda PAS Tawau. Ahli-ahlinya masih gagah dan
bertenaga, ramai yang lepasan universiti. Bekerjasama bagi memartabatkan Islam
adalah usaha yang paling mulia. Sepertimana zaman kebangkitan Islam, golongan
pemudalah pelopor kepada kebangkitan Islam. Kata ulamak Islam kalau mahu
dilihat masa depan negara itu, maka lihatlah kepada pemuda-pemudi mereka. Saya
percaya dan sangat yakin dengan kemampuan Pemuda PAS Tawau untuk menjadi
kumpulan yang membawa seruan, membangkitkan semangat Islam dan seterusnya menjadikan
Tawau dan Sabah seluruhnya sebagai negeri tanah tumbuhnya para ulamak.
Semoga keyakinan saya ini menjadi
kenyataan suatu hari nanti insyaAllah. Terima kasih yang tak terhingga kepada
pasukan Pemuda PAS Tawau yang saya kira tak perlulah saya senaraikan nama-nama
mereka kerana sebab yang termaklum, atas layanan yang istimewa yang diberikan. InsyaAllah
saya akan ke sana lagi jika berpeluang. Dari jauh saya doakan agar kita akan
dihimpunkan bersama dalam syurga Allah insyaAllah. Moga diterima segala amal baik
kita.
0 comments :
Post a Comment