Friday, December 7, 2012

Petikan : Buletinonline
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita10/IMG_6363.jpg
KUALA TERENGGANU
- Pemuda PAS Terengganu menyifatkan kerajaan Malaysia dibawah kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) ‘hiporkrit’ dalam tindakannya membantu umat Islam di Gaza, Palestin.

Sehubungan itu, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor mendesak agar kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Umno-BN memutuskan hubungan dagangnya dengan pihak Israel.

Kata beliau, kerajaan Umno-BN bersikap ‘hiporkrit’ terhadap umat Islam di negara ini kerana didakwa mempunyai hubungan dagang serta diplomat dengan Israel dan sekutunya.

Menurutnya, jika kerajaan Malaysia benar-benar jujur dan ikhlas ingin membantu umat Islam di Gaza-Palestin putuskan hubungan dagang tersebut.

“Saya mendesak kerajaan Malaysia menarik-balik dan menghentikan segera pelaburan atau penjualan minyak sawit Malaysia kepada pihak-pihak Israel, jika Malaysia benar-benar ikhlas dan jujur untuk membantu umat Islam di Palestin.

“Kerajaan Malaysia menjanjikan sumbangan RM1 juta kepada Gaza, Palestin. Ini kerana, bagi menutup isu yang sedang didedahkan oleh Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) apabila minyak sawit Malaysia dijual kepada negara Israel.

“Ini (sumbangan) untuk menutup sebenarnya, bagaimana kerajaan Malaysia bersikap ‘hiporkrit’ dengan mengadakan hubungan dagang dan diplomat dengan Israel secara senyap-senyap.

“Mereka (kerajaan BN) sanggup menjual minyak sawit Malaysia ini kepada Israel, yang menggunakan segala kekuatan ekonomi mereka (Israel), ketenteraan mereka dengan mengepung dan membunuh umat Islam di Gaza-Palestin,” jelasnya.

Beliau mendedahkan Felda Oil Products Sdn. Bhd telah menjual hasil minyak sawit Malaysia kepada syarikat Israel iaitu Bunge Agribusiness Singapore yang berpengkalan di Singapura.

Sementara itu, satu majlis penyampaian sumbangan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu berjumlah lebih RM22,000.00 hasil kutipan derma selama seminggu diserahkan kepada pihak Amal Malaysia.

Ustaz Mohd Nor melahirkan rasa syukur dan gembira dengan sikap keprihatinan anak-anak muda serta orang ramai terhadap isu kemanusiaan, penindasan dan kezaliman Israel terhadap umat Islam Palestin.

Ini kerana, katanya, dalam tempoh satu minggu Pemuda PAS berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak lebih RM22,000.00 bagi membantu umat Islam di Palestin.

“Kita (Pemuda PAS) menyampaikan sumbangan daripada anak-anak muda dan orang ramai di negeri Terengganu yang kita berjaya kumpulkan sebanyak RM22,261.00 dalam tempoh satu minggu.

“Bermula dengan demontrasi aman di perkarangan Masjid Pengadang Baru pada Jumaat lalu, alhamdulillah..anak-anak muda menunjukkan sikap keprihatinan mereka tentang isu kemanusiaan, isu penindasan dan kezaliman Israel serta sekutu-sekutunya terhadap umat Islam di Gaza, Palestin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pemuda PAS Terengganu kepada Yayasan Amal Malaysia cawangan Terengganu, di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Terengganu, dekat sini, 4 Disember lalu.

Menurutnya, sumbangan yang disalurkan melalui Yayasan Amal Malaysia akan dibawa terus kepada gerakan Islam Hamas dan umat Islam di Gaza, Palestin.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan ketua Pemudanya, Ustaz Ridzuan Hasyim dan Bendahari Amal Malaysia cawangan Terengganu, Mustafa Ismail.

0 comments :

ARKIB