Friday, November 16, 2012


Bismillahirrahmanirrahiim

Segala puji bagi Allah yang memanjangkan usia kita untuk berada di dalam tahun baru hijrah ke 1434 ini. Dalam kita membicarakan perihal hijrah, kita tidak mahu terjebak dalam polemik bilakah tarikh hijrahnya rasulullah s.a.w, bulan Muharramkah atau bulan yang lain. Akan tetapi yang lebih penting kita berusaha untuk menyelami semangat penghijrahan rasulullah s.a.w bersama-sama sahabat-sahabat baginda.

Penghijrahan mereka itu dengan semangat bagi meletakkan Islam pada tempat yang tinggi bukan dengan dijanjikan dengan kesenangan dan kemewahan dunia, akan tetapi merekalah yang terpaksa berkorban dengan mengorbanan harta, meninggalkan keluarga, rumah dan juga tanah air mereka.

Tidak terjangkau difikiran kita dengan kesanggupan mereka meninggalkan segalanya hanya kerana kepercayaan mereka dengan janji-janji rasulullah yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan dirasai dengan deria, malahan yang dirasai mereka ialah kesakitan, kesengsaraan dan penghinaan seperti yang berlaku keatas Ammar bin Yaasir, Bilal bin Rabah, Mus’ab bin Umay, Suhaib al Rumi dan lain-lain lagi.

Tiada siapa yang tertinggal dalam menghadapi kesulitan dan kepedihan untuk berhijrah ini walaupun rasulullah sendiri. Inilah jual beli yang sangat beruntung di sisi Allah kerana Allah membeli jualan mereka dengan syurga sebagaimana ucapan rasulullah kepada Suhaib al Rumi apabila dia yang sampai agak lewat dalam peristiwa hijrah itu “beruntunglah perniagaan Suhaib”.

Dengan bantuan Abdullah bin Uraiqit seorang kafir yang dipercayai (walaupun ada suara-suara yang mengatakan bahawa Islam menang tanpa bantuan bukan Islam) dengan jerih payah, baginda rasulullah bersama Abu Bakar telah berjaya memboloskan diri dari kepungan Quraisy Mekah dan akhirnya berjaya sampai ke Madinah dan mendirikan sebuah negara Islam di sana.

Kisah hijrahnya rasulullah dan sahabat-sahabat baginda bukanlah hanya sekadar cerita yang di ratib setiap kali datangnya bulan Muharram, kisah ini ialah contoh kepada kesanggupan manusia berkorban untuk Allah, kisah yang sangat memberi makna kepada kehidupan setiap jiwa yang mengaku beriman kepada Allah. Kisah ini tidak bernilai jika tidak dihayati dengan sesungguh hati. Hati yang sentiasa rindukan Allah, percaya kepada janji Allah dan rasul.

Secara ringkasnya tiada kemenangan mutlak di sisi Allah yang akan datang bergolek kecuali dengan berhijrah dari keburukan kepada kebaikan, daripada kemalasan kepada kerajinan, daripada kejahilan kepada keilmuan daripada kederhakaan kepada ketaatan. Inilah resepi kejayaan umat contoh terbaik dizaman rasulullah s.a.w.

Maka dengan semangat hijrah yang telah ditunjukkan oleh para sahabat r.a, maka saya menyeru agar semua dari kalangan orang Islam yang cintakan Islam, yang bersemangat untuk mendaulatkan Islam, yang bercita-cita untuk melihat suatu hari agama Islam ini menjadi tunggak kepada perlembagaan Islam di bumi ini dan yang bercita-cita bertemu Allah dalam keadaan dirinya diredhai Allah, maka sama-samalah kita melakukan penghijrahan tingkah laku kita daripada tingkah laku yang berlawanan dengan kehendak Islam kepada semulia-mulia tingkah laku dan akhlak menurut Islam.

Jika tidak kita yang menghijrahkan diri kita, maka siapa lagi? Kita hendaklah mendirikan Islam itu bermula dari dalam diri kita sendiri dahulu sebelum mengembangkannya kepada keluarga dan kemudiannya masyarakat. Ini memerlukan ilmu yang benar, agar kita sentiasa berada di atas landasan yang lurus yang mengikut al-Quran dan as-sunnah.

Betulkan dan ikhlaskan niat hanya untuk Allah.Ini kerana didalam sebuah hadis yang masyhur berkenaan dengan niat dinyatakan bahawa jika seseorang itu berhijrah kerana sesuatu perkara dunia maka tiadalah bahagiannya di akhirat kelak:

"Sesungguhnya, setiap amalan itu bermula dengan niat. Dan bagi setiap orang itu apa yang dia niatkan. Maka barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kerana Allah dan rasul-Nya. Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia atau perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah kerana apa yang dikehendaki."

(HR Bukhari dan Muslim)

Ayuh semua, kemenangan semakin hampir. Dengan semangat hijrah dan muktamar yang sedang berlangsung ini, insyaAllah kita akan berjaya. Persiapkan diri kamu semua dengan ilmu dan berhijrahlah agar kita dapat membawa negara ini kepada jalan yang dituntut oleh Allah dan rasulNya. Kita sayangkan negara dan kita ingin menyelamatkan negara daripada tangan-tangan yang kotor yang sedang mengotori negara yang kita cintai ini. Semoga Allah memberkati kita semua dan memberikan kemenangan didalam PRU nanti insyaAllah. Selamat menyambut Maal Hijrah.
 
Ustaz Mohd Nor Hamzah
1 Muharram 1434

0 comments :

ARKIB