Tuesday, July 10, 2012

Petikan : Sinar Harian
Asri menunjukkan pintu bilik tidurnya yang terbelah dua selepas penjenayah terbabit memecahkannya deMARANG – Lapan sekeluarga terpaksa menempuh detik mencemaskan apabila banglo dua tingkat didiami mereka di Jalan Cangkul Abas, Undang di sini, dipecah masuk sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan kayu, semalam.

Penjenayah terbabit turut bertindak memecah pintu bilik tidur sehingga terbelah dua dengan menggunakan tong gas memasak dan mengikat tiga ahli keluarga tersebut dengan tali termasuk mengacu parang panjang ke leher mangsa.

Pemilik banglo, Asri, 40, berkata, mereka hanya mahukan duit dan emas sahaja, malah mengugut akan mencederakan ahli keluarga termasuk melarikan isterinya jika permintaan tidak ditunaikan.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia sedang tidur bersama isterinya, Norhayati Kamaruddin, 32, dan anak bongsu mereka berusia sembilan bulan di tingkat atas manakala bapa dan ibu mentua bersama tiga lagi anak mereka pula tidur di tingkat bawah.

Katanya, dia terjaga dari tidur apabila terdengar bunyi dentuman sangat kuat menghentam pintu bilik tidurnya, dan muncul seorang penjenayah yang terus meluru ke arahnya sambil menghunuskan parang panjang.

"Dia (penjenayah) yang berpakaian seperti seorang penoreh getah menutup mukanya, tetapi saya sempat melihat wajahnya ketika kain menutup mukanya itu tertanggal.

“Gara-gara masih tidak berpuas hati dengan barang diambil, penjenayah itu membawa isteri saya turun ke tingkat bawah selepas mengugut akan melarikannya, namun tidak berbuat demikian sebaliknya meninggalkan isteri saya di luar rumah,” katanya.

Bapa empat anak itu berkata, selepas yakin kesemua suspek itu sudah melarikan diri, dia dibantu ahli keluarga lain berjaya membuka ikatan dan bersyukur setelah mendapati tiada anggota keluarga tercedera dalam kejadian itu.

“Mereka bagaimanapun berjaya melarikan sebuah kamera jenama Canon, external hard disk, komputer riba, lima telefon bimbit, barang kemas milik isteri dan ibu mentua saya,” katanya yang tidak dapat menganggarkan jumlah kerugian akibat kejadian itu.

Sementara itu, ibu mentuanya, Khatijah Saad, 67, memberitahu, penjenayah itu turut memecahkan pintu bilik tidur tingkat bawah dengan menggunakan tong gas dan mengikat tangan dan kaki suaminya, Kamaruddin Hamzah, 70-an sebelum naik ke tingkat atas.

Menurutnya, penjenayah terbabit juga sempat memakan buah-buahan di ruang tamu sambil menggeledah setiap ruang rumah sebelum melarikan diri.

Dalam pada itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berkata, pihak polis kini sedang mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kes yang akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

0 comments :

ARKIB