Petikan Sinar Harian (29 Julai)
Dewan Pemuda PAS Negeri
Terengganu (DPPNT) mendesak kerajaan mengambil tindakan bagi memastikan kekejaman
ke atas masyarakat Islam Rohingya di Myanmar dihentikan.
Menurut DPPNT, perbincangan
dengan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Negara-negara Islam lain perlu bagi
mengecam kezaliman ke atas etnik terbabit yang ditindas sejak Jun lalu.
Ketuanya, Mohd Nor Hamzah
berkata, usaha yang jitu daripada semua pihak juga dapat memastikan etnik
Rohingya diberi bantuan dan menyambut Ramadhan dalam keadaan sewajarnya.
“Kita berharap kerajaan cakna
terhadap perkara ini dan mengadakan perbincangan dengan OIC serta negara-negara
lain bagi menghentikan keganasan dan menghulurkan bantuan kepada masyarakat
Rohingya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Mohd Nor berkata, desakan itu
dibuat memandangkan pihaknya belum mendengar apa-apa tindakan yang diambil
kerajaan dalam usaha menangani perkara itu.
Pada masa sama, beliau turut
menyeru masyarakat Islam di negara ini peka terhadap kesengsaraan masyarakat
Islam di negara lain yang tidak berkemampuan menyambut Ramadhan dalam suasana
selesa.
Beliau yang juga Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong berkata, bulan puasa dilihat sebagai masa
terbaik kepada masyarakat di negara ini merasai penderitaan dan keperitan umat
Islam termasuk di Palestin dan Syria.
Sementara itu, Setiausaha DPPNT,
Muhammad Zaidan Abdullah memberitahu pihaknya telah menerima arahan daripada
Dewan Pemuda PAS Pusat untuk mengadakan munajat dan bantahan berhubung
kekejaman ke atas umat Islam Rohingya.
Beliau menjelaskan, bantahan
tersebut berkemungkinan diadakan serentak dengan Dewan Pemuda Pas Pusat pada
Jumaat ini, namun mengakui belum mengadakan perbincangan lanjut mengenai
perkara itu.
“Kita turut menjemput pertubuhan
bukan kerjaaan (NGO) seperti Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia
(Papisma) dan Yayasan Amal untuk bersama-sama dalam bantahan tersebut,”
katanya.
0 comments :
Post a Comment