Thursday, April 7, 2011

Sumber; Harakahdaily




KUALA LUMPUR, 7 April: Ketiadaan perancangan rapi dari pihak kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti di kawasan pantai amat dikesali kerana ia telah menyebabkan beberapa pantai di Terengganu kini mengalami hakisan yang amat teruk.
Pantai-pantai terbabit termasuklah pantai Tok Jembal yang terletak di kawasan Kuala Nerus di Kuala Terengganu, Telok Lipat di Dungun, Rhu Rendang di Marang dan Telok Kalong di Kemaman.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut ketika membangkitkan perkara itu berkata, akibat ketiadaan perancangan rapi dan perancangan yang tidak betul, Pantai Tok Jembal kini semakin teruk terhakis, apabila tambak yang dibina dibuat terus ke laut ekoran pembinaan landasan kapal terbang di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.


Hakisan di Panatai Tok Jembal.
Menurut beliau, akibat perancangan yang tidak betul, Pantai Rhu Rendang turut mengalami hakisan teruk, ekoran pembinaan pemecah ombak untuk pembinaan Pelabuhan Chendering.
Katanya, kesemua itu berlaku disebabkan gangguan-gangguan yang terlalu banyak di kawasan pantai sehingga menyebabkan berlakunya tindak balas yang menyebabkan berlakunya hakisan sepanjang masa dan lebih teruk lagi pada musim tengkujuh.
"Ekoran itu juga, jalan raya di kawasan Telok Lipat di Dungun sekarang sampai sudah habis nak tenggelam, nak dikorek dan dihakis," katanya ketika mengemukakan soalan tambahan dari soalan asalnya kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Keadaan yang berlaku itu, menurut beliau, amat dikesali dan ia seolah-olah terjadi disebabkan banjir besar yang dikaitkan dengan kata-kata "sekali air bah sekali pantai berubah".

Hakisan di Pantai Teluk Lipat, Dungun.

Tapi di Terengganu kini, katanya, sudah tidak lagi berlaku banjir besar. Kalau pun berlaku banjir hanyalah banjir kecil sahaja.
Sehubungan itu, beliau bertanya sama ada pihak kerajaan ada melakukan kajian secara menyeluruh atau tidak tentang apa juga aktiviti yang hendak dilakukan yang melibatkan pantai supaya tidak mendatangkan kesan sampingan seperti itu.
Jika tidak diadakan kajian menyeluruh, ia pasti akan mendatangkan kesan sampingan yang teruk sehingga memaksa kerajaan mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membaik pulih pantai-pantai berkenaan.
"Sekiranya tiada kajian menyeluruh dan perancangan yang rapi, perbelanjaan besar yang diperuntukkan oleh kerajaan sehingga RM5 juta atau RM10 juta pun tetap juga tak mampu membaik pulih pantai-pantai berkenaan kerana hakisan tetap juga berlaku semula," jelasnya.
Dalam soalan asalnya, beliau meminta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menyatakan perancangan dan usaha yang dilakukan untuk mengatasi masalah hakisan pantai di Terengganu seperti Pantai Tok Jembal, Telok Lipat, Rhu Rendang dan Telok Kalong.

0 comments :

ARKIB