KUALA KRAU, 27 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan para petugas parti supaya tidak gopoh di dalam perjuangan.
Katanya, para pejuang tidak boleh gopoh dalam perjuangan, walaupun dilihat hampir untuk menempuh kemenangan.
“Para petugas dakwah ini juga mestilah yakin dengan janji Allah SWT, bahawa tugas yang sangat mulia ini akan dibayar dengan syurga Allah SWT,” ujarnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Krau, dekat sini, hari ini.
Turut hadir ialah Yang Dipertua PAS kawasan yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau yang juga ahli Parlimen Marang turut mengajak para petugas PAS supaya mengambil pengajaran daripada perjuangan para rasul dan nabi.
“Lihatlah juga pedoman dan rentetan perjuangan para nabi dan rasul alaihimussolatuwassalam yang selama ratusan tahun teguh serta istiqamah pegangannya dalam membawa amanah Allah Taala ini,” ujarnya.
Tambahnya, para pejuang Islam juga hendaklah sabar dalam menempuh jalan ini, dan tidak menjadikan diri mereka di kalangan orang yang ingin cepat dalam mencapai kemenangan.
“Ambillah iktibar janji Allah, bahawa sekiranya jalan perjuangan ini mudah dan cepat, nescaya ramailah penyokong yang akan bersama kita untuk menunggu habuannya. Sedangkan kemenangan memerlukan pengorbanan, dengan menjadikan kemenangan dalam perjuangan ini mestilah dengan tarbiyah, iman dan penuh akhlak Islam dengan tidak membalas dendam sesudah mencapai kemenangan,” ujarnya lagi.
Beliau juga menjelaskan bahawa Allah mengurniakan amanah mentadbir sesebuah kerajaan kepada yang dikehendaki-Nya, sebagai suatu ujian dalam kehidupan di dunia.
Katanya, asas pembangunan negara dari segi pembangunan insan adalah pembangunan roh dan akal dengan iman, ilmu dan akhlak yang mulia.
Menurutnya lagi, Islam yang ingin dilaksanakan oleh sesebuah kerajaan adalah bukan di atas kepentingan politik, tetapi adalah tanggungjawab dari Allah.
Justeru, tegasnya perjuangan Islam memerlukan pengorbanan, tiada jalan mudah dan diiringi karpet baldu yang cantik, tetapi penuh dengan onak dan duri sepanjang jalan perjuangan.
Beliau mengakhiri ucapan perasmian dengan membacakan dua rangkap syair bahasa Arab yang diucapkan oleh Abu al Qaseem As Syaabi dari Tunisia yang meninggal dunia pada pertengahan tahun 1930-an dalam usia muda.
"Apabila bangsa itu mahu menjadi bangsa yang hidup di suatu hari nanti, maka bangsa itu mestilah menyahut seruan beriman dengan seruan qada Allah. Malam pasti akan berlalu dan tibanya waktu siang, dan pastilah gari yang mengikat rakyat itu akan pecah suatu hari nanti."
Sumber Harakahdaily
Sumber Harakahdaily
0 comments :
Post a Comment