Saya mendesak Kerajaan Malaysia segera menyelamat dan membawa semua rakyat Malaysia yang berada di Mesir pulang ke tanahair ekoran daripada situasi yang semakin parah di negara tersebut. Tindakan protes kebangkitan rakyat Mesir sudah menjadi tidak terkawal dan berlaku beberapa insiden pertumpahan darah.
Saya minta supaya pihak Kementerian Luar Negeri menyediakan beberapa buah kapal terbang dan segera mengambil semua rakyat Malaysia yang dilaporkan berada dalam keadaan tidak selamat di Mesir.
Tindakan evacuation ini telah dilakukan oleh banyak negara yang prihatin terhadap nasib rakyat di negara tersebut seperti Turki, Kanada, Greece dan Arab Saudi.
Saya berpendapat tindakan kerajaan mahu menghantar pelajar-pelajar Malaysia yang berada di sana ke negara jiran seperti Jordan, Libya dan Arab Saudi adalah kurang tepat memandangkan protes kebangkitan rakyat telah menjalar ke beberapa buah lagi negara di Timur Tengah termasuk di Jordan sendiri.
Daripada laporan yang diterima, kawasan di Alexandria, ramai rakyat Malaysia berada dalam keadaan tertekan memandangkan perintah berkurung yang dikenakan dan kemudahan untuk mendapatkan makanan terlalu sukar. Selain itu, kawasan Tir’ah pula berada dalam keadaan yang tidak selamat. Kawasan Mansurah pula telah dilabelkan kod jingga sebagai tanda amaran akan berlakunya rusuhan secara besar-besaran.
Malah, beberapa faktor ketakutan lain antaranya sejumlah besar banduan telah berjaya meloloskan diri daripada penjara dan dikhuatiri akan berlaku beberapa kes jenayah. Kesulitan mendapatkan akses komunikasi dan makanan juga adalah antara faktor yang sangat membimbangkan berlaku di negara tersebut.
Atas dasar keselamatan dan keprihatian ribuan rakyat Malaysia di Mesir, saya mendesak kerajaan Malaysia segera melakukan proses evacuation dan membawa pulang mereka ke negara kita.
NASHARUDIN MAT ISA
Timbalan Presiden PAS
1 Februari 2011
0 comments :
Post a Comment