Tuesday, December 31, 2013

Assalamualaikum kepada semua rakyat Malaysia keseluruhannya dan Terengganu khususnya. Saya ingin mengucapkan “Selamat Menyambut Tahun Baru 2014” yang bakal menjenguk kita tidak sampai beberapa jam lagi. Kami berdoa dan berharap agar anda semua berada dalam rahmat Allah sentiasa. Rahmat dalam semua bentuk, bukan sahaja dari segi kehidupan peribadi malahan lebih jauh dari itu rakyat semua dilimpahi rahmat melalui keadilan yang dikehendaki Islam dalam pentadbiran politik, ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan, undang-undang dan dalam semua segi insyaAllah.

Izinkan saya membuat sedikit sorotan tentang perjuangan PR tahun 2013, halangannya dan harapan kita di tahun 2014. Semoga rakyat yang membaca pandangan ini sedar akan apa yang berlaku dan berusaha merubahnya demi anak cucu mereka. Sistem keadilan dalam Islam tidak berlaku dalam pentadbiran negara kita sehingga kini walaupun sudah berlaku perubahan besar dalam PRU 13 baru-baru ini dimana 53% rakyat telah memberikan undi popular kepada Pakatan Rakyat. Tapi sayangnya format “first past the post” menjadi penghalang kepada sokongan rakyat ini. Dan akibatnya negara sekali lagi diperintah oleh tangan-tangan yang menjauhkan rakyat daripada corak pemerintahan yang berteraskan Islam dan juga keselesaan.

Sistem pilihanraya kita jelas terkongkong dengan helah yang berbagai sehinggakan Suruhanjaya Pilihanraya sepatutnya menjadi pengadil, turut masuk padang bersama-sama BN membentes kaki PR bagi memastikan kemenangan BN. Apa tidaknya dengan isu dakwat kekal sahaja mereka terkial-kial mencari jawapan. Itu belum termasuk lagi dengan isu kad pengenalan dan juga isu kerakyatan yang sangat menganehkan kita semua.

Selepas menang PRU 13, setelah berjanji kepada rakyat kini masanya BN mengotakan janji-janji mereka. Malangnya rakyat terus menerus diperbodohkan oleh BN  yang diketuai oleh Umno. Harapan bagi melihat harga kereta turun, sebaliknya mereka mahu melupuskan kereta berusia 12 tahun dan sekaligus “memaksa” rakyat buat hutang kereta baru sebaik sahaja selesai hutang kereta lama. Kenaikan harga barang sepertinya kutipan bayaran balik kepada kerajaan setelah bertungkus lumus “memberikan” segala kehendak rakyat ketika menabur janji-janji PRU, terus terusan berlaku kenaikan. Ada kenaikan yang sudah berlaku seperti kenaikan harga minyak, gula, tambang dan yang berada dalam barisan menunggu untuk 2014 pula ialah tol, GST, letrik dan lain-lain. Malang bagi ahli dan penyokong bawahan Umno-BN kerana mereka tiada kad pengecualian kepada semua kenaikan ini dengan kata lain, bayar tetap bayar tak kira walaupun engkau sokong BN dulu, kini selamanya.

Lebih memeritkan hati rakyat ialah jawapan-jawapan menteri yang mungkin separa sedar, ketika memberikan jawapan. Ugut dan memperbodohkan rakyat adalah ciri-ciri utama menteri kabinet masa kini. Bila tersepit dengan isu buatan mereka sendiri, mereka akan menuduh rakyat cuba menggulingkan kerajaan. “Keluar Malaysia jika tidak suka pada tindakan kerajaan””Harga kita masih rendah berbanding negara lain” “ Jangan beli jika mahal” “ Tiada aduan kenaikan harga bermakna rakyat setuju dengan kenaikan harga” adalah jawapan-jawapan ‘standard’ oleh menteri-menteri yang begitu setia dan patuh kepada keputusan kerajaan dan tidak pernah gagal dalam membodohkan pemikiran rakyat. Rakyat dipaksa berjimat dalam masa yang sama, kroni pula membeli kondo berharga 110 juta, acara menyambut Tahun Baru mereka berhabis-habisan dengan bunga api dan lain-lain pertunjukan dan pembaziran. Langkah memotong elaun dilihat hanya sebagai ‘pain killer’ kepada amukan rakyat. Isu besar pembaziran tidak diselesaikan, oleh itu pemotongan elaun tindakan kurang bermakna.

Sistem pendidikan kita juga gagal dalam melahirkan pelajar-pelajar yang kita mahu kategorikan sebagai  modal insan. Mereka mungkin berjaya dalam hal keduniaan, tetapi meminggirkan aspek keagamaan. Tidak sedikit bilangan siswa-siswi, graduan-graduan yang muncul wajah mereka di dada-dada akhbar atas kes-kes yang memualkan kita semua. Zina, buang anak, dadah, rempit terkadang sebati dengan mereka walaupun terpelajar. Sayang, ilmu dunia memandu mereka ke arah yang dimurkai Allah bukan redha Allah. Nantikanlah malam tahun baru dan malam-malam sambutan yang lain untuk sebahagian mereka berpesta dengan pesta maksiat. Manakala institusi-institusi yang berteraskan keagamaan seperti Sekolah Agama Rakyat yang sudah terbukti keberkesanannya melahirkan insan-insan yang faham agama, dibiarkan  mati dengan pelbagai alasan politik yang diluar penerimaan akal yang waras. Malahan permintaan yang sangat tinggi kepada sekolah agama negeri seperti yang berlaku di Terengganu, membuktikan bahawa sistem sekular gagal membina sahsiyah pelajar-pelajar.

Di Terengganu juga, kesan kenaikan harga barang paling dirasai. Ini jelas dilihat apabila harga-harga barangan keperluan meningkat sehinggakan lebih mahal dari bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Dengan bajet yang sentiasa defisit, tetapi besar iaitu kira-kira 2.2 billion, kerajaan masih gagal dalam menangani banyak perkara-perkara penting. Keutamaaan bajet lebih kepada pembangunan material iaitu projek-projek tetapi dengan kualiti yang menghampakan. Lihatlah contoh keruntuhan demi keruntuhan yang berlaku dengan projek-projek kerajaan kepada kontraktor-kontraktor yang berulang-ulang melakukan kesilapan yang sama. Akibat salah urus, seperti yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara baru-baru ini, maka timbullah isu seperti pembaziran, pecah amanah, ketirisan atau mungkin kebocoran yang sangat nyata. Amanah rakyat dibakul sampahkan.

Rakyat mengharapkan dengan bajet yang besar, kualiti kehidupan semakin selesa malah jauh dari itu, persiapan untuk kehidupan akhirat mesti juga ditekankan. Tetapi malang bagi rakyat Terengganu apabila bukan sahaja perkara penting seperti agama tidak ditekankan, tetapi  kehidupan biasa mereka juga menjadi tidak teratur. Contoh terbaik ketika banjir baru-baru ini, rakyat Kemaman khasnya bukan sahaja melihat, malah merasakan sendiri jerih payahnya ketika mereka memerlukan kepada bantuan kerajaaan, mereka memperolehi kekecewaan kerana bantuan yang diharapkan diurus dengan baik. Malah sebaliknya, PAS tampil dengan pasukan Unit Amalnya telah dilihat seolah-olah menggantikan jentera kerajaan. Lebih menyentuh hati, PAS lebih dipercayai atau dalam bahasa Terengganu ‘Senang Kirra, Mudoh Bassa” dalam menyalurkan bantuan tanpa melihat kepada warna bendera mangsa sehinggakan pasukan keselamatanpun datang memohon bantuan dari Unit Amal. Sebagai penutup tirai 2013, inilah pukulan yang sangat memalukan kerajaan Umno-BN Terengganu atas kegagalan mereka mengurus secara tersusun bantuan banjir.

Oleh itu kami percaya tahun 2014 bukanlah tahun yang akan memberikan keceriaan kepada rakyat Terengganu khasnya dan juga Malaysia secara keseluruhannya. Tetapi tahun 2014 adalah tahun “Lanyak Rakyat” oleh kerajaan Umno-BN. Walaupun kerajaan BN Terengganu menjaja "merakyat pertadbiran dan pembangunan" tetapi itu hanyalah retorik semata-mata. Permulaan 2014 sudah dapat kita lihat bibit-bibit kedukaan yang bakal mengetuk pintu rumah rakyat dengan pengumuman kenaikan itu dan ini, yang mana pasti akan mencekik kehidupan rakyat jelata terutama yang miskin.

Oleh itu PAS dan rakan-rakan politik semuanya akan cuba membantu rakyat demi kehidupan yang lebih baik samada dunia dan akhirat. Kami insyaAllah akan memperjuangkan nasib rakyat yang tertindas disamping rakyat sendiri perlu sedar dan membuat perubahan agar “mengajar” Umno-BN dalam setiap pilihanraya samada kecil atau umum agar mereka tahu kuasa rakyat adalah penentu kepada kesinambungan hayat Umno-BN atau rakyat akan terus diperbodohkan dan ditindas oleh Umno-BN untuk penggal seterusnya. Moga dengan usaha-usaha murni yang berterusan dari PAS dan rakan-rakannya, Allah akan menurunkan “Rahmat Untuk Semua” rakyat di Malaysia insyaAllah.

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan BPPNT
31hb Dis 2013

Sunday, December 29, 2013


(YB Ustaz Mohd Nor bergambar bersama sebahagian anak-anak miskin selesai membeli
barang keperluan sekolah dalam Program BAck To School anjuran MTD Bukit Payong)

Bukit Payong : Satu program yang dinamakan “Program Back To School” telah diadakan di Bukit Payong semalam.
Program berbentuk kebajikan itu yang bertujuan membantu dan mengurangkan beban beberapa keluarga-keluarga miskin terpilih di sekitar Bukit Payong dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup sekarang ini.
Program anjuran Badan Kebajikan Majlis Tindakan DUN Bukit Payong (MTD) itu telah berjaya membantu kira-kira 30 orang pelajar bagi persiapan mereka untuk menghadiri sesi persekolahan baru pada Januari ini.
Setiap pelajar diberikan sehelai baju, seluar, kasut dan stokin dan mereka dijemput untuk mengukur saiz sendiri di sebuah kedai berdekatan di sini bagi memudahkan mereka.
Seorang ibu yang mendapat bantuan ini Puan Zainun Abdul Rahman (kiri) mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada penganjur program ini.
“Saya rasa gembiralah dengan bantuan ini sebab anak-anak nak ke sekolah tapi bajupun masih tak ada.
Saya rasa sukalah (gembira) dengan program ni, memudahkan anak-anak nak pergi sekolah dan terima kasih saya ucapkan kepada YB Ustaz Mohd Nor Hamzah atas penganjuran program ini,” kata beliau.
Sementara itu Wakil Rakyat Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata program ini adalah satu program yang sangat bagus dan menzahirkan bahawa MTD Bukit Payong sentiasa prihatin dengan masalah rakyat.
“Dengan kenaikan harga barang yang sangat membebankan rakyat, kita tampil sebagai pembantu untuk meringankan bebanan ini sebagai menurut kehendak Islam.
Saya suka mengajak rakyat terbanyak untuk melihat keadaan ini bila kerajaan yang salah kita pilih, maka beban itu terpikul atas bahu kita juga, tetapi mereka semua bersenang lenang,” ujarnya.
Ditanya siapakah yang menaja program ini, beliau menjawab program ini adalah sumbangan orang ramai dan juga derma dari dermawan-dermawan yang kaya yang prihatin dengan nasib orang-orang miskin.
Beliau berharap agar lebih ramai lagi dermawan-dermawan turun membantu orang-orang miskin kerana cengkaman hidup sekarang ini perlukan kerjasama semua pihak bagi meringankan beban mereka.
Pada 29 Disember ini pula bantuan seterusnya kepada anak-anak yatim akan dihulurkan bagi meringankan beban mereka menghadapi sesi persekolahan baru akan datang.

Wednesday, December 25, 2013


Satu kem yang dinamakan Kem Adam dan Hawa (KEMAH) peringkat kawasan Marang telah diadakan di Madrasah Darul Iman baru-baru ini sempena musim cuti sekolah akhir tahun.
Program yang mensasarkan anak-anak muda berumur antara 13 hingga 20 tahun itu berlangsung selama tiga hari.
Program itu telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang.
Seramai 280 perserta telah menyertai kem ini yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Remaja dan Ameerah Marang dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang, melebihi sasaran seramai 200 orang.
Antara program yang dijalankan ialah program keagamaan seperti qiyamullail, solat berjemaah dan disertakan dengan program riadah bagi memberikan keseimbangan penekanan dunia dan akhirat.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah telah diberi penghormatan bagi menyempurnakan majlis penutupan program sekaligus memberikan amanat kepada peserta.

Antara amanat yang disentuh ialah beliau mengajak semua peserta mencintai Allah dan rasul dengan sepenuh rasa cinta yang sebenar-benarnya.
Beliau memberi contoh bagaimana kecintaan sahabat-sahabat rasulullah s.a.w yang sampai kepada satu keadaan, sanggup menukar nyawa mereka agar rasulullah selamat dan terpelihara.
Sambil menceritakan kisah yang terkenal yang juga kebetulan terjadi dalam bulan Safar iaitu Birr Maunah yang telah mengorbankan enam orang sahabat rasulullah s.a.w kerana mencintai rasulullah.
Kisah menyayat hati yang berlaku itu adalah kerana ketidaksanggupan sahabat menukar tempat mereka yang diugut bunuh dan hanya akan selamat apabila sanggup menyerahkan rasulullah s.a.w.
Akhirnya mereka mati dihujung pedang musyrikin Quraisy dalam keadaan kecintaan yang memuncak kepada rasulullah.
“Begitulah hal keadaan yang sepatutnya kita sebagai umat Islam mencintai rasulullah dengan sepenuh hati.
Kita akan mendapat syafaat apabila kita benar-benar kasih dan sayang kepada rasulullah,” pesan beliau mengakhiri ucapannya.
Manakala dalam respon kepada pencapaian program, Pengarah Program Ustaz Bunyamin berkata kem ini mendapat sambutan yang baik sekali dari ibu bapa dan kebanyakan peserta memberi jawapan akan menyertainya lagi jika berpeluang.
Ditanya adakah kem ini akan diadakan setiap kali musim cuti sekolah, beliau menjawab ianya akan dipertimbangkan tetapi setakat ini program ini hanya untuk cuti sekolah akhir tahun.

Tuesday, December 24, 2013


(Sebahagian muslimat yang hadir dalam program anti murtad anjuran Ameerah Bukit Payong)
 
Ameerah Bukit Payong telah menganjurkan satu program ceramah bagi menangani isu murtad iaitu isu besar yang dibimbangi masyarakat Islam seluruhnya.
Program selama dua jam itu dipenuhi dengan ceramah oleh pendakwah bebas Ustaz Muhammad Fitri Abdullah yang juga bekas mubaligh hindu itu dan disertakan sesi soal jawab oleh peserta.
Bagi Ameerah program ini adalah bagi memberi kesedaran masyarakat setempat untuk  meningkatkan kefahaman akan bahayanya gejala murtad ini.
Salah seorang jawatankuasa penganjur saudari Nurul Izzah Rosely berkata, program ini adalah salah satu cara Ameerah membantu masyarakat bagi membuka minda mereka dengan perkara-perkara yang mungkin agak asing bagi sesetengah mereka.
Beliau berkata Ameerah mengambil inisiatif bagi memupuk kesedaran kepada masyarakat kampung yang mana sekarang ini mungkin gejala ini masih tidak mengancam di kampung-kampung tetapi belum tentu dimasa depan.
Ameerah adalah satu entiti daripada Dewan Muslimat PAS yang ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu yang diambil dari perkataan arab yang bermaksud “Pemimpin Muda”.
Keanggotaan mereka terdiri daripada gadis-gadis remaja dan dewasa yang berusia antara 18 hingga 40 tahun yang berfungsi sebagai rakan kepada golongan muda.
Dalam program bertajuk “Indahnya Hidayah Allah” itu pendengar mendapat banyak manafaat tentang bahaya murtad dan langkah-langkah mengatasinya.
Nurul Izzah berkata program ini mencapai maksud dengan kehadiran hampir 300 orang melebihi sasaran 200 orang yang menggabungkan ahli Muslimat PAS dan Ameerah di Dun Bukit Payong.
Beliau yang jelas gembira dengan jumlah kehadiran itu seterusnya menyatakan bahawa program seterusnya ialah kempen mencintai ibu bapa yang dijangka akan berlangsung pada bulan Mac nanti.
“Ameerah sentiasa akan membantu bagi membina masyarakat yang lebih baik.
Kita melihat ramai remaja yang ada masalah dengan ibu bapa mereka.
Jadi kita akan mengambil langkah mencegah gejala ini melalui kempen mencintai ibu bapa yang akan diadakan pada bulan Mac nanti insyaAllah,” katanya
Program itu diakhiri dengan ucapan penutup oleh YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang menggalakkan agar penekanan tauhid diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak agar gejala murtad dapat dihindari.

Saya ingin menarik perhatian rakyat Terengganu dengan laporan seramai kira-kira 200 orang guru Kafa dikatakan telah ditamatkan kontrak oleh Yayasan Islam Terengganu (lihat lampiran).
Dari sumber-sumber yang saya perolehi, tindakan ini dianggap sebagai tidak demokratik dan kelihatannya seperti satu agenda membalas dendam. Dengan menamatkan kontrak mereka, kerajaan seolah-olah telah menutup pintu perbincangan yang sepatutnya dibuka seluas-luasnya kepada guru-guru Kafa ini sesuai dengan motto kerajaan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan” oleh kerajaan negeri.
Penamatan kontrak ini juga dilihat sebagai sesuatu yang menghairankan kerana dengan jumlah yang begitu besar, ianya kelihatan seperti pengurusan Yayasan Islam ataupun guru-guru Kafa itu sedang menghadapi masalah yang serius. Apa alasan yang sebenarnya? Adakah guru-guru tersebut kurang terlatih? Maka kenapa tidak dipertingkatan kemahiran mereka dengan kursus-kursus yang sesuai? Juga kita merasa hairan kerana pencapaian Kafa Terengganu adalah antara yang terbaik di Malaysia dan jika tenaga pengajar itu dikatakan kurang mahir bagaimana Terengganu menjadi antara yang terbaik? Dan jika masalah disiplin yang menjadi sebab utamanya, kenapa begitu ramai yang dikenakan tindakan? Ini memperlihatkan seolah-olah Yayasan Islam tidak mampu mengawal kakitangan kontraknya.
Kesan besar dari penamatan kontrak secara besar-besaran ini adalah kepada pelajar-pelajar keseluruhannya. Bukanlah sesuatu yang mudah untuk mencari pengganti dalam masa yang singkat dengan jumlah yang begitu besar apatah lagi dengan tarikh bermulanya sesi persekolahan 2014 hanya tinggal lebih kurang seminggu sahaja lagi. Mereka memperjudikan nasib pelajar-pelajar ini.
Saya dengan ini menyeru agar semua rakyat Terengganu membuka mata hati agar sedar akan perkara ini yang mana mungkin juga terkena kepada saudara mara atau orang-orang terdekat dengan anda semua. Setelah kerajaan pusat yang juga pimpinan Umno-BN saban masa mengisytiharkan kenaikan harga barang-barang dan kos-kos lain selepas PRU, berlawanan dengan janji-janji mereka sebelum PRU dahulu, penamatan kontrak ini sekaligus akan memberikan impak kepada guru-guru tersebut dalam menghadapi hari-hari mendatang.Saya benar-benar berharap agar ini bukan dendam politik tetapi kelihatannya agak sukar untuk diterima bahawa ianya bukan dendam setelah mengambil kira faktor-faktor yang nyata.
Saya berdoa kepada Allah semoga semua guru-guru Kafa yang diberhentikan itu dikurniakan pahala atas ketabahan mereka dan Allah maha mendengar doa orang yang dizalimi.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
21 Safar 1435H bersamaan 24hb Dis 2013M

Sunday, December 22, 2013


Barisan Exco DPPNT sesi 2013-2015 bergambar kenangan bersama
TPj 1 mantan KP DPPNT selesai majlis makan malam
 
Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) baru-baru ini telah mengadakan satu majlis makan malam yang dinamakan “Jasamu Dikenang” bagi menghargai jasa kepimpinan lama DPPNT yang terdahulu.
Majlis yang dikhususkan bagi mengenang jasa mantan ketua DPPNT YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang bersara wajib pada pemilihan yang lalu dan menyaksikan Ustaz Kamaruzzaman Abdullah dipilh sebagai ketua yang baru.
Dalam ucapan penghargaannya Ustaz Kamaruzzaman berkata kekuatan DPPNT dan berada di tempat sekarang ini adalah hasil dari sumbangan orang-orang terdahulu.
Sambil mengucapkan selamat bertugas kepada Ustaz Mohd Nor di posisi baru beliau sebagai Ketua Penerangan PAS Terengganu, beliau juga melahirkan hasrat untuk melihat Pemuda mencari lebih banyak peluang bagi membantu PAS Terengganu.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya 1 (TPJ 1)PAS Terengganu Dr Alias Razak yang menggantikan Pesuruhjaya PAS Terengganu Ustaz Saiful yang tidak dapat hadir.
Sementara itu Ustaz Mohd Nor mengucapkan terima kasih atas segala bantuan Pemuda PAS selama beliau menerajui DPPNT samada bantuan dari dalam ataupun luar.
Bagi beliau, kerjasama serta gandingan kepakaran semua dalam DPPNT yang memberikan kekuatan Pemuda dan percaya hal tersebut mesti diteruskan bagi melangsungkan kecemerlangan dan bergerak lebih jauh lagi.
Beliau turut menyentuh berkenaan cabaran generasi Y yang dilihat perlu ditangani secara bersungguh-sungguh.
“Generasi Y ini pemikiran mereka sebenarnya kritis bagi sesuatu isu.
Pemuda juga perlu gerakkan minda generasi ini bagi yang masih terlena agar tidak mudah ditipu dan sedar apa yang terjadi di sekeliling mereka,” saran beliau.
Beliau mengakhiri ucapannya dengan memberi ingatan agar Pemuda tidak merasakan bahawa merekalah yang memulakan perjuangan ini dan menjadi pengakhirnya sebaliknya perlu memahami bahawa mereka hanyalah penyambung perjuangan.
“Berkerjalah bagi mencari redha Allah buakn untuk nama dan tujuan lain,” pesan beliau kepada Pemuda.
Majlis diakhiri dengan penganugerahan watikah perlantikan oleh TPJ 1 kepada  seramai 31 ahli jawatankuasa  (Ajk) yang dipilih serta dilantik.
Seramai 13 orang Ajk telah dipilih dalam pemilihan yang lalu manakala 18 lagi dilantik bagi memenuhi kuota Ajk DPPNT.

Friday, December 20, 2013


Alhamdulillahi rabbil alamiin. Segala puji bagi Allah yang masih lagi memberikan hidayah petunjuk pada kita agar istiqamah dalam melaksanakan kerja-kerja Islam. Saya memohon taufik dan hidayah dari Allah swt agar terus dapat memikul amanah atas perlantikan Ketua Penerangan serta kepercayaan yang diberikan oleh YB Pesuruhjaya PAS Terengganu yang baru Ustaz Satiful Bahari Mamat dalam memenuhi segala gerakan yang akan dilakukan oleh pimpinan PAS negeri Terengganu sesi 2013-2015 kearah memerintah negeri Terengganu dan  menguasai Wisma Darul Iman insyaAllah.
Saya telah diamanahkan sebagai Ketua Penerangan bagi menggerakkan satu lajnah. Lajnah yang dinamakan diperingkat pusat Penerangan dan Hubungan Media dalam memenuhi hasrat dan cita-cita besar seperti yang diungkapkan oleh Pesuruhjaya ketika mengumumkan perlantikan Jawatankuasa Harian dan Ahli Jawatankuasa, Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) yang baru.
Saya melihat bahawa penerangan diletakkan kedudukan yang besar untuk digerakkan agar dapat membuka minda dan mencorakkan pemikiran rakyat terhadap perkembangan politik dan isu-isu dan maklumat sehingga akhirnya mereka dapat mengubah kerajaan yang ada hari ini dan menentukan sikap paling baik dalam PRU 14 insyaAllah. Kita berhadapan lapisan masyarakat yang pelbagai, terdiri daripada penduduk bandar, luar bandar, muda, tua, lelaki, perempuan, golongan pertengahan, miskin, kaya, professional, pensyarah, orang biasa dan pelbagai golongan yang sudah tentu mempunyai latar belakang pemikiran yang berbeza-beza. Maka dimasa yang sama PAS mesti menggerakkan isu-isu dan maklumat-maklumat agar sampai kepada semua lapisan masyarakat ini dengan kaedah-kaedahnya tersendiri.
Yang menjadi persoalan asasnya bagaimana caranya PAS akan menyampaikan isu dan maklumat-maklumat kepada masyarakat luar bandar, golongan miskin, golongan pertengahan, perempuan, warga tua agar mereka dapat melihat perkembangan-perkembangan isu yang ada ini yang penuh dengan kepincangan penyelewengan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dan kerajaan BN.  Agar mereka yang meletakkan rujukan dan sumber penerangan mereka bukan sahaja dari media perdana seperti RTM TV3, Utusan Malaysia atau juga Berita Harian, tetapi lebih dari itu, kita ingin pastikan supaya mereka mula mencari sumber-sumber yang lebih jujur, jelas dan terang dengan fakta-fakta agar dapat memahami kedudukan politik yang ada pada hari ini.
Saya selaku Ketua Penerangan menyedari bahawa kita akan berhadapan dengan tiga keadaan ataupun aspek dalam menggerakkan penerangan. Pertama bagaimana kita ingin mengembangkan dan menggarap maklumat-maklumat serta isu-isu dan fakta-fakta yang jelas. Yang kedua bagaimana kita mahu menyampaikan dan menyalurkan maklumat tentang perkembangan program, aktiviti-aktiviti parti, YB-YB dan pendekatan-pendekatan kemasyarakatan dan kebajikan dan pelbagai lagi yang dilakukan oleh PAS  dalam menunjukkan imej yang besar dalam menggambarkan persepsi yang terang, bersih dan baik (dan sememangnya PAS begitu) terhadap masyarakat agar mereka meletakkan keyakinan bahawa PAS adalah layak untuk mentadbir dan menguruskan negeri ini bahkan sudah masanya menyerahkan tampuk pemerintahan kepada PAS dan sudah cukup Umno dengan korupsinya, penyelewengannya, kepincangannya dengan berbagai kegagalan pada sudut pengurusan ekonomi yang baik, pada sudut pengurusan pembangunan yang jujur dan benar maka pada masa itulah bagaimana kita mahu menyampaikan maklumat-maklumat tentang parti kita.
Ketiga, bagaimana kita mahu pastikan kaedah dan cara yang berbagai-bagai ini yang benar-benar memberi kesan dan sampai maklumat ini dan isu penting kepada rakyat sehingga mereka dapat membentuk pandangan umum atau “Public Opinion” yang positif kepada PAS dan mereka mula mempunyai kesedaran yang tinggi untuk membuat perubahan dalam PRU 14 nanti. Didalam lajnah ini ada satu perkara yang dianggap perlu diambil perhatian dalam suasana dunia langit terbuka yang terdedah dengan perkembangan teknologi yang baru bagaimana kita mahu melakukan hubungan media yang jelas dan mempergunakan seluruh sumber-sumber dan kaedah-kaedah yang ada untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat. Oleh kerana itu saya yakin dan percaya dapat mencari dan memperoleh sokongan dan dokongan bukan sahaja dari jentera parti tetapi juga dari golongan profesional yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah dan juga dari berbagai-bagai golongan-golongan yang bersedia dengan jujur untuk membongkar segala penyelewengan  dan kepincangan yang ada dalam kerajaan hari ini agar isu-isu berkait dengan kepincangan dan penyelewengan ini dapat kita garapkan, kita kembangkan dan kita boleh sampaikan kepada rakyat.
Begitu juga hubungan PAS dengan pihak media. Tak kira samada media cetak ataupun maya yang mana saya percaya mereka semua adalah pihak yang memainkan peranan penting bagi menyampaikan isu-isu yang sepatutnya diketahui masyarakat. Bagi saya samada media arus perdana mahupun bukan asalkan memberikan kebaikan atas laporan mereka, kita mesti meraikan mereka.

Saya bersikap terbuka untuk mengemukakan cadangan ini kepada semua pihak bahkan kita akan pastikan Jabatan Penerangan yang digerakkan akan membuka satu ruang yang dinamakan sebagai e-Aduan ataupun e-Maklumat untuk rakyat mengedarkan dan menyampaikan maklumat yang ada di dalam negeri mereka, kawasan, ataupun cawangan, aduan-aduan yang mahu mereka sampaikan untuk kita panjangkan bagi kita memaparkan ketidak caknaan kerajaan hari ini terhadap rakyat. InsyaAllah dengan dokongan dari semua pihak, dengan taufik dan hidayah dari Allah kita akan menggerakkan Lajnah Penerangan Dan Hubungan Media ini dengan sebaik mungkin untuk mencorakkan pemikiran rakyat dan memiliki kesedaran politik yang besar bagi melakukan perubahan besar dalam PRU 14 nanti insyaAllah. Wallahua’lam.

Sunday, December 15, 2013

KUALA TERENGGANU – Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) mengumumkan senarai Kepimpinan Harian PAS Terengganu bagi sesi 2013 – 2015.

Pesuruhjayanya yang baru dilantik, YB Ustaz Satiful Bahri Mamat, membuat pengumuman tersebut di pejabat Perhubungan PAS, Taman Seri Intan Jalan Sultan Omar, sebentar tadi.

Berikut adalah senarai ‘Kepimpinan Harian’ tersebut;

Pesuruhjaya : YB Ustaz Satiful Bahri Mamat
Tim. Pesuruhjaya 1 : YB Dr Alias Abd Razak
Tim. Pesuruhjaya 2 : Haji Yahaya Ali
Tim. Pesuruhjaya 3 : Dato’ Ustaz Nik Muhamad Zawawi
Ketua Dewan Ulama : Dato’ Ustaz Hussin Awang
Ketua Pemuda : Ustaz Kamaruazaman Abdullah
Ketua Muslimat : Puan Safinah Jusoh
Setiausaha : Haji Muhyiddin Abd Rasyid
Penolong Setiausaha (PSU) 1 : Ustaz Zakaria Dagang
PSU 2 : Ustaz Abdullah Suhaimi Zakaria
PSU 3 : YB Haji Hanafiah Mat
Ketua Penerangan : YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Bendahari : M Shukrimun Shamsuddin
Pengarah Jabatan Pilihanraya : YB Ustaz Ariffin Deraman

Sementara itu, tujuh Ahli Jawatankuasa Kerja yang dilantik adalah;

1. YBM Dr Syed azman Syed Ahmad Nawawi
2. Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik
3. Dr Azman ibrahim
4. Haji Saifuddin Othman
5. Ustaz azman Shapawi Abdul Rani
6. Ustaz Mohd Harun Jusoh
7. Hajah Zarani Othman

Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi membentangkan bajet 2014 yang berlangsung selama empat hari bermula 9 Disember dicemari dengan peristiwa Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) melawan arahan Speaker Dewan.
Kejadian tersebut berlaku dengan jelas pada hari terakhir persidangan itu ketika bacaan usul dijalankan bagi meluluskan beberapa enakmen.
Exco Perindustrian dan Perdagangan Tengku Putera Tengku Awang  cuba mencadangkan kepada speaker agar dicatatkan dalam handsard sikap berkecuali pembangkang (tidak angkat tangan) sebagai membangkang usul.
Beliau menambah lagi selepas ini pembangkang tidak boleh mendakwa bahawa mereka terlibat dengan usul-usul yang dikemukakan kerana sikap berkecuali itu dikira sebagai menentang.
Namun beberapa Adun dari Pakatan Rakyat bangun membantah cadangan yang mereka anggap sebagai cubaan menafsirkan sendiri peraturan dewan tanpa asas.
Adun Bandar Azan Ismail menempelak Tengku Putera dengan penegasan bahawa tiada dalam buku peraturan mesyuarat sikap berkecuali bermakna membantah ataupun bersetuju dengan sesuatu cadangan.
Pertikaman lidah terus berlangsung apabila Exco yang juga Adun Kuala Berang itu terus mempertahankan cadangannya itu agar sikap berkecuali dikira menentang dan kemudiannya beberapa wakil rakyat lain turut masuk campur.
Speaker berjaya menenangkan keadaan dan kemudiannya bersetuju dengan Adun Bandar berkenaan penafsiran yang dicadangkan oleh Tengku Putera itu tidak tepat.
Speraker kemudiannya mengarahkan agar Tengku Putera agar menarik balik cadangannya itu.
Namun beliau yang juga bekas Speaker bersikap keras kepala dengan tidak mahu menarik balik kenyataan beliau yang tidak tepat itu.
Kemudian bangun Pesuruhjaya Pas Terengganu yang juga Adun Paka Ustaz Saiful Bahari Mamat mendesak Tengku Putera agar mengikut arahan menarik balik kenyataan oleh Speaker.
“Doh guane (macamana) yang speaker suruh tarik dok (tak) tarik balik?
Kekgi (nanti) orang kata derhaka pada speaker,” kata beliau yang mengundang ketawa orang ramai.
Beliau yang jelas kesal dengan keengganan Tengku Putera menarik balik kenyataannya itu berkata hal ini akan menjadi contoh yang tidak baik kepada semua apabila exco tidak menghormati Speaker.
Sementara itu YAB Menteri Besar Dato Ahmad Said juga didapati gagal mematuhi arahan Speaker yang mengarahkan wakil-wakil rakyat agar mendapatkan sumber hanya dari hansard atau laman kerajaan negeri dan bukan dari akhbar.
Beliau telah mengemukakan tuduhan sesetengah pengguna internet yang menggelarkan beliau sebagai “Robin Hood” apabila beliau menahan sebuah lori roti bagi mengagihkannya kepada mangsa banjir yang terperangkap di jalanraya.
Namun hal tersebut dibantah oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat kerana sumber yang beliau nyatakan dari beberapa blog.
Bantahan dari PR dikemukakan kerana Adun mereka Azan Ismail baru sahaja mendapat amaran dari Speaker kerana mengambil sumber rujukan dari akhbar apabila beliau cuba meminta penjelasan berkenaan pembaziran RM800 juta dalam projek LPT 2.
Namun bantahan dari Pakatan Rakyat tidak diendahkan dan Dato' Ahmad Said meneruskan penjelasannya.

Wednesday, December 11, 2013


“Semua soalan saya ditolak, samada soalan lisan ataupun yang bertulis, “ begitulah luahan kekesalan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.
Beliau seperti tidak percaya dengan penolakan kesemua soalan-soalan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu kali ini.
Dan penolakan soalan-soalan ini pada pendapat beliau, sebagai bukti kerajaan tidak mengambil berat tentang permasalahan rakyat.
Kesemua 12 soalan beliau yang ditolak itu adalah hasil dari perbincangan beliau dengan rakyat, agar ianya bukan soalan yang terkeluar dari kehendak dan keinginan rakyat.
Oleh itu beliau menyimpulkan bahawa penolakan soalan itu adalah penolakan kepada kehendak rakyat negeri Terengganu.
Bahkan beliau turut memberikan contoh, iaitu usul mengenai banjir yang memusnahkan banyak harta benda di Kemaman dan Dungun baru-baru ini, turut ditolak oleh Speaker dengan alasan ianya tidak perlu disegerakan.
Usul bagi membincangkan hal berkenaan banjir yang luar biasa berlaku di Kemaman dan Dungun itu telah dibawakan oleh Adun Rantau Abang YB Haji Alias Harun untuk dibincangkan tetapi ditolak oleh Speaker
“Sidang Dun adalah medan terbaik bagi wakil-wakil rakyat mencari kata sepakat dalam menentukan contohnya, jumlah bantuan bagi mangsa banjir.
Ianya (Sidang Dun) seperti yang diusulkan, boleh digunakan bagi memutuskan untuk menubuhkan platform khas bagi mengkaji punca banjir dan pelan perancangan yang teratur dimasa akan datang.
Tetapi jika kesemua soalan dan usul untuk kepentingan rakyat ditolak maka bagi saya ini menunjukkan kerajaan tidak perihatin kepada rakyat,” jelas beliau.
Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi membahaskan bajet 2014 sedang berlangsung selama empat hari bermula 9 Disember dan akan berkahir pada 12 Disember 2013.

ARKIB