Saturday, September 1, 2012

Buletin keluaran MTD Bukit Payong - Cakna Tok Wakil Kita 3 dan soalan-soalan oleh YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang ditolak dalam Sidang DUN baru-baru ini. Sila download untuk bacaan anda dan sebarkan.

     
Bismillah
Kenyataan Mahathir mutakhir ini jangan dianggap bodoh dan nyanyuk kerana beliau tokoh sanjungan dan pujaan segolongan penyokong yang taksub kepada UMNO. Segala pandangan dan ucapan Mahathir akan dianggap benar dan kata-kata mutiara oleh pemuja setia Mahathir. Mahathir bagaikan masih berjawatan Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO kerana Dato Sri Najib Tun Razab tidak dapat mengawal Mahathir dan kroninya untuk menguasai politik UMNO dan ekonomi Negara , walaupun beliau pernah melepaskan jawatan dengan iringan kesayuan oleh penyokong-penyokongnya. Dato Sri Najib Tun Razak tidak akan sekali-kali berani menidakkan dan menafikan serta memberi kritikan terhadap segala kenyataan Mahathir. Jasa mahathir sangat besar buat Dato Sri Najib Tun Razak kerana menjatuh dan memalukan Pak Lah, walaupun Pak Lah seolah-olah tidak mempunyai maruah dan harga diri untuk mempertahankan dirinya.

Kesian Pak Lah kerana dihina oleh Mahathir yang mahu terus berkuasa dan mengawal UMNO dan kepimpinannya. Ketika itu ada benarnya pada mahathir, ketika menjatuhkan Pak lah kerana Pak Lah lemah dan tidak berupaya memimpin UMNO. Tapi Mahathir salah kerana memalu dan menghina sahabat setianya. Mungkin ada benarnya dalam politik UMNO, sahabat boleh dihina untuk kepentingan politik. Mahathir memang benar dalam merealisasikan politik syaitan dalam UMNO dan kepentingannya. Ada benar, Mahathir mempertahankan syaitan kerana beliau mengakui pimpinan UMNO adalah syaitan dan UMNO adalah parti syaitan. Mungkin juga beliau adalah salah satu syaitan yang pernah dipuja dan dipilih.

Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa “lebih baik (memilih) syaitan yang anda kenali dari malaikat yang anda tidak kenal” membawa pengertian lebih baik mengundi“syaitan yang dikenali dalam BN” dari mengundi “Malaikat yang belum pasti dalam Pakatan Rakyat”. Mungkin tafsiran itu benar atau salah, hanya Allah yang mengetahui. Tapi perbandingan syaitan itu lebih baik daripada malaikat memang salah dan boleh menjejaskan rukun iman. Syaitan memang jahat dan malaikat memang baik. Kalau Mahathir menganggap syaitan itu adalah UMNO dan pimpinannya, ada benarnya kerana sikap dan perangai. Allah yang sangat mengenali syaitan telah menyatakan sifat dan sikapnya dalam Al-Quraan.

Syaitan memiliki beberapa ciri yang menjadikan insan mukmin sangat mengenalinya. Antara ciri-cirinya ialah :

PERTAMA : Syaitan sangat hampir dengan manusia.

عَنْ صَفِيَّةَ بِنْتِ حُيَيٍّ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُعْتَكِفًا فَأَتَيْتُهُ أَزُورُهُ لَيْلًا فَحَدَّثْتُهُ ثُمَّ قُمْتُ فَانْقَلَبْتُ فَقَامَ مَعِي لِيَقْلِبَنِي وَكَانَ مَسْكَنُهَا فِي دَارِ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ فَمَرَّ رَجُلَانِ مِنْ الْأَنْصَارِ فَلَمَّا رَأَيَا النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَسْرَعَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى رِسْلِكُمَا إِنَّهَا صَفِيَّةُ بِنْتُ حُيَيٍّ فَقَالَا سُبْحَانَ اللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنْ الْإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ وَإِنِّي خَشِيتُ أَنْ يَقْذِفَ فِي قُلُوبِكُمَا سُوءًا أَوْ قَالَ شَيْئًا ) متفق عليه ،

Daripada Sofiyyah binti Huyai berkata : Adalah Rasulullah sedang beriktikaf, maka aku datang menziarahi bagindapada satu malam untuk bercakap dengannya. Kemudian aku pun bangun dan beredar. Maka Rasulullah pun bangun bersamanya untuk mengiringinya sedg tempat tinggalnya di rumah Usamah bin Zaid. Tiba-tiba lalu dua lelaki Ansar dan keduanya melihat baginda serta berjalan dengan cepat. Tiba-tiba Nabi bersabda : Tunggu ! Sesngguhnya perempuan ini adalah Sofiyyah binti Huyai. Dua lelalaki berkata : Subhanallah ! Wahai rasulullah ! . rasulullah bersabda : Sesungguhnya syaitan menyusur dalam darah manusia dan aku bimbang bahawa dicampakkan sesuatu yang buruk dalam hati kamu.”

KEDUA : Syaitan akan menemani setiap orang untuk merosakkannya.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ (مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا وَقَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِينُهُ مِنْ الْجِنِّ وَقَرِينُهُ مِنْ الْمَلَائِكَةِ قَالُوا وَإِيَّاكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَإِيَّايَ إِلَّا أَنَّ اللَّهَ أَعَانَنِي عَلَيْهِ فَأَسْلَمَ فَلَا يَأْمُرُنِي إِلَّا بِخَيْرٍ ) رواه مسلم رواه مسلم وغيره

Daripada Abdullah bin mas’ud berkata, rasulullah bersabda : Tiada seorang pun dari kalangan kamu melainkan disertai bersamanya teman daripada jin dan teman dari malaikat. Para sahabat bertanya : Dan engkau juga ? Wahai Rasulullah ! rasulullah menjawab : Ya melainkan Allah telah menolongku untuk menghadapinya, maka dia telah Islam. Dia tidak menyuruhku melainkan kebaikan.”
Syaitan yang berteman dan berjaya merosakkan manusia akan berlepas diri daripada kesesatan manusia sebagaimana Firman Allah dalam surah Qaf, ayat 27 :
27. (semasa ia dihumbankan ke Dalam neraka Jahannam, ia mendakwa Bahawa Syaitanlah Yang menjadikan Dia sesat; pada saat itu) Syaitan Yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: "Wahai Tuhan kami, Aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya Dia sendiri berada di Dalam kesesatan Yang jauh terpesong".

KETIGA : Syaitan akan mengeluarkan manusia daripada nikmat ketaatan kepada Allah kepada kecelakaan penderhakaan kepada Allah. Allah telah mendedahkan hakikat perangai syaitan ini dengan firmannya dalam surah Taha, ayat 117 :
117. Maka, Kami berfirman: "Wahai Adam Sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga, kerana Dengan Yang demikian Engkau (dan isterimu) akan menderita.
KEEMPAT : Memilih dan mengikuti syaitan akan menuju kebinasaan dan neraka. Firman Allah dalam surah Al-Hajj, ayat 3-4 :
3. Dan ada di antara manusia yang membantah perkara-perkara yang berhubung Dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan ia menurut tiap-tiap Syaitan yang telah sebati Dengan kejahatan.

4. Yang telah ditetapkan kepada (tiap-tiap) Syaitan itu, Bahawa sesiapa Yang berketuakan Dia, maka Sesungguhnya ia akan menyesatkannya dan memimpinnya kepada azab neraka.
KELIMA : Syaitan memiliki pengikut dan pendokong dalam satu parti yang bergelar Parti Syaitan. Firman Allah dalam surah al-Mujadilah, ayat 19 :
19. Syaitan telah Menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah parti syaitan. Ketahuilah! Bahawa parti Syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi.
KEENAM : Syaitan akan menakut-nakutkan dan mengugut manusia dengan kemiskinan, kerugian daripada kemewahan dunia serta melupakan segala kenikmatan adalah kurniaan Allah. Firman Allah yang mendedahkan sikap ini dalam surah al-Baqarah, ayat 268 :
268. Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu Dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan Yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadanya serta kelebihan kurniaNya. dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa meliputi pengetahuanNya.

Syaitan juga menakutkan manusia dengan kejahatan dan kerakusan pendokong-pendokong dan auliya’ syaitan supaya manusia jangan menentang dan terus memilih syaitan sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat 175 :
175. Sesungguhnya (pembawa berita) Yang demikian itu ialah Syaitan Yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya. oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu (jangan cuaikan perintahKu), jika betul kamu orang-orang yang beriman.
KETUJUH : Syaitan mahu menyemarakkan permusuhan dan kebencian antara manusia dengan agenda jahat dan perbuatan dosa. Syaitan akan terus menaja dan menjaja arak, perjudian dan segala program yang menjauhkan manusia daripada mengingati Allah. Firman Allah dalam surah al-maidah, ayat 91 :
91. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu Dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara Yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
KELAPAN : Syaitan gagal menguasai golongan yang ikhlas dan baik. Syaitan bukan pilihan untuk golongan yang ikhlas dan jujur dengan keimanan dan perjuangan Islam. Firman Allah dalam surah al-Hijr, ayat 39 – 42 :
39. Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) Demi Sesungguhnya Aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan Aku akan menyesatkan mereka semuanya,
40. "Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik".
41. Allah berfirman: "Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya.
42. "Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang Kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang Yang sesat (dengan pilihannya sendiri).
KESEMBILAN : Syaitan adalah musuh manusia. Allah menyuruh manusia menjadikan syaitan musuh, bukan pilihan dan bukan terbaik. Firman Allah dalah surah Fathir, ayat 6
6. Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka Jadikanlah Dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya Dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.
KESEPULUH : Syaitan akan menghancurkan seseorang yang meminta bantuan daripada syaitan bahkan syaitan akan membuatkan dia akan hidup sia-sia di dunia dan binasa di akhirat. Firman Allah dalam surah Al-Jin, ayat 6 :
6. `Dan Bahawa Sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya Dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin (syaitan), kerana Dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.
KESEBELAS : Allah menyuruh kita memohon perlindungan daripada kejahatan dan godaan syaitan. Firman Allah dalam surah al-A’raf, ayat 200 – 201:
200. Dan jika Engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

201. Sesungguhnya orang-orang Yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka Dengan itu mereka nampak (jalan Yang benar).
Pelik bin ajaib, Mahathir kata pilih syaitan lebih baik tapi Allah kata syaitan jahat dan jangan pilih. Mahathir pertahan UMNO supaya terus pilih UMNO, walaupun UMNO seperti syaitan tapi Allah melarang memilih sesiapa yang berwajah syaitan. Lagi pelik, seluruh penyokong UMNO tidak terasa apa-apa dan mendiamkan diri kerana membenarkan kata-kata Mahathir. Mana mufti-mufti dan ulama UMNO dalam menjawab dan memperbetulkan kenyataan yang sesat ini, atau memang ulama UMNO membenarkan juga kata-kata Mahathir ini. Terserah kepada rakyat sama ada mahu membenarkan kata-kata Mahathir atau menafikannya. Pilih UMNO dalam PRU 13 bererti membenarkan kata-kata Mahathir tapi jika rakyat tolak UMNO dalam PRU 13 bererti UMNO bukan pilihan lagi dan Mahathir memang salah. Firman Allah dalam surah al-Ana’am, ayat 112 m- 114 :
112. Dan Demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya Yang lain kata-kata dusta Yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. oleh itu, biarkanlah mereka dan apa Yang mereka ada-adakan (dari perbuatan Yang kufur dan dusta) itu.

113. Dan juga supaya hati orang-orang Yang tidak beriman kepada hari akhirat cenderung kepada bisikan itu, dan supaya disetujui oleh mereka, dan juga supaya mereka (terus) melakukan apa Yang mereka lakukan itu.

114. (Katakanlah Wahai Muhammad): "Patutkah Aku (terpedaya Dengan kata-kata dusta syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dia lah Yang menurunkan kepada kamu Kitab Al-Quran Yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang Yang benar dan Yang salah)?" dan orang-orang Yang Kami berikan kitab, mengetahui Bahawa Al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu Dengan sebenar-benarnya. oleh itu, jangan sekali-kali Engkau menjadi (salah seorang) dari golongan Yang ragu-ragu.
Wallahu a'lam

Tuesday, August 28, 2012


PAS merupakan parti yang sangat setia dengan perjanjiannya. Pimpinan PAS perlu dipuji dengan akhlak mulia dalam memperteguh dan memperkukuh pakatan dan tahaluf siasii ke arah menuju kemenangan Islam. PAS dan pimpinan tidak akan mengkhianati perjanjian dan tahaluf ini, walaupun sejarah pernah membukti PAS telah dikhianati rakan tahaluf politik seperti UMNO dan Semangat 46. Pengalaman pahit dengan pengkhianatan rakan tahaluf, tidak pernah mematikan perjuangan dan perjalanan politik PAS. PAS terus mengajak rakan tahaluf siasi agar menghormati dan bertasamuh dengan segala perselisihan dan kekhilafan idealogi dan bersepakat untuk bekerjasama dalam perkara yang dipersetujui  bersama. Kenapa beberapa orang pimpinan DAP dan PKR  tidak boleh berdiam diri untuk tidak terus mempertikai Negara Islam dan perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah Islam ? Marilah kita tumpukan tindakan untuk menggenggam jari jemari untuk membuatkan satu penumbuk kukuh dan kuat bagi menjatuhkan Barisan Nasional dan UMNO dalam PRU 13.

Dalam kitab dongeng ‘Kalilah wa Dimnah’ terdapat satu cerita menarik yang dapat kita jadikan pengajaran berharga dalam menjalani tahalauf siasi. Ringkasan cerita itu adalah seperti berikut ;

Konon ada seekor singa dan tiga ekor sapi yang berbeza-beza warnanya. Seekor berwarna putih, dan yang dua berwarna hitam dan merah. Keempat haiwan ini hidup di tengah-tengah hutan. Singa tidak dapat menerkam salah satu dari tiga sapi tersebut, kerana ketiga sapi bersatu dan saling bekerjasama menjaga antara satu sama lain. Singa mempunyai niat jahat, dia memujuk dua ekor sapi yang berwarna hitam dan merah untuk pergi menikmati keindahan hutan dan mencari makan. Kedua sapi itu dengan senang hati pergi berkeliling hutan.

Sang singa gembira kerana ia punya kesempatan untuk memangsa sapi yang berwarna putih, kerana sapi itu hanya sendirian. Setelah memangsakan sapi putih, sang singa mengejar kedua sapi yang tadi pergi.

Singa mendatangi sapi hitam dan berkata : “Aku mempunyai  cadangan, bagaimana kalau aku membunuh sapi merah dan kemudian harta di hutan ini, kita bahagi antara kita berdua. Ini tentunya lebih menguntungkan kamu daripada harta di hutan ini dibahagikan menjadi tiga bersama sapi merah.” Sapi hitam bersetuju dangan cadangan singa itu dan akhirnya sang singa menerkam sapi merah.

Sekarang di hutan itu hanya ada seekor sapi hitam dan seekor singa. Dan di saat singa mulai lapar tidak ada lain melainkan dia mesti memangsakan sapi hitam tadi. Ketika singa hendak menerkamnya, sapi hitam mengingatkannya perjanjian yang pernah disepakati kedua, namun singa tidak ingat dengan janjinya. Maka di waktu itu, sapi hitam baru menyedari bahawa dia dibohongi oleh sang singa, dan sang sapi hitam pun berkata : “Sebenarnya aku telah mati di saat singa menerkam sapi putih kawanku.”

Pengajaran cerita ini sangat mudah difahami oleh mereka yang melalui pergolakkan politik negara hari ini. Barisan Nasional sangat menyedari kekuatan PAS dan pengundi melayu. UMNO hanya mengharapkan sokongan pengundi melayu untuk meneruskan UMNO berada di persada politik tapi musuh sebenar UMNO ialah PAS. Jika PAS kalah bererti UMNO menang, maka UMNO berjaya menolak segala usaha PAS ganti UMNO. Bagaimana UMNO bagaikan sang singa tadi mahu menjauhkan sokongan melayu dan rakyat terhadap PAS ? Bila PAS gagal menjatuhkan UMNO, bermakna UMNO terus berkuasa. Pakatan Rakyat juga tidak akan kuat, jika PAS lemah dan tidak mendapat sokongan rakyat dan pengundi melayu. UMNO akan pastikan rakyat dan pengundi melayu tidak mempercayai PAS untuk menegakkan negara Islam dan melaksanakan syariat Islam, akhirnya rakyat dibutakan oleh media pro UMNO dan terus menyokong UMNO yang penipu dan zalim. Jika PAS ditolak  oleh rakyat, maka PKR dan DAP tidak akan memerintah juga kerana PAS sahaja insyaAllah yang mampu menjatuhkan UMNO yang menjadi parti tulang belakang dalam Barisan Nasional. Patah tulang belakang, nescaya lumpuh Barisan Nasional selepas PRU 13. Takbir.....!!!

Ustaz Mohd Nor Hamzah
8 Syawal 1433

Wednesday, August 22, 2012


Petikan : Buletin Online

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita1/perantau3.jpgKUALA TERENGGANU – Gelombang kebangkitan rakyat khususnya kesedaran anak-anak muda akan terus kekal bersama PAS sehingga tarikh pilihanraya umum ke-13 yang akan datang.

Mengekalkan gelombang tersebut, PAS akan meneruskan program berprestij Himpunan Kebangkitan Rakyat – PAS Ganti Umno (PGU) kali ke lima (PGU05) di kawasan dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi Kawasan Parlimen Setiu.

Ketua Dewan Pemuda PAS selaku Pengarah PGU05, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, ia akan diadakan selama dua hari pada 5 dan 6 hb Oktober depan.

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita1/perantau2.jpg“Saya mahu mengumkan, InsyaAllah pada bulan Oktober nanti, kita akan mengadakan himpunan besar-besar gabungan pemuda dan muslimat,

“Di waktu yang sama kemuncaknya adalah Himpunan Kebangkitan Rakyat Negeri Terengganu Siri yang ke lima, PAS Ganti Umno (PGU),”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Sempena Eidul Fitri berama anak-anak Terengganu di perantauan yang diadakan di Markaz Tarbiah PAS Kuala Terengganu dekat sini pada malam 2 Syawal Isnin, 21 Ogos.

Menurutnya, pengekalan kesedaran politik yang tinggi di kalangan anak-anak muda pada masakini akan dapat menumbangkan kerajaan Umno dan barisan Nasional yang dibina dengan rasuah dan peyalahgunaan kuasa.

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita1/perantau1.jpg“Saya melihat suasana (kebangkitan) anak-anak muda yang hebat dengan kesedaran politik yang tinggi akan dapat menumbangkan kerajaan (Umno-BN) yag dibina dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, pembaziran dan segala keruntuhan seluruh aspek,

“InsyaaLlah (akan) tumbang dalam pilihanraya ke -13 (dan) kita bina kerajaan baru yang telus, tulus dan bersih,”tegasnya.

Turut berucap dalam program tahunan PAS Terengganu itu adalah Presiden PAS dato’ Seri Tuan guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Pesuruhjaya Ustaz Satiful Bahri Mamat, Ketua Dewan Muslimat Puan Safinah Jusoh dan Ketua Dewan Ulamak Dato’ Ustaz Husin Awang.

Turut hadir selain seluruh pimpinan PAS Terengganu adalah Setiausaha Agong Dato’ Mustafa Ali, AJK PAS Pusat Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik dan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Dato’ Wan Mutalib Embong.

Monday, August 20, 2012

Khutbah Eid Fitri yang disampaikan oleh YB Ustaz Mohd Nor Hamzah Adun Bukit Payong di Masjid Titian Baru pada 19hb Ogos 2012.Sama-samalah kita mengambil iktibar daripada isi kandungan khutbah ini insyaAllah

http://www.youtube.com/watch?v=lFIFV0qTaw0

http://www.youtube.com/watch?v=oGMymM1OHro

Saturday, August 18, 2012



Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Walillaahil hamd

Alhamdulillah.Kita telah selamat menempuh dugaan dalam bulan Ramadhan.Bulan yang menjadi madrasah bagi mendidik diri menjadi orang yang bertaqwa seperti firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah “moga-moga kamu bertaqwa”.
Sahabat-sahabat sekelian suka saya menyentuh khusus berkenaan rasuah yang sedang teruk membarah dalam masyarakat kita sekarang ini. Ini adalah hasil daripada hilangnya taqwa kepada Allah.Tidak merasakan dosa atas perbuatan yang dilarang oleh Allah.Maka apakah hasilnya dari berpuasa itu?
Saya menyeru kepada semua agar menjauhkan diri daripada rasuah,menentang pelbagai bentuk rasuah dan juga kita mesti berperanan untuk memastikan rasuah mati dalam masyarakat kita dengan mengenal asalnya,caranya, pemberinya dan juga penerimanya.Untuk mencapai maksud ini, kita hendaklah mencarinya dengan ilmu.Apa lagi kalau tidak dengan mukjizat yang Allah kurniakan kepada kita iaitulah al-Quran.
Rasuah berlaku kerana ketidakpedulian kerajaan yang memerintah untuk membanterasnya dengan Islam.Masih ada dalam kepompong pemikiran sesetengah cerdik pandai bahawa Islam bukan jalannya. Mengingatkan orang Islam akan dosanya rasuah, bagi mereka seperti tidak perlu sedangkan diutuskan rasulullah kepada manusia untuk memberi peringatan ancaman kepada mereka yang ingkar dan memberikan berita gembira kepada mereka yang taat.
Begitulah malangnya nasib kita jika dibiarkan orang yang tidak amanah terus menerus memegang tampuk kekuasaan sedangkan kita mempunyai pilihan dan mampu menukarkan mereka dengan insan-insan yang taqwa kepada Allah.
Oleh itu jadikanlah ramadhan yang baru sahaja berlalu sebagai titik perubahan kepada bukan sahaja dalam kualiti ibadat peribadi kita malah dalam membentuk masyarakat keseluruhannya agar lebih bertaqwa kepada Allah.Maka saya menyeru kepada semua umat Islam agar hidup dalam ketaqwaan dengan membuang segala-gala yang tidak selari dengan Islam termasuklah membuang pemerintah yang tidak bertaqwa kepada Allah dan menggantikannya dengan yang hanya takutkan Allah insyaAllah
Dan akhir kata, saya serta keluarga, dan seluruh AJK MTD Bukit Payong mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Batin, Taqabbalallahu minna waminkum.Kullu a’am wa antum bikhair
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Walillaahil hamd

Wednesday, August 15, 2012


Marang : Ustaz Nasharuddin Mat Isa digesa agar bersikap berhati-hati dan bertaqwa dengan godaan hizbu syaitan yang sentiasa mencari-cari cara untuk melemahkan pendukung-pendukung Islam.

Gesaan itu dibuat oleh YB Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika ditanya pendapatnya berkenaan gambar Ustaz Nasharuddin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tersebar di internet ketika keduanya berada di Mekah.
Ustaz Mohd Nor yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT),menambah lagi sebagai seorang sahabat dia wajib menasihati Ustaz Nasha kerana bimbang dia akan tergelincir dari landasan perjuangan PAS.
“Pesanan ini adalah ikhlas datang dari seorang sahabat.
Dia sepatutnya berwaspada dengan godaan dan pujuk rayu hizbu syaitan yang sentiasa akan menggoda pendukung-pendukung Islam.
Saya minta dia bertaqwa kepada Allah
Gambar itu boleh menimbulkan fitnah kepada orang ramai,” katanya.
Gambar-gambar Ustaz Nasha yang dilihat sangat mesra dengan PM itu telah tersebar di internet sejak semalam yang sekaligus telah diberi komen-komen negatif oleh mereka yang dipercayai penyokong PAS.
Dipercayai Ustaz Nasha menjadi jurubahasa kepada Najib dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh beberapa ulamak dari negara arab.
Hal ini menyebabkan Dewan Pemuda PAS Kelantan (DPPNK) mengeluarkan kenyataan mendesak agar Ustaz Nasha menyatakan sikap dan melepaskan jawatannya beliau sebagai Ahli Parlimen Bachok sekiranya beliau tidak boleh mengikut kehendak parti.

Sebelum itu dalam siaran Buletin Utama, beliau dilaporkan sebagai berkata PAS wajar keluar dari Pakatan Rakyat (PR) sekiranya Democratic Action Party (DAP) menentang hudud.
Petikan : Buletin Online
Maidam dakwa 39 amil DiPecat; Kerajaan Kata Sebaliknya - Pada 28 Jun 2012 menurut siaran sebuah akhbar tempatan, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) melucutkan serta-merta pelantikan 39 amil pada tahun 2011 setelah didapati terlibat menyeleweng wang kutipan zakat.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Mazlan Hashim berkata, tindakan tegas itu diambil berikutan amil yang terlibat gagal menyerahkan wang kutipan yang diperoleh mengikut tempoh yang ditetapkan.

Sehubungan itu, pada 1 Julai 2012 Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, tindakan memecat amil tersebut adalah tepat kerana kerajaan tidak boleh bertolak ansur dengan pihak yang gagal melaksanakan tanggungjawab.

Sebaliknya kerajaan Umno-BN Terengganu telah menolak soalan yang dikemukakan oleh ADUN Bukit Payong pada sidang DUN 18 Ogos lalu, berkenaan perkara tersebut.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah menyifatkan ia adalah satu tindakan kerajaan menyelewengkan fakta dan kebenaran dan cuba mengelirukan rakyat.

“Saya hairan, gesaan saya supaya kerajaan mengambil tindakan ke atas amil-amil yang dipecat tidak diendahkan sedangkan Khazan mendakwa tindakan memecat amil terbabit adalah tepat,

“Saya ajukan soalan untuk meminta bukti siapakah amil-amil yang dipecat itu, tetapi soalan saya ditolak,”tegasnya.

Menurutnya, ini membuktikan bahawa kerajaan Umno-BN tidak layak lagi diberi amanah untuk mentadbir negeri Terengganu.


Sijil Halal; Kenyataan JHEAT Bercanggah

ADUN Sura Ustaz Wan Hassan Mohd Ramly berkata, kenyataan JHEAT berkenaan pengeluaran sijil halal bercanggah dengan jawapan yang dikemukakan kerajaan dalam sidang DUN baru-baru ini.

Menurutnya, pada 8 Ogos 2012, dilaporkan kira-kira 60 peratus hotel di Terengganu mempunyai sijil pengesahan halal dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Beliau berkata, menurut Pesuruhjaya JHEAT Datuk Mohd Rozali Saleh, sepanjang tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, pihaknya meluluskan 19 permohonan sijil halal baharu bagi dapur hotel.

“JHEAT kata 60 Peratus Hotel Di Terengganu Peroleh Sijil Halal JHEAT, tapi kerajaan kata hanya ada 6 buah premis makan yang diluluskan,

“ini tidak tepat dan bercanggah sama sekali kerana kita menyemak ada 38 buah hotel diseluruh Kuala Terengganu,”ujarnya.

Katanya, antara hotel terkemuka disenaraikan dalam jawapan kerajaan itu adalah Riyaz Heritage Marina & Spa, hotel Tanjung Vista, hotel Laguna, Gem Beach Resort dan hotel Seri Malaysia.


Bajet Meningkat Hutang Bertambah

Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu didedahkan kerajaan negeri telah berhutang sebanyak RM1.0588 bilion dengan kerajaan pusat.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said menjelaskan pada dewan sehingga 31 Disember 2011 kerajaan negeri masih berhutang sebanyak RM1.005,885,045.33 dengan kerajaan pusat.

“Jumlah hutang kerajaan negeri dengan kerajaan pusat sehingga kini sebanyak RM1.005,885,045.33 dan terdapat tiga kategori pinjaman yang diberikan kerajaan pusat kepada negeri-negeri termasuk Terengganu iaitu pinjaman untuk kawasan perindustrian, pinjaman untuk membina rumah kos rendah dan pinjaman perbekalan air,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir, Dato’ Harun Taib yang ingin tahu adakah kerajaan negeri masih berhutang dengan kerajaan pusat dan berapakah jumlahnya.

Katanya, sehingga kini hutang kerajaan negeri yang membabitkan bekalan air sahaja berjumlah RM708,385,103.85.

Sementara itu, Ustaz Harun menyifatkan hutang kerajaan negeri yang mencecah lebih RM1 bilion itu agak besar yang patut dikurangkan.

Menurutnya, Terengganu yang mempunyai pendapatan besar dari hasil royalti tidak harus mempunyai bebanan hutang negeri yang begitu besar.

Thursday, August 9, 2012


Bukit Payong : Perang Badar adalah perang pertama umat Islam menentang kafir Quraisy berlaku dalam tahun dua Hijrah selepas kewajipan berpuasa diturunkan kepada umat Islam.

Peperangan yang menjadi bukti nyata kecintaan yang tiada tolok bandingnya kepada Allah dan rasul oleh sahabat-sahabat rasulullah s.a.w.

Demikian antara intipati ceramah Badar al-Kubra, Iktibar kepada ummah yang disampaikan oleh Ustaz Ridzuan Hashim di Masjid Titian Baru baru-baru ini.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu itu seterusnya menambah, perang Badar juga menunjukkan betapa istiqamahnya sahabat-sahabat dengan jalan Allah dan sanggup bersama-sama bersusah payah dengan rasulullah.

“Adakah sikap ini ada pada diri kita semua? ,” soalnya.

“Apabila keimanan kita kepada Allah dan rasul lemah, cintakan dunia melebihi cinta kepada Allah dan rasul, maka akan terjadilah penyakit futur,” tambahnya lagi.

Mengambil ruh Badar ini, menurutnya lagi, maka PAS sangat konsisten dengan prinsip Islam yang menjadi asas penubuhan parti itu dan tidak sanggup menggadai prinsip Islam walau atas alasan apapun.

Atas sikap beristiqamah itulah maka dapat dilihat ramai yang telah menyertai PAS biarpun sebelum ini mereka merasakan fobia dengan PAS.

Beliau seterusnya mengajak orang ramai supaya bermuhasabah diri agar layak mendapat pertolongan dari Allah.

“Pertolongan Allah datang dalam pelbagai cara. Cuma adakah kita layak untuk mendapat pertolonganNya?,” soal beliau.

Justeru, dengan Pilihanraya Umum (PRU) yang bakal menjelma, Ustaz Ridzuan menyatakan, PRU ini adalah medan terbaik bagi PAS menggantikan Umno bukan sahaja di Terengganu tetapi juga di seluruh Malaysia.

Ceramah selepas tarawikh itu turut dihadiri oleh wakil rakyat Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor Hamzah sebagai penceramah pertama.

Wednesday, August 8, 2012

RAMADHAN : BULAN FURQAN

Mengingatkan Perwartaan Enakmen kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M

Ramadan merupakan bulan diturunkan Al-Quraan oleh Allah. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah :

185. (Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah.

Al-Quran bukan sahaja membezakan antara kebenaran dan kebatilan tetapi membezakan antara golongan mukmin dan golongan munafiqin. Golongan mukmin yang setia dengan Islam yang lengkap dan sempurna. Golongan mukmin akan memperjuangkan Islam yang merangkumi seluruh aspek samada politik, pemerintahan, undang-undang, kemasyarakatan, pendidikan, kekeluargaan, pentadbiran dan akhlak. PAS yang konsisten dengan perjuangan Islam telah membuktikan keikhlasan dan kejujurannya untuk melaksanakan pemerintahan Islam di Kelantan di bawah pimpinan Dato Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat dan di Terengganu di bawah kepimpinan Dato seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Haji Awang sepanjang 1999 sehingga 2004. PAS telah menghapuskan permis-permis perjudian dan menghadkan jualan arak. Dataran Batu Burok dijadikan tapak ilmu dan solat tarawih untuk mendidik anak-anak muda supaya mengingati kemuliaan Ramadhan dan mengelakkan kemaksiatan berlaku di persisiran pantai Batu Burok. Kerajaan PAS Terengganu telah mewartakan dengan pindaan dalam Undang-Undang Tubuh Diri Negeri Terengganu dengan meletakkan pada rujukan tertinggi ialah al-Quran, Hadis Nabi, Ijma dan Qias.



RAMADHAN : ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH DIWARTAKAN.

Kerajaan PAS Terengganu telah mencipta sejarah di bulan Ramadhan, apabila Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2 (Hudud dan Qisas) telah diwartakan dengan perkenan Tuanku Sultan Terengganu. PAS sangat konsisten dengan perjuangannya, walaupun dikecam hebat oleh media pro UMNO dan berhadapan dengan tekanan dan sekatan daripada Kerajan Pusat dan UMNO. UMNO tidak berhak untuk mencerca kerjasama PAS dengan DAP, apabila ada pimpinan DAP tidak bersetuju dengan Hudud kerana sikap pimpinan UMNO terhadap Hudud sangat buruk. Kerjasama bukan bererti bersetuju dan bersepakat dalam semua perkara. Kerjasama Pakatan Rakyat untuk meruntuhkan kezaliman, penyalahguna kuasa, penyelewengan, penipuan, pembaziran, rasuah dan kejahatan UMNO dan Barisan Nasional. Contoh mudah, seorang lelaki muslim bekerjasama dengan seorang lelaki non muslim dalam perniagaan pakaian. Kerjasama dalam pengkongsian perniagaan bukan bererti bersetuju dalam semua urusan. Jika rakan kongsi non muslim mengajak rakan kong muslim agar jangan bersembahyang tetapi rakan kongsi muslim tidak bersetuju bukan bererti kerjasama dan pengkongsian perniagaan perlu ditamatkan. Kerjasama Rasulullah dengan Bani Khuza’ah yang tidak Islam bukan bererti Rasulullah menggadai perjuangannya dan bersetuju dengan semua urusan.

GOLONGAN MUNAFIQ JUGA TOLAK HUDUD

Pimpinan UMNO seolah-olah telah meletakkan mereka dalam kelompok yang disebut oleh Allah dalam Al-Quran, apabila pimpinan UMNO menghina syariat Islam dan menghalang perlaksanaannya di Kelantan dan Terengganu. Allah berfirman DALAM SURAH An-Nisa’ ayat 60 :

60. Tidakkah Engkau (hairan) melihat (Wahai Muhammad) orang-orang (munafik) Yang mendakwa Bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran Yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) Yang telah diturunkan dahulu daripadamu? mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka Dengan kesesatan Yang amat jauh.

Ustaz Abu A’la Al-Maududi menyatakan bahawa taghut bermaksud “semua negara, kuasa dan pemerintahan atau kepimpinan yang melanggari agama Allah dan menderhakainya, kemudiaan melaksanakan pemerintahannya di muka bumi dan memaksa seluruh rakyat mentaatinya dengan paksaan, godaan atau pendidikan yang rosak.”

Allah telah menyatakan perbezaan antara kelompok mukmin dan kelompok munafiq dengan ukuran tentang sikap dan pendirian mereka terhadap syariat Islam. Allah berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 61 :

61. Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran Yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah," nescaya Engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) Dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.

Pimpinan UMNO cuba untuk mempersoalkan kerjasama PAS dengan DAP dan berusaha untuk menghancurkan pakatan ini untuk mengekalkan kuasa UMNO selepas PRU 13 bagi mendapat peluang terus untuk menentang syariat Islam dan melakukan kezaliman. Jika DAP tidak bersetuju dengan Hudud, PAS bersedia memahamkan mereka tentang perlaksanaan Hudud sebagaimana Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2 (Hudud dan Qisas). Non Muslim tidak perlu bimbang dan takut dengan Hudud dalam konteks perlaksanaannya kerana tercatat dalam Bahagian XI seksyen 59 : Pemakaian Enakmen ini : (1) Pemakaian Enakmen ini, tertakluk kepada subseksyen (2), Enakmen ini hendaklah terpakai ke atas tiap-tiap ORANG ISLAM yang mukallaf mengenai apa-apa kesalahan yang dilakukan olehnya dalam Negeri Terengganu.

Bahkan PAS berhujjah dalam perlaksanaannya berdasarkan firman Allah dalam surah AL-Maidah, ayat 42 :

“Oleh itu kalau mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa Yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau Engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka Dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.”



ISU HUDUD MEMBEZAKAN PAS DENGAN UMNO

Persoalannya, pimpinan UMNO yang berdiam diri dan mengangguk kepala bersetuju serta dayus untuk berhadapan dengan pimpinan MCA yang menghina syariat Islam. Kalau UMNO jujur untuk memperjuangkan Islam, sudah tentu pimpinan UMNO akan membawa UMNO keluar daripada Barisan Nasional atau UMNO mengeluarkan MCA daripada Barisan Nasional tapi UMNO tidak berani melakukannya kerana cita-cita dan perjuangan UMNO sama dengan MCA, bahkan MCA telah memperkudakan UMNO puluhan tahun untuk membolot harta rakyat dan menghalang perjuangan Islam. Apabila Chua Soi Lek menghina undang-undang Islam dan Hudud, seluruh pimpinan UMNO tersenyum dan mengiyakannya. Dato Seri Najib, Presiden UMNO telah menyokong Presiden MCA dengan memberi jaminan bahawa Hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia dan mengganggap perlaksanaannya akan menyebabkan huru hara. Memalukan masyarakat Islam dan seluruh ahli UMNO yang cintakan Islam, apabila YB Ayub, wakil rakyat UMNO daripada Johor yang mencadangkan agar Johor melaksanakan Hudud tetapi dianggap oleh Presiden MCA sebagai seorang yang hilang akal. Hilang akal bererti gila. Seolah-olah pimpinan MCA kata kepada pimpinan UMNO gila tapi pimpinan dan ahli UMNO diam mengiyakannya.

Kerjasama Pakatan Rakyat sangat berbeza dengan kerjasama dalam Barisan Nasional, bahkan PAS sangat berbeza dengan UMNO. PAS bertegas dengan sesiapa sahaja untuk mempertahankan perjuangan dan dasarnya.Jika pengundi melayu Islam mahu dan sayangkan Islam dengan jaminan perlaksanaan syariah Islam dan keadilan untuk semua, nescaya mereka akan meninggalkan UMNO dan bersama dengan PAS. PAS telah bersedia ganti UMNO untuk ke Wisma darul Iman dan Putrajaya kerana PAS sangat berbeza dengan UMNO. Itulah furqan (perbezaan) yang diajar oleh Al-Quraan untuk diikuti. Rakyat sahaja yang boleh menentukan perbezaan ini dalam PRU 13.

Ustaz Mohd Nor Hamzah   Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu 17 Ramadhan 1433

ARKIB