Friday, April 22, 2011

Petikan daripada TV News.net


..., cakap tak serupa bikin. Bila Presiden MCA menasihati SUPP.


Bekas Presiden MCA Ong Tee Keat menyifatkan Dr Chua Soi Lek sebagai “pembohong dan hipokrit yang menjijikan” bersabit keputusan MCA menerima jawatan dalam Kabinet meskipun parti itu kalah teruk pada PRU 2008.


Soi Lek  yang kini menerajui MCA mendakwa bahawa Tee Keat  dan bukan beliau, bertanggungjawab membenarkan MCA menerima pelantikan jawatan Kabinet dan kedudukan lain dalam kerajaan BN walaupun parti itu kalah teruk pada pilihanraya lalu, khususnya pada DAP.


Dalam satu kenyataan, Tee Keat berkata tuduhan Soi Lek itu mengandungi kesilapan fakta memandangkan beliau(Tee Keat ) hanya menjadi Presiden MCA pada 18 Oktober  2010.


Presiden parti ketika PRU lalu adalah Ong Ka Ting.


Tee Keat berkata setelah dipilih menjadi Timbalan Presiden MCA pada tahun lalu, Soi Lek  sendiri tidak pernah mengumumkan hasrat untuk menolak sebarang perlantikan menganggotai kerajaan.


“Majlis Presiden yang turut dianggotai oleh beliau, memberikan mandat kepada saya untuk menguruskan perkara itu dengan Perdana Menteri baru (Datuk Seri Najib Tun Razak),” kata Tee Keat.


Tee Keat  berkata tindakan Soi Lek untuk  bingkas menuduhnya menunjukkan Presiden MCA itu masih mempunyai  “prejudis politik”  terhadap beliau.


Beliau turut menyifatkan Soi Lek sebagai hipokrit kerana menerima pelbagai jawatan dalam kerajaan sebaik sahaja diangkat menjadi Presiden MCA tahun lalu iaitu pada Mac.


Ini termasuk Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan  Majlis Ekonomi Kerajaan yang ditubuhkan oleh Najib.


Selain itu,  Soi Lek  tidak membantah, malah  “menguruskan’ perlantikan anaknya Chua Tee Yong sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam Kabinet Najib, kata Ong, 


Isnin lalu, Soi Lek menunding jari kepada Tee Keat apabila dibidas kerana mencadangkan SUPP menolak sebarang jawatan dalam kerajaan negeri Sarawak ekoran kekalahan terbesar parti itu pada pilihanraya negeri yang lalu.



DAP yang menumbangkan SUPP berkata, Soi Lek terlebih dahulu harus mengambil langkah itu dengan menolak jawatan kabinet kerana parti itu sendiri kalah teruk pada PRU 2008.


Atas faktor sama, Soi Lek  juga patut menolak jawatan yang diberikan kepada MCA dalam  kerajaan negeri Perak,” kata Tee Keat. Soi Lek adalah Pengerusi MCA Perak.

Thursday, April 21, 2011

Petikan daripada: Tinta Hijau


Saya diminta oleh pihak media untuk memberikan respon terhadap kenyataan seorang pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang ditukar ekoran kekalahan PAS di Terengganu pada tahun 2004 dan juga kekalahan PAS di dalam siri beberapa pilihanraya kecil kebelakangan ini termasuk juga kegagalan PAS merebut sebarang kerusi di dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lalu.

Pertama saya ingin menyatakan bahawa Dr Abdul Aziz Bari selaku seorang warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi berhak untuk mengeluarkan pandangan beliau terhadap PAS. Ini kerana PAS selaku parti yang bertanding di dalam pilihanraya memerlukan undi daripada rakyat dan bukan hanya sekadar undi ahli-ahlinya sahaja untuk menang di dalam pilihanraya. Justeru, ini merupakan hak Dr Abdul Aziz Bari untuk mengeluarkan pandangan beliau. Selebihnya, terserahlah kepada ahli-ahli PAS untuk membuat penilaian dan keputusan yang terbaik.

Namun, perlu saya ingatkan, PAS mempunyai kaedah-kaedahnya yang tersendiri untuk memilih pemimpin. Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihanraya adalah satu langkah yang kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihanraya. Sememangnya memenangi pilihanraya ialah satu perkara yang dikehendaki, namun kegagalan untuk menang dalam pilihanraya bukan sahaja berlaku hari ini, bahkan ia telah berlaku semenjak PAS ditubuhkan lagi. Hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa silih berganti dalam perjuangan PAS. Jika hanya kerana mengalami kekalahan, PAS mahu menukar pemimpin, apa kata jika PAS terus kalah apabila pemimpin ditukar? Adakah pada masa itu sekali lagi pemimpin akan ditukar? Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT.

Sekian, wassalam.

YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan Darul Naim.

Wednesday, April 20, 2011


Dipetik daripada The Malaysian Insider
Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 20 April — Pakar bahasa Prof Dr Teo Kok Seong menegaskan Kamus Dewan harus dilihat dari sudut perspektif orang Melayu kerana ia melambangkan budaya dan pandangan kaum terbesar itu.
Pandangan Teo itu, selari dengan pendirian Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Persatuan Penulis Nasional (Pena) yang mengatakan Kamus Dewan harus dilihat dari pandangan orang Melayu dan bukan dari kaca mata kaum-kaum lain.
Ini kerana, jelas kedua-dua badan-badan penulis Melayu, Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah hasil dari himpunan perkataan yang digunakan orang Melayu selain telah diwarisi sejak turun-temurun.
Gapena dan Pena masing-masing menegaskan kandungan perkataan dalam Kamus Dewan tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak termasuk Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), pertubuhan mewakili penulis kaum India.
Kata Teo, perkataan-perkataan yang terdapat dalam Kamus Dewan melambangkan bahasa dan budaya orang Melayu.
“Saya boleh bersetuju dengan kenyataan Pena dan Gepena sebab bahasa mana-mana pun ada kaitan yang cukup akrab dengan dengan sesuatu kaum.
“Jadi dalam keadaan ini bahasa mempunyai hubungan akrab dengan sesuatu budaya maka ia betul, apa-apa perkataan dalam Kamus Dewan itu perlu lihat dari sudut pandangan orang Melayu atau secara global,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Justeru tegas Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Kamus Dewan tidak perlu dipertikaikan oleh sesiapapun.
“Tidak perlu dipertikaikan (Kamus Dewan) apabila kita memahami tentang bahasa Melayu, maka ia ada kaitan dengan budaya orang Melayu.
“Jadi bahasa Melayu mempunyai hubungan yang akrab dengan bangsa Melayu dan setiap perkataan mempunyai makna yang akrab dengan orang Melayu... jadi ia tidak perlu dipertikaikan,” katanya.
Selain itu, tegas Teo, sekiranya Kavyan atau akhbar Makkal Osai mendakwa bahawa ada perkataan dalam Kamus Dewan menyinggung kaum India maka ia perlu dibuktikan dengan jelas.
“Sepatutnya kena bagi contoh perkataan yang menyinggung perasana kaum lain terutamanya India... berikan contoh-contoh perkataan yang menyinggung perasaan itu.
“Apa yang dipertikaikan? Perkataan apa? Kalau perkataan bersifat rasis apa bukti contoh perkataan rasis itu jadi lebih baik diberikan contoh supaya boleh berikan pandangan yang ilmiah,” katanya.
Sebelum ini Kavyan mendakwa Kementerian Pelajaran menafikan hak bukan Melayu terhadap Bahasa Malaysia ekoran kenyataannya bahawa Kamus Dewan terbitan DBP hanya milik orang Melayu dan tidak boleh dipersoalkan oleh kaum lain.
Presidennya Uthaya Sankar SB berkata, jawapan Kementerian Pelajaran berhubung isu semasa — dakwaan yang Kamus Dewan mempunyai banyak kata-kata menyinggung perasaan kaum India — ternyata cuba menafikan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik seluruh bangsa Malaysia.
Kenyataan kementerian itu menyebut bahawa Kamus Dewan disusun berasaskan perkataan-perkataan yang digunakan oleh pengguna Bahasa Melayu, termasuklah perkataan-perkataan yang bersumberkan bahasa-bahasa lain seperti bahasa “sukuan atau etnik, bahasa Inggeris, China, Sanskrit, Tamil, Belanda, Arab dan sebagainya”.
Kementerian Pelajaran dalam kenyataannya mengatakan bahawa “perkataan-perkataan dalam Bahasa Melayu yang terdapat dalam kamus-kamus Bahasa Melayu terbitan DBP, ia hendaklah dilihat dari kaca mata bangsa Melayu dan bukan dari kaca mata bangsa lain.”
Katanya, setiap bangsa di Malaysia mesti menerima hakikat bahawa kamus bahasa Melayu mencerminkan bahasa, adat dan budaya Melayu.
Kementerian itu mengatakan demikian dalam reaksi kepada laporan Makkal Osai bertarikh 31 Mac lalu bahawa Kamus Dewan  mengandungi perkataan yang menyinggung perasaan kaum India.

Monday, April 18, 2011

Harakahdaily   

KUALA LUMPUR, 18 April: PAS merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh jentera pilihan raya PAS dari pelbagai peringkat serta orang perseorangan yang bertungkus-lumus dan menyumbang tenaga, masa dan wang ringgit dalam menghadapi Pilihanraya Dewan Undangan negeri Sarawak yang baru sahaja berakhir.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, tahniah juga kepada semua calon PAS yang mampu berhadapan dengan segala bentuk cabaran dan rintangan tanpa penat dan lelah sepanjang tempoh  berkempen itu.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohamad Izan Yaakob, yang juga merupakan petugas PAS dari Kelantan yang telah kembali ke rahmatullah di bilik gerakan Dun Beting Maro pada hari pengundian dijalankan. Semoga Allah merahmati roh beliau dan ditempatkan di kalangan para solihin,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Kepada semua calon PAS, beliau mahu supaya diteruskan urusan mereka bersama dengan masyarakat di sekeliling anda dengan membawa mesej yang jelas tanpa mengira waktu dan ketika.
“Sesungguhnya Allah jualah yang mampu membalas segala kerja buat kita dalam membawa suara Islam yang menjadi asas perjuangan PAS sejak sekalian lama itu,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Marang.
Sesungguhnya, kata beliau keputusan  pilihanraya itu adalah merupakan satu muhasabah terhadap langkah dan strategi dalam kita memugar gerombolan lawan kita dalam pilihan raya itu.

Tentunya, tambah beliau masih banyak yang perlu ditambah baik oleh kita semua supaya pendekatan kita akan menjadi lebih efektif, dan mampu untuk merobohkan tembok besar yang masih berlegar dalam ruang pemikiran pengundi yang ada di depan kita.
Apapun, katanya lagi sekali-kali setiap anggota jentera parti tidak seharusnya merasa lemah dan kecewa dengan keputusan pilihan raya yang sama-sama kita ketahui itu.
PAS juga, ujarnya ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pengundi yang memilih PAS dalam pilihan raya ini.
“Kami semua tidak akan mengecewakan tuan-puan sekalian, insya Allah kami akan terus berkhidmat kepada semua menerusi calon dan jawatankuasa PAS di peringkat masing-masing."
“Saya juga telah mengarahkan Pesuruhjaya PAS Sarawak untuk berbincang dengan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat bagi menentukan masa, kaedah dan tempat yang sesuai untuk meraikan calon dan seluruh petugas pilihan raya PAS di Sarawak menerusi satu majlis khusus yang akan diadakan nanti,” katanya lagi.

Sunday, April 17, 2011



Malaysiakini melaporkan kemenangan BN dengan pertambahan majoriti itu juga akan dapat "menjadi jambatan" untuk mengadakan pilihan raya umum ke-13.



Petikan berita Malaysiakini,

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sarawak atas kemenangan yang diraih BN dalam pilihan raya negeri itu.

Najib juga percaya, kemenangan dengan pertambahan majoriti itu juga akan dapat "menjadi jambatan" untuk mengadakan pilihan raya umum ke-13.

"Majoriti bertambah ini adalah kerana tindakan kita menyelesaikan apa jua masalah yang jadi rungutan mereka sebelum ini," katanya lagi yang jelas kelihatan begitu lega selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kemenangan BN pada malam ini.

SPR mengumumkan kemenangan mudah kepada BN yang memperoleh 48 kerusi daripada keseluruhan 71 kerusi di negeri yang dianggap sebagai simpanan tetap parti itu.

"Walaupun kita berdepan dengan tentangan hebat kali ini, tapi jelas sekali bahawa keyakinan rakyat terhadap BN masih tinggi lagi.
"Dengan ini maka apa yang perlu kita lakukan ialah untuk menyampaikan ucapan berbanyak terima kasih kepada rakyat Sarawak kerana mereka telah mengekalkan sokongan dan keyakinan berterusan kepada BN.

"Bagi pihak kerajaan pusat saya dan timbalan perdana menteri akan memastikan bahawa semua janji-janji pilihan raya kepada rakyat Sarawak akan kita tunaikan," katanya lagi di Kuala Lumpur dalam sidang video dengan ketua menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Dalam pada itu, Abdul Taib pula berkata, negeri itu tidak akan bermasalah untuk meneruskan kerjasama dengan kerajaan pusat, dengan kemenangan yang diraih BN pada hari ini.
Dalam sidang video berkenaan, pengerusi BN Sarawak itu juga menyatakan ikrarnya untuk meneruskan khidmat kepada warga negeri itu

"Kita telah tunaikan dengan kemenangan, kerajaan BN (telahpun) kembali memerintan Sarawak."

P.S. - BN dah tak sabar nak naikkan harga minyak, gula, cukai GST dan pelbagai item lain dalam satu list yang panjang, hanya perlukan sokongan rakyat dalam pilihanraya umum ke 13 sebagai lesen untuk berbuat demikian. 

- Rakyat akan dimanjakan seketika, untuk dikerjakan dengan pelbagai bebanan setelah BN diberi mandat memerintah 5 tahun lagi.


Saturday, April 16, 2011



Saya percaya bahawa sudah tiba masanya untuk seluruh pengundi di Sarawak, yang mengandungi berbagai resam budaya dan etnik, agama, untuk bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat bagi melakukan satu perubahan yang jelas dalam pilihan raya kali ini dengan satu mesej yang paling jelas, iaitu : Marilah Kita Berubah Dengan Menolak Barisan Nasional (BN) Dalam Pilihan Raya Kali Ini.

Cukuplah negeri Sarawak yang kaya dengan hasil bumi ini dipergunakan oleh BN selama puluhan tahun dengan meminggirkan rakyat sejak sekalian lama.  

Janji dan rasuah politik oleh BN sepanjang tempoh pilihan raya ini akan terus diulang-ulang oleh pemimpin BN untuk mereka mengekalkan kuasa dan seterusnya mengumpulkan kekayaan untuk diri mereka sendiri.  

Akhirnya nasib rakyat masih tidak berubah sejak puluhan tahun ini.  PAS akan memastikan konsep Federalisma terus dipelihara, dan perpaduan kaum akan menjadi keutamaan di negeri Sarawak ini.

PAS merayu kepada pengundi di Sarawak untuk memilih calon dari PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kali ini.  PAS akan memastikan wakil rakyat dari PAS nanti akan berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada rakyat, membawa aduan dan suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk melakukan sau perubahan bersama rakyat Sarawak.

Sekiranya menang di DUN Beting Maro, Sadong Jaya, Tanjung Datu, Muara Tuang dan Sebuyau dalam pilihanraya kali ini, PAS akan memastikan kawasan ini dibela dengan menjadikan DUN ini sebagai kawasan contoh di Malaysia, di mana seluruh petugas PAS akan menyumbang tenaga secara langsung di sini nanti.  

Di sinilah nanti PAS akan menunjukkan contoh Keadilan Islam Untuk Semua Golongan di negeri Sarawak tanpa mengira anutan agama dan keturunan.  Itulah sebenarnya wajah Islam yang ingin kami bawa.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS.
Nazri Abdullah Harakah  



Abang Ahmad mewakili PAS di Beting Maro.




BETING MARO, 16 April: Rata-rata penduduk di sini hari ini keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.


Tinjaun Harakahdaily di beberapa tempat pembuangan undi mendapati, kebanyakan penduduk menunggu sejak awal pagi sebelum pusat pengundian dibuka.



Ramai di kalangan mereka turut membawa kipas tangan hijau bercetak gambar Mursyidul Am PAS dan lambang bulan.



Bagaimanapu, petugas SPR mengarahkan mereka meninggalkannya di luar kerana sebarang lambang parti tidak dibenar dibawa masuk dalam kawasan 50 meter dari tempat pengundian.



Seorang pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Azam berkata, keadaan yang ramai keluar sejak awal pagi ini sangat berbeza dengan pengundian tahun 2006. Beliau yang juga seorang pengawal keselamatan di salah sebuah bank di sini berkata, mereka hari ini keluar awal kerana tidak sabar mahu 'nyonteng' (pangkah) PAS.



"Saya sudah lama menyokong BN, ramai sini dulu sokong BN, hari ini kami keluar awal mahu nyonteng bulan,"katanya.



Ditanya apa faktor yang mebuatkan beliau mahu meninggalkan BN, beliau memberitahu kerana tidak berpuas hati dengan apa yang telah kerajaan negeri perlakukan terhadap mereka.



Ianya merujuk kepada isu tanah yang gagal diselesaikan kerajaan BN malah ada tanah yang diusahakan mereka dirampas.



"Tanah belakang rumah saya, saya tanam macam, dah dirampas dan tidak dibenar masuk lagi," katanya.



Semua 5 adik beradiknya juga katanya turut membuat perubahan sama.



Isu tanah antara isu paling besar, bukan sahaja di sini malah seluruh kawasan di Sarawak.



Ianya menjadi kemarahan setiap masyarakat di sini yang juga menjadi pencetus kepada kemarahan mereka terhadap pentadbiran Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.



Abang Ahmad dikerumun



Sementara itu, calon BN Raizali Gapur didakwa kurang mendapat sambutan di sini. Semalam beliau menunaikan solat Jumaat di Masjid Baru Beladin, iaitu tempat sama dengan calon PAS Abang Ahmad Kerdee Masagus.



Beliau juga turut menyediakan makanan dan minuman percuma yang siap dibungkus kepada ahli jemaah yang hadir.



Bagaimanapun, selepas selesai solat Jumaat, penduduk dilihat tidak berminat bertemu beliau malah calon PAS pula menjadi tumpuan mereka.



Abang Ahmad ketika ditanya berhubung perkara itu bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu menyerang peribadi calon lawan dan melihat sokongan teradap beliau itu pentanda baik untuk perubahan Sarawak.

Friday, April 15, 2011

Petikan : Harakahdaily   

KUALA LUMPUR, Apr 15: Rakyat bukan terkejut dengan kenyataan Raja Petra Kamaruddin, tapi terkejut bagaimana TV3 dan Perdana Menteri Najib Razak sanggup mengambil kata-kata seorang yang diisu waran tangkap sehingga kini masih menjadi buruan polis sebagai muktamad.


Begitulah reaksi Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ekoran media tradisional Barisan Nasional yang hangat mempermainkan dan memutarkan kenyataan Raja Petra yang di wawancara bersama TV3 untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap pilihanraya negeri Sarawak, di mana Barisan Nasional kini amat tertekan untuk mempertahankan dua pertiga majoriti DUN Sarawak.

Dalam tulisan terbarunya, Raja Petra menegaskan bahawa beliau hanya menerangkan apa yang didakwanya selama ini seperti mana yang tertera di dalam pengakuan bersumpah beliau, di mana beliau diberitahu secara yakin oleh beberapa individu bahawa Najib dan isterinya Rosmah Mansor terlibat dalam pembunuhan ngeri Altantuya pada tahun 2006 dan menyeru pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Namun, TV3 melaporkan seolah-olah Raja Petra, seorang yang masih diburu polis sehingga kini telah membersihkan nama Najib dan Rosmah daripada kemelut Altantuya.

Turut melucukan, kenyataannya disambut baik oleh Najib, sebagai ayat sakti dalam membersihkan namanya tanpa menghiraukan bahawa Raja Petra kini masih tengah berperang media dengan Deepak Jaikishan.

Deepak pula adalah kenalan rapat Rosmah yang didakwa beliau membantu perisik P Balasubaraniam keluar dari negara selepas membuat pengakuan bersumpah bahawa Najib mempunyai hubungan fizikal dengan Altantuya sebelum menafikannya.


“Raja Petra yang diburu polis beberapa waktu dan waran tangkapnya masih sah, kini tiba-tiba menjadi hero sehingga PM dan FLOM (Wanita Pertama Malaysia, Rosmah) pun rasa bersih, lebih bersih daripada baru macam iklan sabun.


"Dengan hanya satu kenyataan saja dah jadi bersih, dengan sesudu sabun sahaja dah jadi macam baru,” sindir Tuan Ibrahim. (gambar)

Tambah Tuan Ibrahim, sekarang mungkin Raja Petra sudah boleh kembali dengan negara, dan rakyat tidak perlu terkejut jika kerajaan menyambutnya dengan karpet merah atas jasa besarnya kononnya telah membersihkan nama Perdana Menteri.

Cuma apa yang dibimbangi, kata Tuan Ibrahim, segala kekotoran yang asal terpalit pada Najib dan Rosmah kini mungkin akan memaluti Raja Petra ekoran wawancaranya bersama TV3.

“Sudah ada rakyat yang mula tengok beliau sebagai seorang yang kotor dan jijik ekoran wawancara itu. Soalnya, siapa yang akan bersihkannya selepas ini?” kata Tuan Ibrahim sambil menambah mungkin media tradisional BN akan digunakan sepenuhnya untuk “membersihkan” nama Raja Petra.


Thursday, April 14, 2011

8 April – Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang kali ke 27 telah berlangsung di Dewan Madrasah Darul Iman, Titian Baru, Kedai Buluh dengan dihadiri oleh lebih 300 orang perwakilan dan pemerhati.



Tuan Haji Mohamad Sabu di apit oleh YB Ustaz Mohd Nor dan Ustaz Muhammad Khalil

Majlis perasmian Mesyuarat Agung telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mohammad bin Sabu yang bercakap mengenai tahap-tahap penerimaan ummat Islam terhadap amalan-amalan Islam dalam kehidupan harian setelah Khilafah Othmaniyyah dihapuskan dan agama Islam diselewengkan oleh pemimpin ummat Islam sendiri.

Pada awalnya ummat Islam menuntut pemakaian hijab yang menutup aurat dibenarkan di instituisi-instituisi pengajian tinggi dan pejabat-pejabat kerajaan, seterusnya apabila kefahaman Islam meningkat, ummat Islam mendesak agar aspek halal haram dalam makanan disahkan status halalnya, seterusnya tuntutan agar keperluan ekonomi yang menjauhi riba diperkenalkan.


Tuan Haji Yahaya Ali, YDP PAS Kawasan Marang sedang meneliti 
buku laporan mesyuarat agung, disebelah beliau ialah Ustaz Wan Zuki

Masyarakat Islam sentiasa mahu Islam dikembangkan perlaksanaannya dalam bidang-idang lain termasuklah dalam bidang politik dan pentadbiran negara, dan semua ini adalah hasil daripada dakwah dan perjuangan PAS dan kumpulan-kumpulan Islam yang tidak mengenal erti jemu dan lelah.  

PAS dalam era tahaluf siyasi, mencapai tahap baru dalam medan dakwah iaitu berdakwah dan berurusan dengan non muslim yang ingin menyertai PAS dan parti-parti bukan Islam yang ingin memahami Islam dengan lebih tepat daripada fahaman Islam yang sengaja disempitkan oleh kerajaan Barisan Nasional.    

Yang di Pertua PAS Kawasan Marang, Tuan Haji Yahaya Ali turut memberikan ucapan setelah ucapan Ketua Pemuda Kawasan, Ustaz Wan Zuki Wan Ismail, turut hadir sebagai wakil Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu ialah YB Ustaz Mohd Nor bin Hamzah.

Mesyuarat Agung telah melantik Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, 11 orang ahli jawatankuasa yang baru dan dua orang pemeriksa kira-kira, di mana Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi  telah dipilih secara rasmi sebagai ketua pemuda Pas Kawasan Marang yang baru.



YDP PAS Kawasan Marang memberikan ucapan.



 Perwakilan daripada DUN Bukit Payong mengemukakan persoalan.


 Tuan Haji Mohamad Sabu menerima sedikit cenderahati daripada Ketua Pemuda.

 Perwakilan daripada DUN Bukit Payong mengemukakan persoalan. 


 Abang Ismail turut mengemukakan beberapa persoalan.

Sebahagian perwakilan yang hadir.


Suasana di luar dewan sebelum majlis bermula.



Perwakilan dan pemerhati serius mengikuti mesyuarat.



Bersedia untuk menyanyikan lagu PAS.


Perwakilan daripada Jerung Surau berada di barisan hadapan.






Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, saudara Yasin mengumumkan keputusan pemilihan.

ARKIB