Sunday, July 17, 2011



Innalillahi wainna ilaihi rojiuun


Sumber Malaysian Insider

TERKINI @ 11:14:38 PM July 17, 2011KUALA LUMPUR, 17 Julai — Ahli Parlimen Titiwangsa dari PAS Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali yang menerima rawatan kerana kanser di Hospital Selayang meninggal dunia malam ini.

Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Ya, saya pun baru dimaklumkan mengenai berita ini. Tapi saya belum ada butiran lanjut,” kata seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi.

Wakil rakyat penggal pertama itu (gambar) meninggal dunia kira-kira 10.13 malam tadi, kata seorang anggota keluarga menerusi mesej SMS.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan esok, kata anggota keluarga itu.

“Jenazah akan diuruskan pagi esok, akan dibawa ke Masjid Al-Akram, Datuk Keramat,” katanya.

Maklumat daripada ibu pejabat PAS menyebut jenazah akan diuruskan sekitar 8 pagi esok.

Sejak tengah hari tadi, khabar angin mengatakan Dr Lo’ Lo’ yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat telah meninggal dunia disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas SMS dan laman sosial Facebook dan Twitter.

Bagaimanapun ia dinafikan oleh pemimpin-pemimpin kanan parti yang secara kebetulan mengadakan mesyuarat di Ampang pagi tadi.

Dr Lo’ Lo’, 53, dirawat di Hospital Selayang akibat kanser.

Pada pilihan raya umum 2008, Dr Lo’ Lo’ menewaskan calon BN Datuk Aziz Jamaludin Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Allahyarham Dr Lo’ Lo’ merupakan wakil rakyat kelima dari PAS meninggal dunia selepas pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Sebelum ini PAS kehilangan Ahli Parlimen Bukit Gantang dan disusuli Adun Permatang Pasir, Manek Urai dan Galas.

Kekosongan kali ini tidak akan membawa kepada pilihan raya kecil.

Tok Dir 16 Julai : PAS mensasarkan untuk menawan kembali negeri Terengganu dalam pilihanraya akan datang yang dijangkakan diadakan seawal-awalnya pada akhir tahun ini.

Sehubungan dengan itu Dewan Muslimat DUN Bukit Payong ( PEMAYUNG) telah mengadakan Program Himpunan Muslimat semalam sebagai persediaan awal bagi menggerakkan tenaga muslimat di DUN Bukit Payong.

Program itu telah dirasmikan oleh setiausaha PAS Kawasan Marang Encik Hassan Jusoh yang menggantikan ADUN Batu Burok Dr.Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Dalam ucapan perasmiannya Encik Hassan memuji program yang disifatkannya sebagai pro aktif dalam menghadapi pilihanraya ke 13 nanti.

Peserta-peserta program seramai lebih kurang 100 orang yang kelihatan begitu komited dengan program ini, diseru supaya meninggalkan cara gerak kerja gaya lama iaitu membuat kerja secara ad-hoc (bidan terjun).

Mereka juga digesa untuk melakukan lebih banyak program yang tersusun dan terancang seperti ini bagi memberikan kesan yang lebih baik lagi bagi pengundi terutama bagi kempen pilihanraya.

Sepertimana firman Allah dalam surah as-saff yang menyatakan bahawa Allah suka melihat barisan tentera Islam yang berbaris dalam satu saf yang tersusun, maka pendekatan ini juga perlu diterapkan didalam jemaah.

“Terengganu yang mempunyai 32 kerusi Dun, dan kita memerlukan minima 17 kerusi untuk merampas balik tampuk pemerintahan.

Dan saya berharap Bukit Payong adalah salah satu daripadanya.

Bukan senang untuk melawan BN sebab mereka menggunakan semua jentera yang ada seperti Jabatan Pelajaran, Kemas dan Kementerian Luar Bandar.

Tapi mereka merancang, Allah juga merancang dan sudah tentu perancangan Allah yang terbaik,” ujar beliau memberi semangat kepada peserta.

Program yang sepatutnya diakhiri dengan persembahan oleh Ustaz Akil Hayy pada sebelah malam, terpaksa dipendekkan kepada jam lima petang kerana Ustaz Akil tidak dapat hadir disebabkan masalah yang tidak dapat dielakkan.

Friday, July 15, 2011


Titian Baru 15 Julai : Penyokong Umno digesa agar membandingkan keadaan hidup mereka dengan keadaan hidup pemimpin mereka yang diibaratkan bagai langit dengan bumi.

Kadangkala penyokong Umno terpaksa berhempas pulas untuk mencari sesuap nasi, sedangkan pemimpin mereka hidup dengan penuh kemewahan sehingga adakalanya kemewahan itu diluar jangkaan akal yang waras.

Sebagai contoh, isteri Perdana Menteri ketika ditinggal di Dubai,beliau dilaporkan telah menetap di hotel yang sewaannya mencecah seratus ribu ringgit semalaman.

Kini ada laporan pula terhadap Rosmah berkenaan harga cicin yang ada dalam simpanannya, dikatakan berharga RM24juta dan tidak dikenakan cukai.Ini sudah tentu sekiranya benar, satu pengkhianatan terhadap rakyat.

Gesaan ini dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu Ustaz Mohd Nor Hamzah dalam ceramahnya di sini semalam.

Dalam ucapannya lagi, beliau juga secara berseloroh membandingkan nasib gajah di Santuari Gajah di Kenyir adalah lebih baik berbanding nasib penyokong Umno di Terengganu.

“Gajah di Santuari tu makan RM1000 sehari.Penyokong Umno?

Maknanya gajah di Terengganu makan sedap lagi dari penyokong Umno di Terengganu,”katanya berseloroh.

Justeru itu beliau mengajak semua terutama penyokong Umno memikirkan dengan mendalam akan perkara itu yang sedang berlaku di Malaysia sekarang ini dan mengajak mereka berubah demi kebaikan mereka juga.

Ceramah malam tadi turut disertai oleh dua orang lagi pemidato hebat dari Terengganu iaitu Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ustaz Ridhuan Mohd Nor.

Manakala Ustaz Wan Sukairi (kiri) mengajak pendengar agar menjadikan peristiwa pada Israk Mi’raj sebagai panduan dalam kehidupan.

Mengambil contoh solat yang telah diwajibkan ketika peristiwa itu, walaupun kita kena mengikut imam, tetapi apabila imam melakukan kesalahan, wajib kita menegurnya dan mungkin sampai ke tahap mufaraqah.

Begitulah juga apabila hak ita sebagai rakyat dirampas, maka kita wajib menegur pemimpin.Tiada lagi ketaatan apabila pemimpin melampaui batas yang Allah tetapkan.

Inilah perkara utama menurutnya yang ditekankan oleh Bersih 2.0 baru-baru ini iaitu meminta kembali hak rakyat yang telah dirampas oleh kerajaan dan sekutu-sekutu mereka.

Dengan membandingkan keadaan pilihanraya di Turki yang menurut beliau lebih telus dan adil, beliau berharap tuntutan Bersih 2.0 akan dipenuhi kerajaan dalam masa tiga bulan, atau Bersih 3.0 akan diadakan.

“Di Turki, Election Board boleh membatalkan membatalkan kelayakan calon atau parti yang bertanding sekiranya mereka melanggar peraturan pilihanraya tak kira dari kerajaan atau pembangkang,” katanya.

Kerajaan tidak dibenarkan mengumumkan sebarang projek ketika kempen berbanding di Malaysia dimana projek-projek bukan sahaja yang sudah siap,malahan yang belum buat siap turut dirasmikan ketika kempen pilihanraya.

Ustaz Wan yang juga Setiausaha PAS Kawasan Kuala Terengganu mengakhiri pidato beliau dengan mengajak pendengar meneliti kezaliman-kezaliman yang telah dilakukan Umno kepada rakyat.

Atas alasan kezaliman inilah menurut beliau tidak melayakkan Umno untuk menjadi pemimpin rakyat.

Sementara itu penceramah terakhir, Ustaz Ridhuan Mohd Nor (kanan) pula banyak mengimbas kembali sejarah lalu yang telah terjadi kepada politik tanahair.

Antaranya ialah ketakutan Umno untuk mengadakan pilihanraya majlis perbandaran adalah kerana majoriti pengundi di bandar-bandar adalah penyokong pembangkang.Menunjukkan Umno takut kepada kekalahan.

PAS tegasnya tidak pernah takut dengan kekalahan. Sejarah telah membuktikan yang PAS walaupun ditekan, ditindas dan ada sebahagian ahli PAS diseksa, tapi PAS tetap komited dengan perjuangan.

PAS tetap memilih jalan mengikut lunas undang-undang yang ada dan ini sekaligus menafikan Bersih 2.0 yang turut disertai PAS baru-baru ini adalah gerakan untuk menjatuhkan kerajaan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan mendadak senarai pemilih di Selangor yang telah mencecah 600 ribu orang lebih.

Umno menurutnya akan pasti berhabis-habisan mempertahankan kedudukan mereka dengan apa cara sekalipun walau dengan cara yang salah.

Ini menurut Ustaz Ridhuan, adalah kerana teori domino sedang berlaku di Asia Tenggara.

“Di Thailand, kerajaan Abhisik jatuh. Di Singapura PAP telah hilang 40 peratus undi popular yang menyebabkan Lee Kuan Yew yang dikatakan antara 10 pemimpin terhebat dunia meletakkan jawatan sebagai Menteri Mentor.

Inilah yang membimbangkan Umno. Teori domino sedang berlaku di Asia Tenggara,”katanya.

Akhirnya beliau yakin perhimpunan aman Bersih 2.0 akan menjadi titik kejatuhan kerajaan Umno BN terutama dengan peristiwa kematian allahyarham Baharudin Ahmad yang sehingga kini hasil bedah siasatnya belum diumumkan.

Wednesday, July 13, 2011


Sumber : The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Dalam pandangan dilihat menyentuh kesan perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Putrajaya telah mempergunakan pemimpin agama untuk mempertahankan kuasa sebagaimana disaksikan di rantau Timur Tengah.

Bekas mufti Perlis (gambar) berkata pemerintah di Timur Tengah yang sebahagian besarnya adalah “korupsi dan zalim” mempergunakan pemimpin agama untuk membela mereka.

“Mereka (pemimpin agama) memahami nas-nas al-Quran dan Hadis secara literal dan menganggap urusan muamalat dan siasah sama seperti ibadat khusus yang tidak boleh dilakukan pembaharuan dan tokok tambah,” kata tokoh agama yang memperlihatkan pendirian progresif.

Tenaga akademik dari Universiti Sains Malaysia ini memberitahu, keadaan itu wujud apabila kelompok terbabit mentafsir hadis-hadis politik secara literal, yang seakan-akan Islam memberikan ‘lesen’ besar kepada pemerintah untuk melanyak rakyat dan rakyat pula diikat kaki, tangan dan mulut dengan nas-nas agama dari bertindak atau membantah.

“Lebih hodoh lagi, hanya nas-nas yang ‘kelihatan’ propemerintah sahaja yang dibaca, diforumkan, diwar-war dalam pelbagai saluran sedangkan nas-nas yang memberikan amaran terhadap kezaliman pemerintah tidak pula dicanangkan,” kata beliau.

Di Malaysia kata Asri, “kita dapat melihat fonomena ini semasa isu demonstrasi panas baru-baru ini dalam masyarakat.”

“Di sini bukan bertujuan menyokong atau menentang demonstrasi aman, tetapi sekadar ingin membincangkan kefahaman sesetengah pihak mengenai hadis-hadis berkaitan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Sabtu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 anjuran Bersih 2.0 untuk menuntut transformasi pilihan raya yang perlu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan dan disokong Pakatan Rakyat mengemukakan lapan tuntutan yang perlu dilaksanakan iaitu membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat ditahan.

Jelas Asri, tindakan berbentuk keganasan tidak boleh dilakukan terhadap rakyat sekiranya tiada pententangan dilakukan termasuk perkara yang boleh menyebabkan kerosakan yang lebih besar.

“Hadis tentang taat dan patut sekali pun dirampas harta dan dipukul itu, ia merujuk kepada keadaan di mana jika penentangan dilakukan akan menyebabkan kerosakan yang lebih besar seperti pemerintah akan membunuh atau memusnah orang lain yang tidak bersalah sedang kita tidak mampu memberikan sebarang kesan kepada mereka.

“Ini terutama di zaman dahulu yang terkenal dengan penumpahan darah. Begitu juga di bawah rejim-rejim yang zalim yang hanya merugikan para penentang dan negara secara umumnya,” katanya.

Jelas beliau, keadaan kini sudah berubah yang mana setiap negara terikat dengan peraturan antarabangsa terutamanya mengenai hak asasi manusia.

Namun, katanya, apabila dunia berubah negara-negara terikat dengan peraturan antarabangsa mengenai hak asasi rakyat.

“Juga, apabila negara-negara itu meletakkan dalam perlembagaan mereka tentang hak-hak rakyat, dalam ertikata lain membantah pemerintah dalam negara demokrasi aman itu adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap menentang negara kerana diiktiraf dan dijamin oleh perlembagaan negara dan persetujuan antarabangsa,” katanya.

“Maka, konteks Hadis sudah berbeza,” kata Asri sambil menambah, “Islam bukanlah agama yang memberikan lesen kepada pemerintah untuk berbuat apa sahaja dan rakyat wajib mendiamkan diri.”

Oleh itu tegas beliau, jangan bawa tafsiran zaman Abbasiyyah ke zaman yang sudah berubah.

Dengan mengambil contoh daripada Hadis, Asri berkata “Rasulullah sendiri sebagai pemerintah membenarkan diri Baginda dibalas.”

Tegas beliau, pemerintah tidak dibenarkan sama sekali untuk bertindak sewenang-wenangnya apatah bertindak ganas terhadap rakyat.

“Jika pemerintah itu diberikan wewenang untuk memukul dan mengambil tanpa dipersoalkan, apakah ertinya sesuatu pemerintahan itu?

“Apakah mereka seperti penzalim dan perompak berlesen yang dilindungi oleh nas-nas agama? Maha Suci Allah dari menurunkan agama yang seperti itu,” katanya.

Marang 13 Julai : Dewan Pemuda PAS Terengganu (DPPT) menyambut baik cadangan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainudin Maidin (kanan) untuk memberikan ruang kepada semua parti yang bertanding untuk muncul di RTM.

Ketua DPPT, Ustaz Mohd Nor Hamzah semasa ditemui berkata DPPT memandang positif cadangan itu kerana ianya akan membuka ruang kepada sistem demokrasi yang lebih bermakna.

“Kita memang mengharapkan kesamarataan dalam penyiaran berita samada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang,”ujarnya.

Bercakap kepada pemberita sebuah akhbar harian hari ini Tan Sri Zainudin mencadangkan sekurang-kurangnya 15 ke 30 minit masa diberikan kepada setiap parti bagi menerangkan manifesto masing-masing.

Menurutnya yang juga dikenali dengan panggilan Zam itu, ia adalah langkah yang terbaik supaya rakyat boleh melihat dan menilai sendiri manifesto yang akan dibawa oleh setiap parti pada pilihan raya umum tersebut.

Cadangan Zam ini adalah hasil dari desakan Bersih 2.0 yang turut mengemukakan tujuh lagi tuntutan-tuntutan lain.

Ustaz Mohd Nor yakin dan percaya dengan kesungguhan kerajaan untuk menegakkan demokrasi yang sejati, hal ini akan dapat direalisasikan.

“Kita juga mencadangkan agar diadakan debat terbuka diantara Ketua Pembangkang dengan Perdana Menteri.

Diharapkan juga semua itu diadakan secara langsung dan dikendalikan oleh moderator yang tidak memihak,”tambahnya lagi.

Sambil beliau mengharapkan suara Zam masih “laku” untuk cadangan ini, DPPT sangat mengharapkan hal ini bukan sekadar penyejuk kepada kehangatan Bersih 2.0

Monday, July 11, 2011

Marang 11 Julai : Dalam kehangatan yang masih terasa kesan dari perhimpunan aman Bersih 2.0 kelmarin, ada kebetulan yang mungkin tidak disedari oleh orang ramai.

Kebetulan yang dikatakan itu ialah berkenaan pihak yang mengarahkan sekatan dan pihak yang menjadi kambing hitam atas sekatan kepada perhimpunan itu.

Jika dilihat kepada Misi Kemanusiaan International Freedom Flotilla 2, pasukan bantuan itu telah disekat oleh rejim Israel dengan menggunakan Greece sebagai kambing hitam mereka.

Pasukan itu yang turut disertai oleh Umno telah menyatakan bantahan mereka kepada Greece kerana menghalang pasukan itu dari meneruskan pelayaran ke Palestin kerana tekanan rejim Israel.

Sementara dalam perhimpunan kelmarin, pihak polis nyata telah dijadikan kambing hitam sebagai perisai hadapan bagi Umno yang berada di belakang mereka.Inilah kebetulan yang terjadi.

Diminta mengulas berkenaan persamaan ini, Ustaz Mohd Nor dengan tegasnya menyatakan bahawa hal ini membuktikan 1Malaysia sememangnya ditaja oleh yahudi yang bertopengkan APCO.

“Umno menyatakan bantahan dan marahkan Israel kerana berada di belakang Greece yang menyekat pasukan Flotilla, tetapi mereka juga berbuat hal yang sama kepada perserta perhimpunan aman Bersih 2.0 kelmarin.

Umno pula cuba menggagalkan Bersih 2.0 dengan menggunakan polis,” katanya.

Misi kemanusiaan Flotilla untuk membantu rakyat palestin yang tertindas, begitu juga misi perhimpunan Bersih 2.0 adalah untuk membantu rakyat Malaysia keluar daripada kezaliman dan ketidakadilan sistem pilihanraya di Malaysia.

Oleh itu, tiada alasan lain kecuali sememangnya Umno mengikut cara Israel dalam menangani hal yang mereka fikirkan akan merugikan mereka walaupun dengan mengkambing hitamkan pihak lain.

“Dengan akta-akta rimba seperti ISA yang masih dikekalkan oleh Umno, yang mana ianya adalah hasil tinggalan warisan Israel melalui British kepada Umno.

Maka tidak menghairankan jika tindak tanduk Umno menyamai Israel,”ujar beliau.

Thursday, July 7, 2011

Petikan Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Julai: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) akan menghantar 15,000 orang ahlinya ke Kuala Lumpur untuk mengikuti himpunan aman Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini.

Mereka akan bergerak bersendirian dengan semangat kental untuk bersama-sama Bersih 2.0 mendesak kerajaan melaksanakan pilihanraya yang bersih dan adil di tanah air.

Ketua DPPNT, Mohd Nor Hamzah (gambar) menjelaskan, pemuda PAS Terengganu seperti juga pemuda PAS di negeri-negeri lain di seluruh negara sememangnya begitu bersemangat untuk menyertai perhimpunan itu sejak mula dirancangkan.

Beliau bagaimanapun secara jujur mengakui, semangat mereka mula berkurangan apabila Bersih 2.0 mengumumkan akan mengadakan perhimpunan aman itu di stadium.

"Namun dengan semangat perjuangan yang sudah sedia ada dalam diri masing-masing, semangat mereka itu amat mudah dinaikkan kembali.

"Jadi dengan itu, DPPNT tidak mengalami kesukaran untuk menghantar 15,000 orang ahlinya ke perhimpunan itu, malah boleh melebihi angka yang jauh lebih banyak dari jumlah itu jika kami kehendaki," katanya ketika dihubungi hari ini.

Perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, tegasnya, tidak sepatutnya dihalang oleh pihak kerajaan untuk diadakan kerana ia tidak bertentangan dengan undang-undang, khususnya Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, menyedari hakikat itulah, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sendiri telah mengeluarkan titah khas pada 3 Julai lalu yang antara lain turut meminta kerajaan supaya tidak menzalimi rakyat dan bertindak adil kepada rakyat.

Selain itu, Tuanku sendiri turut bersedia bertemu dan berbincang dengan jawatankuasa Bersih 2.0 berhubung perancangan Bersih untuk mengadakan perhimpunan aman itu.

"Tuanku ternyata bertindak dengan begitu lunak dengan rakyat. Tuanku juga turut membenarkan Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan itu dengan kaeadah-kaedah tertentu," katanya.

Beliau yang juga Adun Bukit Payong amat kesal kerana tindakan kerajaan dalam menangani perhimpunan itu ternyata amat melampau dan ini secara jelas menunjukkan kerajaan tidak mempedulikan arahan Yang di-Pertuan Agong sendiri.

Di Terengganu, beliau turut memberikan contoh tindakan tidak demokrasi yang dilakukan oleh kerajaan apabila pihak polis menangkap Ketua Pemuda PAS Dungun, Syeikh Mohamad Hanafi Abdul Aziz dan 6 orang rakannya pada Sabtu lalu, hanya kerana memasang sehelai banner Bersih 2.0 di kawasan Dungun.

Empat orang daripada mereka telah dibebaskan, manakala 3 orang lagi terus ditahan sehingga diikat jamin sebanyak RM5,000 seorang di Mahkamah Majestret Dungun hari ini.

Selain itu, di Kuala Ibai di Kuala Terengganu pula, seorang pemuda ditahan polis, Ahad lalu, apabila disyaki hendak menjual baju kuning Bersih 2.0, walaupun dakwaan tersebut tidak mempunyai bukti kukuh setelah pihak polis sendiri turut ke rumah pemuda itu untuk mencari baju kuning Bersih 2.0 yang didakwa hendak dijualnya.

Pemuda tersebut tetap juga ditahan polis dan terpaksa dibayar ikat jamin RM3,000, walaupun dakwaan hasratnya hendak menjual baju kuning Bersih 2.0 seperti yang didakwa oleh pihak polis itu sendiri tidak terbukti, malah kalaupun terbukti bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang.

Menurut Mohd Nor, kesemua kejadian itu hanyalah sebahagian dari contoh terkini yang dilakukan oleh kerajaan di Terengganu dan ia secara jelas bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang membenarkan Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan aman dengan kaedah tertentu.

"Itu semua turut bertentangan dengan titah Tuanku yang meminta kerajaan mengutamakan rundingan dengan pihak terbabit untuk menyelesaikan sesuatu masalah termasuk berhubung himpunan aman Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini," katanya yang juga AJK Pemuda PAS Pusat.

Monday, July 4, 2011

Marang 4 Julai : Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberikan alternatif kepada peserta Himpunan Bersih 2.0 untuk mengadakan perhimpunan itu di stadium, maka beliau sebenarnya telah menimbulkan keraguan yang melampau.

Bagi ADUN Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah sekurang-kurangnya ada tiga keraguan yang melampau pada situasi sekarang ini.

Pertama ialah sejauh manakah kefahaman pimpinan Umno BN dalam memahami hak-hak yang terjamin didalam demokrasi. Antaranya ialah hak untuk berhimpun secara aman dimana-mana sahaja.

Tetapi Umno menafikannya dengan mengarahkan perhimpunan itu mesti dibuat di stadium.

Keduanya apabila Perdana Menteri tiba-tiba bersetuju untuk membenarkan perhimpunan yang telah diisytiharkan gerakan komunis sebelum itu, maka dengan sendirinya tuduhan Bersih 2.0 adalah alat komunis sebenarnya fitnah.

Dan ketiga, memorandum dari rakyat yang hendak dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, adakah munasabah ianya hendak diserahkan di stadium.

Ketiga-tiga hujah daripada Ustaz Mohd Nor ini, ternyata memerangkap Umno dan kuncu-kuncunya yang sudah tidak berdaya untuk menipu rakyat dengan fitnah-fitnah mereka.

“Ternyata komunis yang mereka kata itu hanyalah dogengan sahaja. Mana mungkin kerajaan akan berkompromi dengan gerakan bahaya seperti komunis atau subversif yang mengancam keselamatan dan ketenteraman negara.

Jadi apa makna tuduhan yang mereka buat itu? Soal Ustaz Mohd Nor dan sekaligus menganggap Najib telah mem"bersih"kan Bersih 2.0 dari fitnah

Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Terengganu turut mempersoalkan adakah Yang di-Pertuan Agong akan turun mencemar duli ke stadium untuk menerima memorandum itu?

“Ini adalah cadangan yang pelik. Adakah tuanku akan turun ke stadium. Kita nak mengadap tuanku, sepatutnya di istana tempatnya”, ujarnya.

Maka dengan itu rakyat sepatutnya boleh menilai bahawa semua tindakan-tindakan Umno ke atas penggerak-penggerak Bersih 2.0 adalah tindakan yang tidak betul.

Beliau kemudiannya menyeru rakyat agar membuka minda mereka dalam memahami isu ini.

Friday, July 1, 2011

Marang 30 Jun : Kerajaan sepatutnya menjadikan masjid sebagai zon bebas berdakwah dengan membuka ruang ruang kepada semua ulamak untuk berdakwah.

Dengan cara ini masjid insyaAllah akan sentiasa dipenuhi oleh golongan yang mencari-cari kebenaran ilmu. Ini juga akan membuatkan orang ramai akan menjadi lebih kritis dan peka dengan sesuatu isu agama yang baru.

Kepentingan menjadikan zon bebas berdakwah itu juga akan membantu percambahan fikiran masyarakat agar dapat membandingkan sesuatu perkara dengan bebas tanpa pemikiran mereka condong kepada sebelah pihak sahaja.

Saranan ini dizahirkan oleh ADUN Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah, sebagai cadangan balas kepada Umno yang ketika ini masih tercari-cari formula untuk mengimarahkan masjid-masjid di Terengganu.

Di dalam laporan Sinar Harian rabu lalu, Dato' Nasir Ibrahim Fikri dilaporkan tidak berpuashati dengan jumlah kehadiran jemaah ke masjid-masjid kerajaan yang dianggap oleh beliau sebagai mengecewakan.

Beliau dengan sewenang-wenangnya melabelkan rakyat sebagai tidak bersyukur dengan kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan kepada masjid-masjid itu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu kemudiannya menyarankan agar masjid dijadikan sebagai pusat ilmu dan kegiatan kemasyarakatan agar ianya menjadi tempat berhimpunnya masyarakat setempat.

Dengan ini mengikut pandangannya, kemudahan dari kerajaan itu tidak disia-siakan begitu sahaja.

Akan tetapi menurut Ustaz Mohd Nor, cadangan menjadikan masjid sebagai pusat ilmu itu tidak akan berkesan sekiranya masjid-masjid tersebut masih diselubungi oleh pemikiran kolot bahawa semua masjid-masjid kerajaan adalah milik Umno.

“Bebaskan dahulu masjid dari himpitan idealogi Umno iaitu dengan menganggap masjid-masjid itu milik mutlak Umno,”katanya

Dengan PAS telah berjaya membuktikan ahli-ahlinya sentiasa berusaha mengimarahkan masjid, Ustaz Mohd Nor seterusnya menyarankan sepatutnya contoh daripada ahli-ahli PAS itu dijadikan panduan oleh Umno

Saturday, June 25, 2011

Marang 25 Jun : Seorang bapa dari Alor Star bercadang untuk menyaman Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana telah mengarah membotakkan kepala anak perempuannya ketika menjalani latihan di Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai di Marang, Terengganu pada 2 Mei lalu.

Mengikut laporan Sinar Harian, bapa pelatih terbabit Othman Long 63, yang juga pesara Jabatan Kastam Diraja Malaysia sudahpun mengemukakan bantahan melalui surat pembaca di dalam sebuah akhbar pada 16 Mei lalu

Maklum balas yang diterimanya dari Jabatan Bomba dan Penyelamat pada 27 Mei hanya menyatakan bahawa pihaknya memberi jaminan akan menyemak ukuran rambut sesuai bagi pelatih wanita supaya memenuhi kehendak keselamatan latihan.

Beliau merasa kesal kerana tiada permohonan maaf secara rasmi yang dilaporkan dari pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, sedangkan menurut Othman, tiada dinyatakan dalam surat tawaran pelatih wanita wajib membotakkan kepala.

Mengulas isu ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah juga turut kesal dengan apa yang terjadi dan menegaskan adalah haram perbuatan yang menyamakan perempuan dengan lelaki.

Beliau yang dihubungi sebentar tadi juga yakin dan percaya bahawa perkara yang berlaku ini adalah kesan dari sistem bukan Islam yang dipertahankan Umno dan sekutunya yang tidak sensitif dengan hukum hakam

“Tidak dapat diterima perbuatan seperti ini kerana haramnya hal ini memang sudah dimaklumi oleh semua orang.

Maka saya sangat berharap supaya semua orang sedar bahawa memang sudah masanya Umno kena diganti oleh PAS yang sentiasa mempertahankan Islam,” tegasnya diakhir pesanan ringkasnya

ARKIB