Wednesday, June 19, 2013

Petikan : Buletin Online
 
http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/hadi%20awang.pngKUALA TERENGGANU - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempertikai tindakan Kerajaan Negeri Terengganu yang tidak mewujudkan exco khusus menjaga portfolio agama sebagaimana yang diamalkan kerajaan Terengganu sebelum ini.

Beliau berkata, adalah tidak wajar hal ehwal agama diletakkan sebagai satu juzuk yang kecil di bawah Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi Dan Tugas-Tugas Khas kerana agama Islam memberi makna yang luas, leboh besar dari pendidikan.

"Di (kerajaan) pusat ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang jaga hal ehwal agama dan keseluruhan kerajaan negeri juga ada yang jaga hal ehwal agama.

"Definisi agama Islam itu lebih luas daripada pelajaran. Aspek-aspek lain duduk dalam agama jadi bagaimana agama diletak dalam satu exco yang hanya dalam aspek yang kecil. Perkara ini sudah lari dari asasnya," kata beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu pada Selasa 18 Jun.

Beliau yang juga ADUN Rhu Rendang dalam soalan lisan asalnya, ingin mengetahui siapakah di kalangan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan urusan agama di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang baru.

Soalan beliau dijawab oleh Exco berkenaan yang juga ADUN Ajil Ghazali Taib, memaklumkan kepada DUN bahawa beliau diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri Terengganu untuk menjaga hal ehwal agama.

"Hal ehwal agama Islam diletakkan bawah pengurusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang diketuai Ketua Agama negeri, Sultan Terengganu.

"Saya membantu dari segi kerjasama dengan Maidam untuk melancarkan pentadbiran," katanya. [Lihat Video]
Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) ketika bangun mencelah berkata, belum pernah berlaku kerajaan negeri tidak mewujudkan portfolio agama yang disifatkan sebagai sangat penting.

"Portfolio agama ini penting dan dalam ingatan saya belum pernah berlaku tak ada exco khusus yang menjaga portfolio ini dan biasanya diberi kepada orang berlatar belakang agama dan berkemampuan," katanya yang juga Ketua Pembangkang.

Namun begitu, Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said yang mencelah dan cuba berhelah dengan menjawab, kerajaan pusat tidak ada Menteri Khas Hal Ehwal Agama, sebaliknya mengakui ada seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang diberi tanggungjawab khusus menjaga hal ehwal agama.

Sebaliknya, beliau yang juga ADUN Kijal selaku ketua kerajaan tidak menjawab, mengapa negeri Terengganu tidak mewujudkan satu jawatankuasa khas agama Islam sebagaimana yang diamalkan di negeri-negeri lain.

"Diperingkat negara kita ada menteri-menteri sebagaimana yang dikatakan (oleh ADUN Rhu Rendang) tadi, dan tak sebut Menteri Hal Ehwal Agama, apa yang disebut (dipanggil) ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dia bertugas menjaga hal ehwal agama,

"Sama dengan kita exco dengan tugas-tugas khas dan dia bertanggungjawab dengan hal ehwal agama,"kata Ahmad Said.

0 comments :

ARKIB