Tuesday, June 25, 2013

Petikan : Sinar Harian

KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar berdepan mimpi ngeri apabila diacukan parang sebelum dipaksa menyerahkan kunci motosikal, dalam kejadian samun di tepi jalan, Kampung Bukit Belukar Jambu, di sini, 19 Jun lalu.

Menurut sumber, sebelum kejadian iaitu kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 19 tahun bersama seorang lagi rakannya yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari
bandar Kuala Terengganu ke Kampung Bukit Belukar Jambu, di sini.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa didatangi sebuah motosikal yang ditunggangi dua lelaki dari arah belakang sebelum dihimpit sehingga terbabas ke bahu jalan.

“Ketika itulah, kedua-dua suspek berusia 20-an itu berlagak seperti ‘orang berkuasa’ dengan memaksa mangsa dan rakannya itu menunjukkan kad pengenalan,” katanya, semalam.

Sumber berkata, mangsa yang menyangka kedua-dua suspek itu anggota penguat kuasa hanya menurut arahan dan semasa mahu mengeluarkan kad pengenalan, salah seorang suspek mengeluarkan sebilah parang sebelum mengacukan ke arah rakan mangsa.

“Suspek memaksa mangsa menyerahkan kunci motosikal sebelum bertindak menjadikan rakan mangsa sebagai tebusan.

“Terkejut situasi itu, mangsa terpaksa mengikut arahan dan hanya mampu melihat motosikal milik abangnya dilarikan begitu sahaja sebelum buat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian, semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata,” katanya.

Sunday, June 23, 2013


Thursday, June 20, 2013

Petikan : Harakahdaily
Petikan : Sinar Harian
Terpedaya cinta Facebook, gadis dirogol
 K Manoharan
K Manoharan
MARANG - Terpesona dengan kenalan cinta Facebook, seorang jurujual perempuan berusia 17 tahun menjadi mangsa rogol lelaki yang dikenalinya melalui laman sosial itu di sini, Isnin lalu.

Difahamkan, mangsa yang tinggal di Marang, Terengganu itu mula mengenali lelaki terbabit kira-kira dua bulan lalu dan suspek mengajak mangsa keluar makan bersamanya kira-kira jam 11 malam.

Bagaimanapun lain pula jadinya apabila suspek membawa mangsa ke sebuah bangsal di Kampung Bukit Parit di Marang untuk melakukan adegan ‘ringan’ sebelum mengajak mangsa melakukan hubungan seks.

Mangsa menolak ajakan itu, namun suspek tetap berdegil dan tidak mempedulikan rayuan mangsa dan bertindak merogolnya.

Lebih malang, seorang lagi lelaki yang dikenali suspek tiba-tiba muncul selepas itu dan turut merogol mangsa secara bergilir-gilir termasuk meliwat mangsa.

Suspek kemudiannya menghantar mangsa pulang ke Kuala Terengganu kira-kira jam 2 pagi pada Selasa lalu.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian.

Polis juga telah menahan seorang individu di Kampung Bukit Parit, di sini untuk siasatan lanjut.

 
http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/satiful%20sidang%20dun.jpgKUALA TERENGGANU - Kerajaan Umno dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini, gagal menyatakan sebab sebenarnya, mengapa para pelajar pengajian agama tidak lagi dihantar melanjurkan pengajian mereka ke Universiti al-Azhar Mesir.

Bahkan apabila 'ditekan' dengan soalan tambahan oleh Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Terengganu Ustaz Satiful Bahri Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri Terengganu, Ghazali Taib meminta notis kerana tidak dapat menjawab.

Menjawab soalan asal yang dikemukakan oleh ADUN wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid Endut, Ghazali berkata kerajaan tidak menghantar pelajar pengajian agama kerana faktor-faktor keselamatan di negara Mesir.

"Memandangkan suasana politik yang tidak stabil dan boleh menimbulkan ancaman nyawa jika apa-apa berlaku maka pihak kerajaan negeri mengambil langkah berjaga-jaga kerana memikirkan keselamatan menjadi keutamaan kepada kita,

"Saya yakin dan percaya apabila situasi (Mesir) kembali aman dan sejahtera, maka program (penghantaran pelajar agama ke Mesir) ini tidak masalah untuk di teruskan,"ujar Ghazali.

Ustaz Satiful bangun dan mempersoalkan, mengapa pemberhentian penghantaran pelajar itu hanya melibatkan pengajian agama sahaja, sedangkan pelajar yang mengambil pengajian perubatan terus dibiayai dan dihantar ke Mesir.

"Soalan tambahan.......macamana kursus 'medic' (pengajian perubatan) boleh bagi (boleh hantar ke Mesir).....ke (adakah) orang 'medic' kebal dari kawasan bahaya (di Mesir) macamana (mengapa) kursus pengajian Islam tak boleh (hantar) sedang pelajar kursus perubatan dan pergigian disebut tadi masih lagi dapat menyambung pelajaran,

"Kalau nak kira sekarang ni, (keadaan) di Jordan lebih bahaya kerana Jordan dekat dengan Syria!,"ujarnya dalam sesi soal jawab di hari terakhir Sidang DUN Terengganu yang bermula 16 Jun dan berakhir pada Rabu 19 Jun.

Ustaz Satiful yang juga ADUN Paka menolak alasan permohonan 'notis' selepas Ghazali yang juga ADUN Ajil, gagal menjawab soalan tersebut dengan menegaskan beliau bukan meminta angka atau data, namun hanya meminta penjelasan tentang dasar dan polisi penghantaran pelajar ke Mesir.

Tidak puas hati dengan jawapan Exconya itu, Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Ahmad Said bangun dan sebaliknya berkata, kerajaan menghentikan penghantaran pelajar ke Mesir khususnya ke Universiti al-Azhar kerana sistem pelajaran di negara Jordan lebih baik dari sistem pelajaran di Mesir.

Ahmad yang juga ADUN Kijal mendakwa ada pelajar anak Terengganu yang telah tinggal 25 tahun di Mesir tetapi belum mendapat Ijazah Pertama dan pelajar yang tinggal selama 14 tahun serta ada yang beniaga sebagai ejen jual tiket dan berniaga apam balik serta menjual 'mee teow' dan lain-lain lagi.

Namun begitu, Ahmad mengakui kerajaan masih menghantar pelajar pengajian perubatan ke Mesir, bercanggah dengan jawapan Ghazali yang menegaskan, pemberhentian penghantaran pelajar ke Mesir kerana soal-soal keselamatan [Lihat Video]
Petikan : Buletin Online

http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/Sidang%20Dun%20Terengganu.jpgKUALA TERENGGANU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Pasu Ustaz Ridzuan Hashim terkilan kerana tidak sempat menyampaikan Usul bagi membincangkan projek Jambatan dan Jalan Jeram ke Kubang Jela kepada Sidang DUN Terengganu kerana karenah ADUN Jabi Mohd Iskandar Jaafar.

Menurut seorang pemerhati Sidang tersebut dari Dungun, Naraza Muda, usul yang dikemukakan ADUN Jabi tidak perlu diberi laluan oleh Yang DiPertua DUN, Mohd zubir Embong kerana usul berkenaan 'Penghinaan Terhadap Yang DiPertuan Agong' merupakan isu yang telah diambil tindakan.

"sepatutnya speaker (Yang DiPertua) tidak memberi laluan kepada Iskandar, kerana usul itu telah diambil tindakan oleh pihak keselamatan, bukan lagi perkara penting dan segera yang perlu dibincangkan,

"tetapi usul yang mahu dibawa oleh ADUN Teluk Pasu merupakan isu rakyat yang maih belum selesai, pembinaan jalan tersebut tergendala kerana tindakan kontraktor yang melaksanakan projek tanpa mendapat persetujuan pemilik tanah,"ujarnya ketika di temui di lobi Dewan Undagan Negeri, Wisma Darul Iman disini semalam Rabu 19 Jun.

Manakala seorang pemerhati dari Kemaman, Osama Rizal berkata, beliau terdengar perbualan kumpulan pemerhati dari kalangan wanta Umno yang turut meluat dengan tindakan ADUN Jabi.

Kata Osama, setiap kali Iskandar bersuara, kumpulan wanita Umno tersebut mengeluh dan merungut dengan tindakan Yang DiPertua selalu memberikan laluan kepada Iskandar.

Sementara itu, seorang penduduk terbabit dengan perlanggaran hak pemilik tanah di Kampung Banggol Donas, Puan Rusni Hassan kesal kerana usul yang penting tidak dapat dibentangkan oleh wakil rakyat Teluk Pasu.

"sepatutnya speake beri peluang kepaa Ustaz Ridzuan kerana usul tanah Banggol Donas meruapakan usul penting, kami memang mengharapkan kepada Ustaz Ridzuan sebagai wakil rakyat yang baru dipilih membawa usul ini ke dalam sidang DUN,

"sepatutnya Sidang DUN membuka peluang seluas-luasnya kepada wakil-wakil rakyat bagi menyampaikan suara rakyat, tapi apa boleh buat........InsyaAllah kita usaha lagi selepas ini,"ujarnya yang turut menjadi pemerhati Sidang DUN tersebut.

Usul yang mahu dikemukakan oleh ADUN Teluk Pasu, Ustaz Ridzuan Hashim adalah seperti dibawah;

Usul di bawah peraturan Majlis Mesyuarat fasal 30 peraturan-peraturan dan perintah tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu
YB Yang Di-Pertua,

saya YB Hj Ridzuan bin Hashim, Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi kawasan Telok Pasu mohon mencadangkan,

“Bahawa persidangan ini hendaklah ditangguh mengikut fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan dewan yang mulia ini membincang dan merundingkan isu berkaitan projek pembinaan jalan susur lebuhraya dari Gemuruh ke Kg Banggul Donas sepanjang 7.6 KM (termasuk 2 KM jalan naik taraf). Di mana kerajaan diminta agar menghentikan sementara pembinaan jalan dari Kampung Jeram ke Kampung Banggul Tuan Muda yang melibatkan rumah-rumah kediaman dalam kawasan Kampung Banggul Donas sehinggalah satu kajian menyeluruh terhadap bantahan penduduk untuk mengubah jajaran selesai dilakukan.”

YB Yang Di-Pertua,
Isu ini adalah perkara-perkara tertentu kerana telah berlaku pencabulan terhadap hak-hak penduduk, ekoran daripada salah guna kuasa dan tindakan yang tidak mengikut prosedur dalam pembinaan jalan tersebut. Ia bercanggah sama sekali dengan semangat yang ada pada slogan kerajaan negeri iaitu Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan. Tindakan yang tidak mengikut prosedur ini telah disokong dan diakui sendiri oleh laporan Ketua Audit Negara 2011 di bawah tajuk; Agensi Pemohon Tidak Mengisytiharkan Pengambilan Di Bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 Bagi Tanah Yang Melibatkan Jajaran.

Sikap kerajaan yang langsung tidak mahu berjumpa dan berdialog dengan penduduk amatlah dikesali. Surat-surat bantahan yang dihantar kepada pihak Berkuasa Negeri juga tidak pernah mendapat layanan dan jawapan. Apakah ini semangat “Rakyat Di Dahulukan” sebagaimana yang dilaungkan oleh Perdana Menteri.

Perkara ini adalah melibatkan kepentingan orang ramai kerana ini akan menghilangkan lagi keyakinan rakyat terhadap integriti dan kredibiliti pemimpin dalam menyelasaikan masalah yang berkaitan dengan kepentingan rakyat. Di samping menyempitkan lagi semangat Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan serta merampas hak-hak rakyat yang berpegang kepada prinsip keadilan.

Perkara ini perlu disegerakan kerana ia menyentuh hal pelanggran hak rakyat khususnya penduduk di Kampung Banggul Donas dan sekitarnya. Perbincangan dan dialog adalah jalan terbaik yang seharusnya dilakukan oleh kerajaan bagi melihat dan mendengar sendiri pandangan rakyat dan seterusnya membuat keputusan bersama yang boleh membawa kebaikan dan keuntungan kepada semua pihak yang terlibat.

Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

Yang Mengusulkan
YB Hj Ridzuan bin Hashim,
Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu,
Kawasan Telok Pasu.
19 Jun 2013
Petikan : Buletin Online
http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/Hishamuddin.jpgKUALA TERENGGANU - Kerajaan bersetuju dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Kawasan Tepoh Ustaz Hishamuddin Abdul Karim bahawa Projek Tebatan Banjir di Taman Perumahan Pusu Tiga adalah berjaya sementara waktu dan hanya untuk kawasan perumahan tersebut sahaja.

Ustaz Hishamuddin ketika mengemukakan soalan tambahan meminta penjelasan, adakah kerajaan sedar projek tebatan bernilai RM5.6 juta dengan membina benteng sepanjang 825 meter itu menyebabkan kawasan-kawasan perumahan sekitar mengalami bebanan banjir.

"Saya bersetuju dengan wakil Tepoh (yang) menyatakan bahawa perlaksanaan projek ini cuma menyelesaikan masalah di Taman Desa Pusu Tiga dan saya ingin maklumkan pihak kerajaan telah selesai menjalankan kajian menyeluruh bagi mengenalpasti punca-punca berlakunya banjir di kawasan tersebut,"ujar Rosli.

Bahkan, beliau yang juga ADUN Kemasik mengucapkan terima kasih kepada Hishamuddin kerana memberi peringatan kepada kerajaan tentang sistem amaran yang banjir projek tersebut yang yang tidak befungsi dan penyelenggaraan yang hanya dibuat setahun sekali.

"Terima kasih sekali lagi wakil Tepoh, jadi seperti yang nyatakan penyelenggaraan dibuat berkala setahun sekali dan masih lagi dibawah tempoh 'defect and liability period' dan terima kasih kepada wakil Tepoh (yang memberi peringatan),

"Dan kita akan memberi perhtian yang khusus bagi memastikan penyelenggaraan yang dijalankan (dibuat) kepada mesin-mesin mengepam air, akan sentiasa berada ditahap yang optimum,"jelasnya Rosli dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-13 bagi Penggal Pertama, di wisma Darul Iman pada Rabu 19 Jun. [Lihat Video]

Menurut rekod, kerajaan negeri Terengganu telah membelanjakan RM5.6 juta untuk membina sepanjang 825 meter benteng tebatan banjir di Taman Perumahan Pusu Tiga, Kuala Nerus pada tahun 2009.

Ia adalah bagi menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi penduduk di taman berkenaan ekoran pembinaan taman perumahan tersebut yang diluluskan kerajaan walaupun ketinggiannya adalah 'di bawah paras laut'.

Wednesday, June 19, 2013

Petikan : Buletin Online
 
http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/Dr%20Alias.jpgKUALA TERENGGANU – PAS menggesa Kerajaan Umno Terengganu memberi keutamaan kepada pembangunan kemudahan dan khidmat kesihatan di negeri ini termasuk memastikan penempatan dan perjawatan para pegawai kesihatan yang mesti diselaraskan dengan kemudahan fikizal yang ada.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu Dr Alias Razak berkata, usaha yang serius mesti diambil terhadap pelbagai perkara melibatkan aspek kesihatan kerana berdasarkan data dan fakta yang ada, ia masih tidak mencapai tahap membanggakan berbanding negeri lain.

Dr. Alias turut membangkitkan beberapa perkara termasuk perbandingan masalah kematian anak yang baru lahir, ketika membahaskan Titah Ucapan Perasmian Sultan Terengganu

Beliau berkata, statistik yang dikeuarkan pada tahun 2012 menyatakan, ramai bayi yang berumur 28 hari ke bawah yang lahir dengan selamat, meninggal dunia di negeri Terengganu berbanding peringkat nasional.

Katanya, dalam 1000 kelahiran melibatkan bayi yang dilahirkan hidup, hanya tiga orang bayi meninggal di peringkat nasional tetapi seramai 6.4 bayi meninggal dunia di Terengganu.

Beliau yang juga ADUN Bukit Tunggal menambah, keadaan itu menunjukkan kadar kematian bayi tersebut di Terengganu lebih tinggi berbanding peringkat persekutuan dan perlu diambil langkah segera untuk memastikan keadaan lebih baik pada masa depan.

“Inilah taraf kesihatan yang ada pada kita. Dari segi kematian bayi, kematian anak yang umur setahun ke bawah, kita mencatatkan sebanyak 9.2 perseribu lahir hidup pada tahun 2012 sedangkan Malaysia pada 2010, sudah mencapai 5.4 perseratus ribu lahir hidup.

“Ini kita masih lagi duduk separuh, 100 peratus kurang daripada peringkat persekutuan. Indikator ini menujukkan bahawa kemudahan kesihatan di Terengganu masih jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain dalam negara kita,” katanya dalam sesi Perbahasan Titah Sultan Terengganu sempena Persidangan Pertama Penggal Ke-13 Dun Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini. [Lihat Video]

Dr. Alias turut menyentuh mengenai kekurangan peralatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan juga hospital-hospital daerah lain.

Keadaan itu katanya turut menimbulkan kesukaran kepada orang ramai dan tidak menolak kelemahan tersebut turut dilihat sebagai punca berlakunya kes kematian terhadap ibu mengandung dengan jumlah kematian sebanyak sembilan orang pada tahun lepas akibat komplikasi bersalin yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku di zaman seba canggih ini.

Dari sudut kelemahan kemudahan hospital daerah katanya, Hospital Besut dilihat masih tidak mempunyai doktor pakar walaupun kemudahan dewan bedah telah pun dipertingkatkan, begitu juga Hospital Setiu yang boleh dianggap setaraf hospital pakar tetapi tiada penjawatan untuk ditempatkan doktor di situ.

“Ini perkara menyedihkan dan melibatkan nyawa kesihatan rakyat kita yang sepatutnya di utamakan. Sebagai wakil rakyat dan doktor saya tidak puas hati bila dibandingkan dengan negeri-negeri lain. (Hospital Dungun) sudah berapa kali dirasmikan pecah tanah sehingga hari ini tidak dibina lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, Terengganu juga tidak menepati kehendak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan juga sasaran Kementerian Kesihatan untuk memperuntukkan seorang doktor bagi 600 orang penduduk.

Jelasnya, untuk mencapai matlamat tersebut, Terengganu memerlukan pertambahan sebanyak 978 orang doktor.

“Ini hampir 100 peratus kita kekurangan doktor-doktro terlatih. Ini aspek perlu diberi keutamaan walaupun memang bukan di bawah Kerajaan Negeri tetapi Exco Kesihatan, Kerajaan Negeri mohonlah. Saya juga mohon cadang diberi keutamaan perkara seperti ini demi kesejahteraan nyawa dan kesihatan rakyat Terengganu Darul Iman ini,” katanya.
Petikan : Buletin Online
 
http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/hadi%20awang.pngKUALA TERENGGANU - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempertikai tindakan Kerajaan Negeri Terengganu yang tidak mewujudkan exco khusus menjaga portfolio agama sebagaimana yang diamalkan kerajaan Terengganu sebelum ini.

Beliau berkata, adalah tidak wajar hal ehwal agama diletakkan sebagai satu juzuk yang kecil di bawah Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi Dan Tugas-Tugas Khas kerana agama Islam memberi makna yang luas, leboh besar dari pendidikan.

"Di (kerajaan) pusat ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang jaga hal ehwal agama dan keseluruhan kerajaan negeri juga ada yang jaga hal ehwal agama.

"Definisi agama Islam itu lebih luas daripada pelajaran. Aspek-aspek lain duduk dalam agama jadi bagaimana agama diletak dalam satu exco yang hanya dalam aspek yang kecil. Perkara ini sudah lari dari asasnya," kata beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu pada Selasa 18 Jun.

Beliau yang juga ADUN Rhu Rendang dalam soalan lisan asalnya, ingin mengetahui siapakah di kalangan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan urusan agama di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang baru.

Soalan beliau dijawab oleh Exco berkenaan yang juga ADUN Ajil Ghazali Taib, memaklumkan kepada DUN bahawa beliau diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri Terengganu untuk menjaga hal ehwal agama.

"Hal ehwal agama Islam diletakkan bawah pengurusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang diketuai Ketua Agama negeri, Sultan Terengganu.

"Saya membantu dari segi kerjasama dengan Maidam untuk melancarkan pentadbiran," katanya. [Lihat Video]
Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) ketika bangun mencelah berkata, belum pernah berlaku kerajaan negeri tidak mewujudkan portfolio agama yang disifatkan sebagai sangat penting.

"Portfolio agama ini penting dan dalam ingatan saya belum pernah berlaku tak ada exco khusus yang menjaga portfolio ini dan biasanya diberi kepada orang berlatar belakang agama dan berkemampuan," katanya yang juga Ketua Pembangkang.

Namun begitu, Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said yang mencelah dan cuba berhelah dengan menjawab, kerajaan pusat tidak ada Menteri Khas Hal Ehwal Agama, sebaliknya mengakui ada seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang diberi tanggungjawab khusus menjaga hal ehwal agama.

Sebaliknya, beliau yang juga ADUN Kijal selaku ketua kerajaan tidak menjawab, mengapa negeri Terengganu tidak mewujudkan satu jawatankuasa khas agama Islam sebagaimana yang diamalkan di negeri-negeri lain.

"Diperingkat negara kita ada menteri-menteri sebagaimana yang dikatakan (oleh ADUN Rhu Rendang) tadi, dan tak sebut Menteri Hal Ehwal Agama, apa yang disebut (dipanggil) ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dia bertugas menjaga hal ehwal agama,

"Sama dengan kita exco dengan tugas-tugas khas dan dia bertanggungjawab dengan hal ehwal agama,"kata Ahmad Said.

Tuesday, June 18, 2013

Petikan : Buletin Online
 
http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/wahid%20sumpah.jpgKUALA TERENGGANU - Pesuruhjaya PAS Terengganu YB Haji Mohd Abdul Wahid Endut berkata pengagihan tugas-tugas mengikut beberapa potfolio kepada semua wakil rakyat telah disepakati dan keutamaan akan diberi kepada Adun-adun baru yang muda untuk berucap pada persidangan dewan kali ini.

“Kita (PAS) telah bahagikan tugas-tugas kepada semua Adun, kita beri keutamaan kepada Adun-adun muda yang baru supaya berucap. Ambil peluang ini untuk bercakap di dewan dan yang ‘veteran’ jika ada peluang dan kesempatan kita juga akan bercakap.

“Kita telah beritahu kepada semua adun ambil kesempatan waktu soal jawab lisan, kemukakan soalan tambahan atau mencelah minta penjelasan.

“Masalah kita (ahli dewan) adalah kerana masa yang terhad, kita (PAS) ramai kali ini. Kadang-kadang isu banyak, bila masa terhad mungkin tidak sempat untuk kupas isu,” ujarnya selepas majlis angkat sumpah pada Ahad 16 Jun.

Beliau yang juga ADUN Wakaf Mempelam akan menumpukan soal Petroliam dan berkaitan dengan royalti serta Dana Khas.

http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/Dr%20Alias%20sumpah.jpgSehubungan itu, Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Dewan Undangan Negeri PAS Terengganu YB Dr Alias Razak berkata, beliau akan berucap dalam konteks isu-isu yang berkaitan kesihatan dan teknologi.

Manakala Timbalan Pesuruhjaya yang juga ADUN Paka akan menyentuh soal pendidikan termasuk pengajian tinggi dan Penolong Setiausaha PAS Terengganu yang juga ADUN Chukai YB Haji Hanafiah Mat akan memberikan fokus ucapannya kepada soal industri.

Selain itu, ADUN PAS yang lain akan diberi tanggungjawab sebagaimana dibawah;

1. ADUN Ladang YB Dato' Tengku Hassan Tengku Omar - Ekonomi dan Pentadbiran
2. ADUN Tepoh YB Ustaz Hishamudin Abdul Karim - Belia dan Pelancungan
3. ADUN Manir YB Ustaz Hilmi Harun - Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar
4. ADUN Batu Burok YB Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi - Pembalakan
5. ADUN Alor Limbat YB Ustaz Ariffin Seraman - Teknologi Maklumat
6. ADUN Sura YB Wan Hapandi - Kemudahan Awam
7. ADUN Teluk Pasu YB Ustaz Ridzuan Hashim - Usahawan dan Pengguna
8. ADUN Rantau Abang YB Alias Harun - Kebajikan dan Wanita
9. ADUN Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor Hamzah - Agama dan Penerangan
Petikan : Buletin Online

http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/Dr.%20Syed%20azman%20Usul.jpgKUALA TERENGGANU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok Dr. Syed azman Syed Ahmad Nawawi mewakili seluruh peniaga dan semua pihak yang menolak tindakan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang mahu merobohkan Pasar Besar Kedai Payang telah membawa usul tersebut ke Sidang Dun Terengganu pada hari ini.

Malangnya, kerajaan Umno-BN berdegil, tidak mahu menerima usul tersebut, bahkan ketika Dr. Syed Azman membacakan usul itu, beliau telah diganggu oleh Speaker DUN Mohd Zubir Embong dan para penyokong Umno-BN. [Lihat Video]

Berikut adalah Teks Usul yang dikemukakan, yang menjadi ucapan Dr. Syed Azman;
Usul di bawah peraturan Majlis Mesyuarat fasal 30 peraturan-peraturan dan perintah tetap Dewan Undangan negeri Terengganu.

Tuan Yang Di-Pertua,

Tuan Yang di-Pertua, saya YB Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu Kawasan Batu Burok mohon mencadangkan,

“Bahawa persidangan ini hendaklah ditangguh mengikut fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan isu cadangan projek mega bernilai RM400 juta di tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu di atas perobohan Pasar Payang yang merupakan warisan begi seluruh rakyat Terengganu Darul Iman.

Projek yang apabila siap dan dikatakan akan menjadi mercu tanda terbaru negeri ‘penyu bertelur’ itu dijangka akan menempatkan sebuah hotel bertaraf lima bintang 23 tingkat yang menyediakan 550 bilik dan sebuah pangsapuri 30 tingkat.

Tuan Yang Di-Pertua,

Isu ini adalah perkara-perkara tertentu kerana dengan merobohkan Pasar Besar Kedai Payang yang telah meniti usia 80 tahun bagi memberi laluan kepada projek mega di bina di atas tapak pasar yang sedia ada. Kontrak yang diberikan juga di ‘anugerahkan’ kepada ‘Taikon-taikon’ Cina yang berpengkalan di Kuala Lumpur.

Yang lebih penting lagi adalah, kebanyakan warga Terengganu telah membantah keras rancangan ‘projek mega’ RM400 juta ini. Ia tidak sesuai dengan perkembangan semasa yang kini berlaku di negari ini sendiri. Lebih-lebih lagi negeri Terengganu kini terlalu banyak berhadapan dengan projek ‘nazak’ dan terbengkalai seperti keruntuhan yang berlaku di Stadium Sultan Mizan yang bernilai hampir RM300 juta, Projek Taman Ilmu di Besut yang bernilai hampir RM400 juta dan projek Bebas Cukai di Tasik Kenyir yang bernilai lebih RM300 juta.

Ini ditambah lagi, sejak akhir-akhir ini, banyak warisan di negeri ini yang telah dirobohkan atas nama ‘pembangunan’. Di sekitar Kuala Terengganu sahaja telah menyaksikan perobohan Istana Kolam, Pasar Kedai Binjai, Pasar Tanjung, Menara Jam Besar dan yang terbaru adalah Kampung Ladang yang terkenal dengan pusat industri tembaga dan batik yang terus hilang dari peta sejarah. Perkampungan tradisi masyarakat Melayu sejak ratusan tahun juga hilang ditelan arus pembangunan yang amat rakus seperti di Kampung Paya Bunga, Kampung Paya Keladi dan Kampung Lorong Hj. Jamil.

Perkara ini adalah melibatkan kepentingan orang ramai apabila dengan perobohan Pasar Payang ini akan menambahkan lagi duka masyarakat Melayu Terengganu apabila ia juga akan hilang dari peta sejarah. Pasar Payang ini juga dilihat sinonim dengan tarikan kedatangan para pelancong ke negeri ini. Ia sejak sekian lama telah menjadi satu-satunya "mercu tanda" bagi menarik pelancong ke negeri “penyu bertelur’ ini. Ia juga merupakan pusat jualan pelbagai barangan tardisional yang terkenal di Terengganu. Ia juga merupakan warisan rakyat Terengganu yang sejak sekian lama menjadi kebanggaan rakyat Terengganu.

Tuan Yang Di-Pertua,

Perkara ini perlu disegerakan kerana ia menyentuh hal pelanggaran hak warisan rakyat dan sejarah negeri Terengganu. Dengan terbinanya sebuah hotel lima bintang dan menara kondominium di situ, akan hilanglah penguasaan pemilikan masyarakat Melayu di tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu. Begitu juga dengan suasana Pasar Payang yang ada sekarang, ianya adalah ‘pasar tradisi’ yang menjadi lambang ketinggian adat budaya Melayu. Dengan perubahan persekitaran yang amat mendadak ini, pasar ini amat sukar untuk dikekalkan identiti tradisinya dengan adanya pembangunan lain seperti hotel dan kondominium.

Pasar Payang ini adalah kebanggaan rakyat Terengganu yang perlu dikekalkan dan dipelihara untuk tatapan generasi akan datang. Pasar ini juga merupakan warisan kebanggaan bagi masyarakat Melayu di Terengganu. Sepertimana kampung Cina yang menjadi kebangaan masyarakat Tionghua, maka begitu jugalah dengan Pasar Payang bagi kaum Melayu di Terengganu.

Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, kepentingan ramai serta perlu disegerakan.

Yang mengusulkan,

YB DR SYED AZMAN SYED AHMAD NAWAWI,
Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu
Kawasan Batu Burok
18 Jun 2013

Sunday, June 16, 2013

PEMBERITAHUAN
 
Assalamualaikum
 
Admin Blog Bukit Payong memohon maaf dan keampunan
atas kegagalan mengemaskinikan blog selama sebulan atas
beberapa sebab yang tak dapat dielakkan.
 
Saya benar-benar berharap agar pengunjung dapat terus
bersama Blog Bukit Payong bagi mendapatkan berita-berita
 setempat di Bukit Payong, serata negeri, negara dan juga
kenyataan-kenyataan media isu-isu  terkini dari
YB Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah.
 
InsyaAllah blog ini akan cuba memantapkan lagi operasinya
bagi merapatkan lagi jurang komunikasi antara YB dan rakyat
Bukit Payong dimana sahaja anda berada

Petikan : Malaysiakini
Penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menyifatkan petisyen BN Kelantan mengaitkan beliau sebagai punca kekalahan BN di negeri itu pada PRU13 lalu sebagai kelakar.

Sebaliknya, dalam reaksinya, penceramah agama popular itu berkata, perkara itu langsung tiada kena mengena dengannya kerana kenyataan berhubung ‘Haram jatuhkan kerajaan Islam’ yang dimainkan PAS dalam kempen pilihan raya bukan kenyataan peribadinya, tetapi daripada al-Quran.

“Saya rasa kelakar sebab tiada kena mengena. Bukan saya berceramah (tetapi) ada dalam buku-buku agama (berkaitan), haram kita jatuhkan apa sahaja bernama Islam.
Tidak boleh,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Azhar berkata, sekiranya kenyataan dibuat cenderung mempengaruhi rakyat tidak menjatuhkan kerajaan Kelantan, mungkin BN boleh mempertimbangkan untuk menjadikan beliau sebagai alasan.

“Kalau (kaitkan) benda itu saya rasa bukan. Itu dalam al-Quran. Yang boleh buat petisyen (kalau) saya kata ‘jangan jatuhkan kerajaan Kelantan’ tetapi (saya) tidak kata begitu. (Saya kata) jangan jatuhkan kerajaan Islam,” katanya.

Mengulas lanjut, Azhar yang turut dikenali dengan akronimnya UAI sekali lagi menegaskan, apa-apa sahaja perkara yang berbentuk Islamik tidak patut dihalang dan haram sama sekali menjatuhkannya.

Petikan : The Malaysian Insider


KUALA LUMPUR, 16 Jun — Unit Media Baru (UMB) yang menjalankan tugas perang siber Barisan Nasional (BN) mendakwa dilayan seperti kelas kedua, kata pengerusinya Tun Faisal Ismail Aziz, sambil mempertahankan mereka tidak wajar dipersalahkan kerana prestasi buruk pada pilihan raya umum ke-13 lalu.

Tun Faisal berkata tidak adil hanya pihak mereka dipersalahkan kerana dikatakan memainkan peranan, sebaliknya mempersoalkan sikap pemimpin atasan yang lebih mementingkan blogger-blogger upahan yang mementingkan wang.

"Jangan bila ada peruntukan, beri pada orang lain. Bila mesyuarat, panggil orang lain. Bila makan-makan ajak orang lain. Bila jalan sana sini ajak orang lain. Bila ada maklumat bagi pada orang lain. Bila operasi turunkan orang lain. Bila buat latihan, bayar orang lain atau guna modul yang bukan cadangan UMB.

"Tetapi bila gagal, salahkan UMB. Banyak cantik...," tulis Tun Faisal dalam laman blognya tunfaisal.blogspot.com tetapi tidak merujuk secara khusus terhadap individu yang dimaksudkannya.

Tun Faisal juga mendedahkan UMB sering dijadikan "kambing hitam" oleh blogger upahan apabila berlaku sesuatu kegagalan dalam sesuatu misi walhal kumpulan tersebut menerima arahan dan peruntukkan daripada pihak atasan.

"UMB sering dijadikan scapegoat oleh pihak tertentu untuk menafikan kegagalan mereka," kata beliau.

"Mereka akan terus menyalahkan UMB sebagai jentera parti. Mereka akan kata kami bukan jentera parti, apa jentera parti buat? Sedangkan arahan dan peruntukan diberikan kepada mereka, bukan kepada jentera parti," tambahnya lagi.

Disamping itu, Tun Faisal juga mempertahankan blogger-blogger yang berada dalam UMB sebagai individu yang berpengalaman diperingkat akar umbi dan memahami keadaan semasa, bukannya seperti blogger upahan yang disifatkannya sebagai mereka yang seronok sendiri walaupun mempunyai pengalaman dan pengaruh yang luas di alam maya.

"Jelasnya mereka ini mempunyai pengikut dan kekuatan tersendiri; dan yang paling penting, mereka bukan bukan menulis, berfacebook atau bertweet hanya dari dalam bilik, sebaliknya mereka orang yang masak dengan pengalaman operasi di lapangan.

Terdapat kira-kira 13 juta pengguna Facebook di Malaysia, dengan 64 peratus terdiri daripada mereka yang berusia antara 18 dan 34 tahun, menurut sumber Socialbakers yang merupakan sebuah syarikat pemantau media sosial.

Dua puluh sembilan peratus pengguna Facebook di Malaysia berusia antara 25 hingga 34 tahun.

Malahan, "Tsunami Politik" pada Pilihan Raya 2008 lalu juga dikatakan berpunca daripada peranan media baru yang terdiri daripada Facebook, Twitter, blog dan banyak lagi, dimana menyaksikan BN hilang majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen dan hilang empat negeri kepada PR sebelum Perak jatuh kembali ke pangkuan mereka pada tahun 2009.

Sebahagian daripada kekalahan itu telah dikaitkan dengan BN meninggalkan laman web media sosial pada tahun 2008 apabila bilangan pengundi celik internet semakin bertambah.

Susulan keputusan mengejutkan tersebut, pemimpin atasan kerajaan pemerintah mula menyedari tentang peranan media baru tersebut dan telah membelanjakan jutaan wang untuk memperkuatkan jentera siber mereka pada pilihan raya 5 Mei lalu.

Walaubagaimanapun, keputusan sebaliknya yang berlaku apabila BN masih gagal menyaingi kekuatan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) yang lebih ke depan dalam perang siber dimana ia sendiri diakui oleh Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor sebelum Pilihan Raya 2013 lalu.

Selepas pilian raya 5 Mei lalu, BN mengekalkan kuasa untuk mentadbir negara selepas memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen. PR berjaya menambahkan tujuh kerusi menjadikannya 89.

Buat pertama kali BN hilang undi popular semenjak tahun 1969 walaupun masih kekal memerintah negara.

Penganalisis politik berpendapat rakyat Malaysia lebih menggunakan Internet untuk mendapatkan maklumat, yang menyebabkan ahli politik menggunakan Facebook dan Twitter untuk mendengar kata pengundi, dan tidak lagi bergantung kepada media arus perdana, menyaksikan penjualan akhbar semakin merosot dan tontonan di televisyen semakin berkurangan.

ARKIB