Sunday, April 15, 2012


Titian Baru : Sejumlah besar helaian risalah yang mengandungi ayat al-Quran didapati bertebaran berhampiran Masjid Titian Baru selepas solat jumaat baru-baru ini.

Risalah yang bermaksud untuk berkempen oleh pihak tertentu itu ditemui oleh kebanyakan jemaah masjid apabila selesai menunaikan solat jumaat.

Kebanyakan risalah itu telah dipijak samada oleh pejalan kaki atau kenderaan kerana semua jemaah tidak mengetahui adanya ayat-ayat al-Quran di dalam risalah tersebut.

Salah seorang jemaah Encik Rosli, yang menemui risalah itu merasa teramat kesal dengan tindakan pihak terbabit yang melakukan kerja-kerja sebegitu tanpa mengira sensitiviti terhadap kesucian al-Quran.

Beliau yang jelas kesal dengan tindakan yang menghina ayat-ayat Allah itu bertanya apakah mereka tiada akal untuk berfikir dengan waras ketika melakukan kerja-kerja sebegini.

“Dalam gambar itu ayat-ayat dari surah al-Mukminuun 1 dan 2 dapat dilihat dengan jelas.

Mereka ini memang ternyata jahil atau mungkin tidak mengenal huruf-huruf al-Quran.

Satu lagi persoalan yang bermain dalam fikiran saya, mereka menabur risalah ini ketika orang ramai sedang bersembahyang jumaat, mereka tu tak bersembahyang ke?,” tanya beliau lagi.

Beliau bersama teman-temannya kemudiannya berusaha mengutip semua risalah itu setelah menyedari ianya mengandungi ayat-ayat al-Quran agar tidak terus dipijak orang ramai.

Tambah beliau lagi, kalaupun mana-mana pihak yang terbabit betul-betul mahu berkempen, berkempenlah dengan cara yang betul tanpa mahu menamakan pihak terbabit.

Beliau menyeru kepada pihak yang terbabit agar insaf dan tidak mengulangi perkara-perkara dosa sebegini dimasa hadapan kerana dibimbangi bala dari Allah yang akan menimpa.

0 comments :

ARKIB