Friday, June 3, 2011

Shah Alam 3hb Jun : Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Bukit Payong, Yang Berhormat Ustaz Mohd Nor Hamzah telah berjaya meraih kepercayaan dari perwakilan Dewan Pemuda Pas Pusat apabila berjaya memenangi kerusi AJK Dewan Pemuda Pas Pusat ( DPPP ) di Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat semalam

Dalam pemilihan yang diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam ( MBSA ) itu juga menyaksikan DPPP mendapat timbalan baru apabila Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz berjaya mengalahkan penyandang jawatan itu iaitu Ustaz Azman Shapawi Abdul Ghani

Ustaz Mohd Nor yang dihubungi sebentar tadi melahirkan rasa bersyukur kepada Allah dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua perwakilan diatas kepercayaan yang telah diberikan.

Beliau berharap semoga Allah akan memberikan kekuatan kepada beliau untuk memikul amanah yang telah diberikan oleh perwakilan.

Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Terengganu, berharap agar semua pihak samada yang terpilih atau tidak, untuk kembali merapatkan saf dan fokus kepada agenda yang lebih besar iaitu pilihanraya umum tidak lama lagi.

Antara calon lain yang turut diberi kepercayaan perwakilan untuk mengisi kerusi AJK Dewan Pemuda Pas Pusat ( DPPP ) ialah anakanda kepada Presiden Pas, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi

Sementara itu apabila diminta mengulas ucapan dasar presiden yang dibentangkan tadi, beliau berpendapat ianya satu ucapan dasar yang paling bersemangat kepada semua ahli.

Menurutnya, ucapan dasar bertemakan Membangun Negara Berkebajikan itu, seharusnya menjadi pemangkin kepada pejuang-pejuang Islam terutamanya dari kalangan akar umbi untuk mengemaskinikan bilik gerakan masing-masing bagi menghadapi pilihanraya tidak lama lagi.

“Seboleh-bolehnya ahli-ahli Pas kena berusaha dengan gigih untuk memahamkan rakyat Malaysia perihal politik Islam serta tawaran dari Pakatan Rakyat ( PR ) yang terkandung di dalam Buku Jingga sepertimana arahan dari Dato’ Tuan Guru Presiden,” katanya mengakhiri perbualan

0 comments :

ARKIB