Wednesday, November 6, 2013

Perutusan Maal Hijrah 1435


Bismillahir rahmanir rahiim
Salam Maal Hijrah buat semua. Semoga dengan kedatangan tahun baru Islam ini akan memberikan kita lebih kekuatan bagi melakukan penghijrahan dari perkara yang negatif kepada yang positif. Menyambut Maal Hijrah bukanlah ibadat yang khusus sepertimana kita menyambut Eidul Adha. Juga dikatakan para sejarawan bahawa bukanlah pada bulan Muharram penghijrahan rasulullah s.a.w berlaku. Ianya adalah penetapan bulan Muharram sebagai bulan pertama dalam kalendar Islam dicetuskan oleh saidina Umar al-Khattab sebagai satu idea bagi memantapkan lagi sistem kalendar dalam Islam. Cuma permulaan tahun itu dikira pada tahun hijrahnya rasulullah dari Mekah ke Madinah. Maka semangat hijrah itu yang ingin kita terapkan dalam niat berhijrah sebagaimana rasulullah iaitu kerana Allah.
Rasulullah telah bersabda :

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِي اللَّه عَنْهمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّم:َ لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا

(maksudnya) : Daripada Ibn ‘Abbas r.ahuma, katanya: sabda RasululLah s.a.w: “Tiada hijrah selepas pembukaan kota Mekah, sebaliknya jihad dan niat. Apabila kamu diminta keluar berjihad maka keluarlah”. (Riwayat al-Bukhari 1986M: 3/1025)
Hadis ini bukanlah bermakna tiada lagi hijrah bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain setelah pembukaan Mekah. Ianya masih berjalan sehingga sekarang, contohnya sekiranya kita tidak mampu mempertahankan aqidah kita di sesuatu tempat, maka berhijrahlah kita ke tempat yang lain agar terpelihara aqidah kita. Tapi apa yang ingin saya sentuh di sini ialah dalam konteks semasa, iaitu penghijrahan pemikiran. Perlunya kita berhijrah dari pemikiran sekular kepada pemikiran Islam, dari pemikiran ekonomi kapitalis kepada ekonomi Islam, dari pemikiran menambahbaik hukuman rekaan manusia kepada hukuman pencegahan ciptaan Allah, dari kepompong pemikiran kejahilan kepada keterbukaan ilmu pengetahuan supaya kita dapat melihat dunia ini dari kacamata Islam dan tidak ditipu oleh kepelbagaian kosmetik dalam mentafsirkan Islam.
Sebagai pemahaman kepada perlunya penghijrahan pemikiran kita, lihat sahajalah bagaimana tertekannya rakyat dalam menghadapi ekonomi masakini. Dengan upah yang sedikit, kenaikan harga barang yang berterusan (setelah ditipu sebelum PRU dengan pelbagai janji untuk tidak menaikkan harga barang), pemerintah sangat selesa bermain dengan hal-hal materialistik bagi memperbodohkan rakyat. Bayangkan jumlah hutang isi rumah penduduk Malaysia adalah yang tertinggi dikalangan negara Asia. Dengan statistik kemuflisan yang sedang rancak menaiki tangga graf yang terdiri dari kalangan orang muda, rakyat Malaysia diajar agar berhutang seawal usia belajar lagi. PTPTN sebagai contoh, pelajar diajar berhutang dan dikejar sebagai penjenayah layaknya jika gagal membayar hutang. Benar hutang wajib dibayar walaupun tidak dituntut, orang yang mati dalam hutang ruhnya akan tergantung hatta syuhada sekalipun, tetapi kenapa hanya dipandang kepada anak-anak bilis ini? Apakah mereka yang bukan sahaja berhutang, malah membaham jutaan ringgit duit rakyat mendapat pengecualian pendakwaan?
Terdesak dengan hambatan kewangan bagi menyambung hidup, adakalanya rakyat yang hilang pertimbangan dan mencuri. Ya, sewajarnya mereka dihukum, tetapi dengan harga barang curian belasan ringgit atau kurang, dipenjara bertahun-tahun, tetapi penjenayah kolar putih dengan suapan jutaan ringgit, penyelewengan dan penipuan dengan nilai keseluruhan penyelewengan mereka semua selama bertahun-tahun yang mencecah billion ringgit itu hanya diberi hukuman beberapa bulan penjara sahaja, malah ada diantara mereka tidak dihadapkan ke mahkamah, Cuma hukuman dalaman dalam parti, sebaik habis hukuman, dilantik pula memegang jawatan dalam organisasi. Apakah kebodohan ini terselindung dari mata rakyat? Atau rakyat terpaksa membutakan mata mereka kerana sibuk mengejar kekayaan peribadi?
Ditambah pula dengan pengumuman kerajaan bagi memperkenalkan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) sebanyak enam peratus, walaupun pada April tahun hadapan, tetapi rakyat sudah dapat menjangkakan kesannya sekarang. Lebih malang mimbar-mimbar yang mulia telah dicemari dengan khutbah mengampu, menambahkan lagi kebodohan rakyat. Inilah yang dikatakan pada permulaan tadi, bila rakyat dihimpit dengan pemikiran materialistik, maka mereka melupakan segalanya, hidup tertekan memikirkan duit yang kurang, persaingan hidup yang tinggi , menyebabkan sifat pentingkan diri menjadi kemestian. Inilah sasaran utama kerajaan yang korup, melumpuhkan pemikiran rakyat dengan kebendaan agar senang dijajah sebagaimana penjajah lakukan dahulu. Kita semakin jauh dari rahmat Allah, dan bermakna kita sedang menghampiri balaNya.
Dalam hal jenayah pula, keselamatan rakyat kian terancam sekarang. Mengikut perkiraan lojik ekonomi, sekiranya tinggi kadar pengangguran dan kenaikan kos kehidupan di sesebuah tempat, maka kadar jenayah juga akan naik. Oleh itu, tidak perlu kita kepada teori yang hebat-hebat dari pakar-pakar ekonomi tetapi dengan hanya melihat kepada kerakusan penjenayah bertindak sekarang ini, maka sangat mudah difahami bahawa ekonomi Malaysia negara yang kita cintai ini berada dalam kemerosotan yang teruk. Pasukan keselamatan pula masih belum pulih dari tercalar maruah dengan isu kehilangan barangan penting PDRM seperti pistol, kenderaan dan lain-lain lagi seperti yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara baru-baru ini, turut seperti kehilangan taring dengan kes-kes jenayah yang semakin menjadi-jadi ini. Menambahkan lagi keresahan rakyat.
Rakyat perlu berfikir bagaimana dengan mudahnya penjenayah melepasi kawalan sempadan, kemudiannya membeli kad pengenalan palsu seperti membeli barangan biasa di pasaran kelihatannya dan dapat pula memohon pekerjaan sebagai pengawal keselamatan dan juga dalam sektor-sektor lain. Laporan mendedahkan segelintir syarikat keselamatan membekalkan pengawal keselamatan mereka dengan senjata walaupun belum mendapat permit dari pihak berkuasa, dianggarkan seramai 150 ribu hingga 400 ribu pengawal keselamatan diambil secara haram dan sebahagian syarikat keselamatan yang besar menyerahkan lesen kontrak kepada syarikat yang lebih kecil bagi menjimatkan kos dan syarikat itu sebenarnya merekrut orang yang tidak sesuai. Adakah anda merasakan anda selamat? Adakah anda yakin penjenayah itu tidak akan melakukan sesuatu keatas anda dan keluarga jika mereka mempunyai peluang? Fikirkanlah wahai rakyat sekelian.
Oleh itu, seharusnya pemikiran rakyat boleh diubah dari menjadi pak turut kepada kerajaan yang korup kepada pemikiran yang kritis memikirkan bahawa kehidupan ini sebenarnya diatur oleh Allah dan mesti mengikut peraturanNya. Kita boleh mentaati pemimpin tetapi hendaklah ada batasannya, bukan taat yang semberono. Ekonomi yang ditunjukkan Islam sangat praktikal, tidak menindas tetapi membantu. Boleh menjadi sekaya-kaya manusia, tetapi zakat jangan dilupa, sedekah sentiasa agar terjalin keharmonian sesama masyarakat. Hudud pula bukanlah hukuman kolot yang sesuai pada orang arab dizaman dahulu sahaja, tetapi ianya universal dan laku sepanjang zaman. Ianya bersifat mendidik, dikenakan keatas penjenayah sahaja, maka kenapa yang mengaku bukan penjenayah juga tiba-tiba menolak melebihi penjenayah? Apa yang penting dalam hukuman Islam ini ialah semua perkara akan berkait dengan dunia dan akhirat. Terlepas di dunia, pasti dan yakinlah Allah akan mengadilinya pula di akhirat. Terhukum dengan hudud Allah dan bertaubat, maka insyaAllah Allah akan melepaskan mereka di akhirat dimana seksanya berganda-ganda sakitnya berbanding di dunia. Yakinlah dengan Allah, buatlah anjakan pemikiran dan berhijrahlah dari pemikiran yang mengagung-agungkan dunia kepada ketundukan kepada Allah agar kita terselamat dari kemurkaan Allah di akhirat. Wallahua’lam

Ustaz Mohd Nor Hamzah

0 comments :

ARKIB