Sunday, February 24, 2013


1. Dingin sungguh dinihari tadi. Hujan pula turun selebatnya. Semalaman sukar untuk melelapkan mata. Meskipun penat sangat terasa setelah melalui 3 program besar yang mengambil jarak pemanduan yang jauh.

2. Meninggalkan sempadan Kuantan, kami berlabuh seketika di pantai Terengganu. Sejurus selesai perasmian Majlis Xpresi Profesional Muda 2.0 di Qurrata Inn Riverside Resort Kuala Terengganu, saya terus berkejar ke Peringat Kota Bharu untuk Kuliah Perdana di Masjid Syuhada Kampung Bechah Mulong sebelum menyampai ceramah isu semasa di Lundang.

3. Merentas 3 negeri Pantai Timur dalam tempoh sehari dengan jadual program yang padat telah menjadi rutin. Segalanya dilaku untuk mencari mardhatillah dalam perjuangan suci ini. Tambahan pula amanah yang digalas sangat berat dan besar. Ianya terpaksa ditunai biarpun bertatih dan bertongkat paruh.

4. Rakan - rakan pimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia jua mengalami situasi serupa. Cadang saya semalam, boleh bersapa rindu pada sahabat seperjuangan yang juga Timbalan saya dalam DPPM biar hanya baru 3 hari berpisah. Malangnya beliau telah bergegas ke Kuala Lumpur untuk menghadhiri satu program di sana sebelum memimpin delegasi DPPM ke konvensyen Pakatan Rakyat pada Isnin ini.

5. Kelihatan maklumat yang di update dalam kumpulan whatsapp DPPM petang kelmarin, sahabat saya, Naib Ketua DPPM yang baru sahaja sihat setelah seminggu lebih terlantar dipembaringan, kini telah berlepas ke Sabah untuk melangsaikan tanggungjawab perjuangan. Masing - masing dalam orbit tersendiri guna melunaskan amanah perjuangan sekaligus menepati roadmap DPPM membantu jamaah memenangi PRU 13 kelak.

6. Sambil memaksa mata lelap, jari jemari ini terus merekodkan memori bersulam emosi mengharungi karenah perjuangan ini. 1001 rasa terbit dari sebuah kepenatan dalam mengharungi pancaroba hidup sebagai seorang pemegang amanah perjuangan.

7. Terubat segala duka, terasa tenang dan lapang apabila menyaksikan betapa musuh - musuh Islam juga terkial - kial mencari rentak bagi menyaingi usaha gigih para pejuang Islam yang tidak pernah bosan dan jemu menjulang agamanya. Ternyata musuh Islam juga jauh lebih penat menghabiskan tenaga dan keringat untuk menyekat perkembangan Islam yang kian menyinar di bumi bertuah ini. Malah kepenatan mereka bertambah tenat apabila setiap usaha mereka untuk memadam cahaya hidayah hanya berdepan kemurkaan Allah swt saban ketika.

8. Bukan sahaja tenaga, bahkan musuh Islam terpaksa menghabiskan jutaan harta mereka bagi "membeli" hati manusia dengan penuh yakin pada "kuasa" harta yang mereka miliki. Mereka lupa bahawa Allah swt adalah pemilik mutlak hati manusia. Akhirnya mereka terpaksa akur dengan segala kepedihan bahawa harta mereka habis namun gagal untuk menyekat kesedaran dan kebangkitan khasnya dari generasi muda. Semakin tenat apabila mereka menyedari bahawa "umpan" mereka serba tidak menjadi kerana ummah kini sedar bahawa sandiwara tahap "drama bersiri" itu, telah diketahui plot dan kesudahannya.

9. Mengenang realiti ini, ia bagaikan terapi yang menghilangkan tekanan emosi dan meregangkan urat saraf yang kepenatan mengharungi kepadatan jadual rutin seharian. Sebagaimana sukar dan payah kita redah "sahara" perjuangan demi mencari sebuah kemenangan buat Islam, begitulah tidak mudah dan senang bagi musuh menafikan gelombang perubahan yang sedang melanda negara.

10. Kedudukan mereka semakin hari semakin tenat. Apalagi yang mereka tidak buat untuk sekat kebangkitan ummah bersama angin perubahan yang kian marak ? Harta telah ditabur, janji telah dihambur, projek telah dihulur, K Pop sudah dianjur, Gangnam Style sudah diatur ... Apalagi yang belum disusur ? Kecuali hanya mereka kini bagaikan buah yang menanti gugur.

*** Catatan Ustaz Nasruddin Hassan, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

0 comments :

ARKIB