Oleh Mat Teropong
Bismillah. Hari ini saya ingin bercerita tentang zoo. Saya adalah antara salah seorang
pemerhati ketika Sidang Dewan Undangan (DUN) Negeri Terengganu berlangsung
minggu lepas. Perjalanan sidang dewan tentunya dikuasai sepenuhnya oleh
kerajaan yang memerintah. Itu adalah adat di mana-manapun. Dengan kerusi DUN
dikuasai oleh 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari BN, maka lapan orang
pembangkang yang kesemuanya PAS tidaklah begitu terdaya dalam menangkis
serangan BN apatah lagi banyak keadaan Yang Dipertua Dewan dilihat kurang mesra
pembangkang.
Saya menyaksikan ADUN PAS Ustaz Harun
Taib yang pernah satu ketika dahulu menjadi pendekar atau hero PAS kelihatan
sedikit uzur. Dengan jalanannya berpimpin, beliau kelihatan kerap ke tandas,
mungkin kerana faktor kesihatan yang tidak menentu. Namun bisa kata-katanya
masih belum dapat ditandingi oleh mana-mana ADUN baik dari rakan sepasukan
mahupun lawan. Walaupun suaranya agak kurang jelas (mungkin kesan strok yang
dialaminya sedikit masa dahulu) namun butir maksudnya jelas difahami.
Agak melucukan ialah ADUN Ajil, YB
Rosol Wahid sentiasa menjadi sasarannya. Contohnya apabila Rosol dilihat agak
aktif mengambil bahagian dalam perbahasan bersama ADUN Alor Limbat YB Alias
Abdullah, Ustaz Harun mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar YAB Dato’ Ahmad
Said kerana Berjaya mengaktifkan kedua-duanya, mungkin takut nama tidak
terpilih dalam PRU nanti selorohnya. Dan apabila Rosol mengajak PAS berdebat
dengan mencabar Ustaz Harun, dengan selambanya dia bertanya “Awak siapa? Apa
pangkat awak dalam Umno?” yang membuatkan Rosol terduduk diam.
Banyak lagi perkara yang menarik
didalam sidang DUN minggu lepas yang mungkin terlalu panjang kalau hendak
dimuatkan semuanya. Antaranya cabar mencabar yang hampir membawa kepada
pergaduhan antara Bukit Payong (Ustaz Mohd Hamzah-PAS) dengan Batu Rakit
(Khazan Che Mat-BN) dan Ramlan Ali (Jabi-BN) .Tetapi apa yang agak menarik yang
ingin saya bawakan di sini ialah berkenaan PAS yang dituduh sebagai parti
ajaran sesat dan isu zoo yang tak habis-habis dipertahankan dengan
bersungguh-sungguh oleh Dato’ Ahmad Said.
Isu PAS sebagai parti ajaran sesat
dijawab sendiri oleh Exco Agama iaitu Khazan Che Mat. Mereka menuduh PAS
kemudian mereka mensucikan semula. Sama seperti kes tahun 2004 dahulu ketika
tuduhan yang begitu hebat mengatakan bahawa PAS menyeleweng dalam pengurusan
balak, akhirnya kertas putih yang dikeluarkan sendiri oleh kerajaan BN
mengesahkan bahawa tiada penyelewengan balak yang dilakukan oleh kerajaan PAS
ketika memerintah.
Dalam jawapan Khazan kepada Presiden
PAS, yang juga ADUN Rhu Rendang, Tuan Guru Dato’ Abdul Hadi Awang, beliau
menjelaskan kepada DUN bahawa hanya empat kumpulan ajaran sesat sahaja yang
dikenalpasti oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). Kesemua nama-nama
kumpulan ajaran sesat yang dinyatakan oleh Khazan itu, tidak satupun ada nama
PAS. Maka penyucian fitnah kepada PAS telah dilakukan oleh Umno-BN. Terima
kasih Khazan.
Isu kedua yang ingin saya bawakan di
sini ialah isu zoo. Dalam satu jawapan Dato’ Ahmad Said telah memberikan antara
alasan zoo didirikan ialah kerajaan negeri mahu mencari alternatif lain sebagai
sumber pendapatan negeri. Membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat. Jika
sekiranya sumber petroleum di Terengganu habis, maka kerajaan negeri akan ada
sumber lain seperti zoo ini. Dalam kesungguhan beliau menjawab, sehinggakan dia
menuduh Dr Syed Azman Ahmad Nawawi ADUN Batu Burok berbohong tentang belanjawan
untuk zoo sebanyak hampir 100 juta itu. Sedangkan Dr Syed Azman menyatakan
jumlah yang telah diluluskan oleh DUN. Ahmad Said tidak sedar dialah yang
meluluskannya.
Maksud kepada jawapan itu boleh
difahami tetapi agak lucu dengan logik alasan yang diberikan itu. Banyak
persoalan yang timbul antaranya apakah yang dapat dilakukan oleh sebuah mini
zoo bagi menampung pendapatan sebuah negeri (itupun kalau banyak hasil)? Dan
kita sedia maklum zoo hanya akan dikunjungi ramai pelawat hanya ketika hari
cuti. Berapa agaknya hari cuti dalam setahun di Malaysia. Dan kalaulah ada
hasilnya dari mini zoo ini mampukah ianya menampung pendapatan seperti
pendapatan dari sumber petroleum yang menjangkau berbilion ringgit itu? Lagi
persoalan, berapakah agaknya peluang pekerjaan yang dapat disediakan oleh mini
zoo? Mungkin yang banyak ialah jawatan pekerja am.
Dan soalan terakhir yang saya percaya
bermain dalam fikiran rakyat ialah kalaulah dari tahun 1974 kita sudah
mempunyai sumber petroleum yang dibayar oleh pusat, rakyat Terengganu masih
duduk pada tangga kedua termiskin (kecuali tahun pemerintahan PAS, antara 2000-2004
pernah naik ke tangga lebih baik iaitu keempat termiskin), maka adakah industri
zoo boleh menggantikan industri petroleum bagi menyelamatkan ranking tahap
kemiskinan rakyat Terengganu? Apa yang dibimbangi ialah orang mungkin berkata dulu penyokong MB Terengganu kata kepada Sultan "Natang", MB sekarang duduk sibuk jaga "Natang". Apa kaitan parti Umno dengan "Natang"?
Inilah standard pemikiran
pimpinan Umno. Masih ingatkah lagi apa yang berlaku dengan Roller Coaster
di Kemaman hasil idea Ahmad Said? Oleh itu rakyat harus sedar akan kebebalan
pimpinan Umno ini harus diganti dengan orang yang lebih cerdik. Diganti oleh
satu golongan yang sentiasa memikirkan yang terbaik untuk rakyat samada dalam
hal dunia mahupun akhirat. Siapa lagi kalau bukan PAS yang sudah terbukti
melindungi rakyat, bukannya kroni. Maka rakyat tiada pilihan kecuali membantu
PAS untuk menggantikan Umno dalam PRU yang bakal menjelang nanti insyaAllah
0 comments :
Post a Comment