Wednesday, October 5, 2011

Marang: Umno, MCA, MIC dan parti komponen BN yang lain patut duduk semeja untuk mencari kata sepakat antara mereka berkenaan isu hudud dan menjelaskannya kepada rakyat.

“Pendirian BN penting kerana sebagai parti yang memerintah, kuasa berada ditangan mereka sudah lebih dari 50 tahun.

Ini kerana pendirian mereka boleh dijadikan indikasi kepada rakyat, adakah benar mereka (BN) boneka penjajah dan Umno pula menjadi boneka kepada MCA dan MIC,”

Demikian gesaan balas yang dibuat oleh ADUN Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor Hamzah kepada gesaan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya DAP dan PKR menjelaskan pendirian mereka berkenaan isu hudud.

Muhyiddin dipetik sebagai berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada seminar bersama pemimpin penjawat awam Malaysia-Singapura 2011 baru-baru ini.

Menurut laporan Bernama Online Muhyiddin menggesa Anwar Pengerusi DAP Karpal Singh dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bersuara dengan jelas dan tidak lagi berdolak-dalik dalam isu itu.

“Setakat ini yang konsisten hanya Nik Aziz Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Biar Anwar, Karpal dan Hadi cakap dengan jelas apa pendirian mereka kerana bukan sahaja orang Islam tetapi orang bukan Islam juga mahu tahu apa pendirian pakatan pembangkang dalam soal ini,” katanya.

“Yang penting sekarang bukan soal pendirian Barisan Nasional (BN) tetapi pendirian parti lain dalam PKR itu sendiri.

Sebelum ini mereka telah menyatakan tidak setuju pelaksanaan hukum hudud, tetapi PAS masih bertekad untuk teruskan,”kata beliau lagi.

Akan tetapi menurut Ustaz Mohd Nor yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Muhyiddin sepatutnya menyelesaikan percanggahan dalam BN dahulu, kerana PR bukan parti yang memerintah.

Beliau memberikan contoh percanggahan pendapat dalam BN yang cuba dikelirukan Muhyiddin ialah berkenaan resolusi MCA dalam perhimpunan agung mereka baru-baru ini dan beberapa pemimpin mereka.

MCA telah mengeluarkan resolusi berkenaan hudud dan jelas resolusi mereka menolak hudud kerana bercanggah dengan rukun asas Perlembagaan Persekutuan, kebebasan beragama dan hak asasi individu.

Manakala bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir pula menyatakan bahawa kerajaan pimpinannya dulu bukan menolak hudud tetapi tidak melaksanakannya kerana masa dan keadaan pecahan kaum yang tidak sesuai.

Sedangkan pada awal 90-an, beliau dengan jelas dilaporkan menyindir kerajaan PAS Kelantan dengan kenyataan seperti mempelawa orang ramai kalau mahu makan sup tangan, boleh pergi ke Kelantan.

Muhyiddin pula baru-baru ini dalam satu kenyataannya menyatakan bahawa Umno tidak menolak hudud.

Oleh itu, dengan kekeliruan yang sengaja direka Umno ini Ustaz Mohd Nor menyeru kepada semua rakyat agar membuka minda mereka untuk sama-sama membantu PAS bagi menggantikan Umno dalam pilihanraya nanti.

“Rakyat tidak selamanya boleh diperbodohkan oleh BN,” katanya lagi

0 comments :

POSTING TERBARU

ARKIB