Monday, August 22, 2011

Petikan Sinar Harian


BUKIT PAYONG – Walaupun wakil rakyat Pas tidak mendapat peruntukan Kerajaan Negeri tetapi parti itu tetap memberi bantuan kepada golongan memerlukan sekadar yang termampu.

Ketua Dewan Pemuda Pas negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, pada tahun ini Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Payong menyalurkan duit raya kepada 300 penerima terdiri daripada golongan kurang bernasib baik membabitkan ibu tunggal, warga emas dan miskin

Majlis penyampaian sumbangan itu diadakan di Madrasah Darul Iman (MDI) Titian Baru disampaikan Mohd Nor yang Adun Bukit Payong.

“Meskipun Pas tidak dapat peruntukan Kerajaan Negeri, tetapi pelbagai aktiviti parti dengan masyarakat tetap dilaksanakan.

“Kita (Pas) buat sekadar termampu dengan sumber kewangan dan kemudahan yang terhad,” katanya.

Pihaknya berharap sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban penerima sempena Ramadan dan Syawal ini.

Sementara itu, seorang warga emas, Endon Salleh, 70, berkata, sumbangan duit raya itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangannya yang ketika ini tinggal bersama anaknya.

“Duit yang diterima ini dapat saya gunakan untuk menampung keperluan persiapan raya sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban keluarga anak perempuan saya,” katanya yang mempunyai dua anak dan lima cucu

0 comments :

ARKIB