Friday, July 15, 2011


Titian Baru 15 Julai : Penyokong Umno digesa agar membandingkan keadaan hidup mereka dengan keadaan hidup pemimpin mereka yang diibaratkan bagai langit dengan bumi.

Kadangkala penyokong Umno terpaksa berhempas pulas untuk mencari sesuap nasi, sedangkan pemimpin mereka hidup dengan penuh kemewahan sehingga adakalanya kemewahan itu diluar jangkaan akal yang waras.

Sebagai contoh, isteri Perdana Menteri ketika ditinggal di Dubai,beliau dilaporkan telah menetap di hotel yang sewaannya mencecah seratus ribu ringgit semalaman.

Kini ada laporan pula terhadap Rosmah berkenaan harga cicin yang ada dalam simpanannya, dikatakan berharga RM24juta dan tidak dikenakan cukai.Ini sudah tentu sekiranya benar, satu pengkhianatan terhadap rakyat.

Gesaan ini dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu Ustaz Mohd Nor Hamzah dalam ceramahnya di sini semalam.

Dalam ucapannya lagi, beliau juga secara berseloroh membandingkan nasib gajah di Santuari Gajah di Kenyir adalah lebih baik berbanding nasib penyokong Umno di Terengganu.

“Gajah di Santuari tu makan RM1000 sehari.Penyokong Umno?

Maknanya gajah di Terengganu makan sedap lagi dari penyokong Umno di Terengganu,”katanya berseloroh.

Justeru itu beliau mengajak semua terutama penyokong Umno memikirkan dengan mendalam akan perkara itu yang sedang berlaku di Malaysia sekarang ini dan mengajak mereka berubah demi kebaikan mereka juga.

Ceramah malam tadi turut disertai oleh dua orang lagi pemidato hebat dari Terengganu iaitu Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ustaz Ridhuan Mohd Nor.

Manakala Ustaz Wan Sukairi (kiri) mengajak pendengar agar menjadikan peristiwa pada Israk Mi’raj sebagai panduan dalam kehidupan.

Mengambil contoh solat yang telah diwajibkan ketika peristiwa itu, walaupun kita kena mengikut imam, tetapi apabila imam melakukan kesalahan, wajib kita menegurnya dan mungkin sampai ke tahap mufaraqah.

Begitulah juga apabila hak ita sebagai rakyat dirampas, maka kita wajib menegur pemimpin.Tiada lagi ketaatan apabila pemimpin melampaui batas yang Allah tetapkan.

Inilah perkara utama menurutnya yang ditekankan oleh Bersih 2.0 baru-baru ini iaitu meminta kembali hak rakyat yang telah dirampas oleh kerajaan dan sekutu-sekutu mereka.

Dengan membandingkan keadaan pilihanraya di Turki yang menurut beliau lebih telus dan adil, beliau berharap tuntutan Bersih 2.0 akan dipenuhi kerajaan dalam masa tiga bulan, atau Bersih 3.0 akan diadakan.

“Di Turki, Election Board boleh membatalkan membatalkan kelayakan calon atau parti yang bertanding sekiranya mereka melanggar peraturan pilihanraya tak kira dari kerajaan atau pembangkang,” katanya.

Kerajaan tidak dibenarkan mengumumkan sebarang projek ketika kempen berbanding di Malaysia dimana projek-projek bukan sahaja yang sudah siap,malahan yang belum buat siap turut dirasmikan ketika kempen pilihanraya.

Ustaz Wan yang juga Setiausaha PAS Kawasan Kuala Terengganu mengakhiri pidato beliau dengan mengajak pendengar meneliti kezaliman-kezaliman yang telah dilakukan Umno kepada rakyat.

Atas alasan kezaliman inilah menurut beliau tidak melayakkan Umno untuk menjadi pemimpin rakyat.

Sementara itu penceramah terakhir, Ustaz Ridhuan Mohd Nor (kanan) pula banyak mengimbas kembali sejarah lalu yang telah terjadi kepada politik tanahair.

Antaranya ialah ketakutan Umno untuk mengadakan pilihanraya majlis perbandaran adalah kerana majoriti pengundi di bandar-bandar adalah penyokong pembangkang.Menunjukkan Umno takut kepada kekalahan.

PAS tegasnya tidak pernah takut dengan kekalahan. Sejarah telah membuktikan yang PAS walaupun ditekan, ditindas dan ada sebahagian ahli PAS diseksa, tapi PAS tetap komited dengan perjuangan.

PAS tetap memilih jalan mengikut lunas undang-undang yang ada dan ini sekaligus menafikan Bersih 2.0 yang turut disertai PAS baru-baru ini adalah gerakan untuk menjatuhkan kerajaan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan mendadak senarai pemilih di Selangor yang telah mencecah 600 ribu orang lebih.

Umno menurutnya akan pasti berhabis-habisan mempertahankan kedudukan mereka dengan apa cara sekalipun walau dengan cara yang salah.

Ini menurut Ustaz Ridhuan, adalah kerana teori domino sedang berlaku di Asia Tenggara.

“Di Thailand, kerajaan Abhisik jatuh. Di Singapura PAP telah hilang 40 peratus undi popular yang menyebabkan Lee Kuan Yew yang dikatakan antara 10 pemimpin terhebat dunia meletakkan jawatan sebagai Menteri Mentor.

Inilah yang membimbangkan Umno. Teori domino sedang berlaku di Asia Tenggara,”katanya.

Akhirnya beliau yakin perhimpunan aman Bersih 2.0 akan menjadi titik kejatuhan kerajaan Umno BN terutama dengan peristiwa kematian allahyarham Baharudin Ahmad yang sehingga kini hasil bedah siasatnya belum diumumkan.

0 comments :

ARKIB