Firman Allah Taala :
"Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang."
AKHLAK JEMAAH ISLAM
1- WALA’ KEPADA ALLAH.
Tanda wala’ kepada Allah ialah beribadat kepada Allah dan taat setia dengan kitabnya.
2- WALA’ KEPADA RASULULLAH.
Tanda wala’ kepada Rasulullah ialah taat setia dengan sunnah dan dakwah Rasulullah.
3- WALA’ KEPADA JEMAAH ISLAM.
Wala’ kepada jemaah Islam bererti menolak segala taat setia kepada golongan kuffar dan munafiqiin. Wala’ kepada jemaah Islam bererti menolak segala wala’ kepada jemaah yang bukan Islam. Tanda wala’ kepada jemaah Islam bererti mentaati jemaah Islam.
Jemaah Islam terbentuk dengan gabungan taat setia dan kesediaan anggota mukmin untuk memberikan wala’ sesama mereka sebagaimana firman Allah :
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
Ustaz Said Hawwa menyebut : Parti rabbani yang mulia ini akan menyelesaikan semua kemusykilan dan pemasalahannya dengan syura antara anggotanya yang terdidik dengan akhlak berjemaah . Firman Allah Taala :
Maksudnya : “Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya; “
Dasar jemaah Islam atau parti Islam mesti berasaskan al-Quraan dan sunnah Rasulullah S.A.W. Parti Islam mesti terdiri daripada pimpinan dan pengikut-pengikutnya. Tanda wala’ kepada jemaah Islam ialah taat kepada pimpinan. Ustaz Said Hawwa menyebut : “dan kita mesti mentaati kepimpinan mereka pada aspek politik dan keilmuan dan khususnya khalifah muslimin, jika ada kerana Allah menjadikan taat kepada pimpinan dalam perkara makruf adalah fardhu.”.
Oleh itu, tiada wala’ dan taat kepada pimpinan dalam perkara makruf adalah dosa dan maksiat. Memang taat dan wala’ kepada pimpinan adalah terikat selama mana tidak diperintah dalam perkara maksiat. Maksiat adalah perkara yang menyanggahi dan menyalahi syara’.
Pasti Islam SeMalaysia (PAS) merupakan harakah Islamiyyah yang bertanggungjawab melangsungkan perjuangan Islam yang syumul yang merangkumi politik, ekonomi, dakwah, pendidikan dan seluruhnya. PAS didasari dengan kaedah yang sangat indah dan kukuh.
1- Rujukannya ialah al-Quran, Hadis Nabi, Ijma’ dan Qias.
2- Majlis Syura Ulama’ bagi melaksanakan ruh syura dalam Islam dan kepimpinan Ulama.
3- Kepimpinan tertinggi PAS yang diketuai oleh Presiden PAS.
Oleh itu, isu muzakarah atau muqabalah sudah jelas diterangkan oleh Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS. Sepatutnya persoalan ini tidak dipertikai dan dicanggahi oleh sesiapapun. Isu muzakarah atau muqabalah telah diperjelaskan berdasarkan beberapa hujjah :
1- Kesediaan untuk bermuzakarah atau muqabalah berdasarkan Al-Quraan dan sirah Rasulullah S.A.W.
2- Kesediaan bermuzakarah atau muqabalah berdasarkan ketetapan Majlis Syura Ulama PAS.
3- Kesediaan bermuzakarah atau muqabalah bagi menunaikan hak-hak dakwah, politik dan tarbiyah. Politik tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam.
Perjelasan Presiden sudah cukup untuk menjadikan seluruh pimpinan dan anggota PAS berada pada landasan wehdatul fikri dan wehdatul amal. Memang Islam membenarkan kekhilafan dalam berfikir dan bebas dalam menyatakan pandangan dan pendapat. Tetapi Islam mengajar kita berakhlak dalam berjemaah. Pertembungan antara kepintaran pendapat peribadi dengan pendapat pimpinan membuahkan satu perselisihan dan kekhilafan yang mesti diselesaikan. Kekhilafan boleh diselesaikan dengan sifat taat yang ada dalam diri setiap anggota jemaah. Taat bermakna mematuhi satu-satu perkara atau perintah. Lawannya ialah derhaka. Kedegilan untuk mempertahankan pendapat peribadi dan tidak bersedia untuk mentaati keputusan syura dan pimpinan adalah dosa dan derhaka. Dosa ini berlaku kerana menyanggahi perintah Al-Quraan dan hadis-hadis Nabi S.A.W.
1- Firman Allah :
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya".
Perhatian :
Allah menyuruh kita mentaati pemimpin – sila baca tafsir al-Qurtubii.
2- Firman Allah :
"1. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasulnya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.
2. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara nabi, dan janganlah kamu Berkata kepadanya dengan suara yang keras, sebagaimana kerasnya suara sebagian kamu terhadap sebagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu, sedangkan kamu tidak menyadari.
3. Sesungguhnya orang yang merendahkan suaranya di sisi Rasulullah mereka Itulah orang-orang yang Telah diuji hati mereka oleh Allah untuk bertakwa. bagi mereka ampunan dan pahala yang besar.
4. Sesungguhnya orang-orang yang memanggil kamu dari luar kamar(mu) kebanyakan mereka tidak mengerti.
5. Dan kalau sekiranya mereka bersabar sampai kamu keluar menemui mereka Sesungguhnya itu lebih baik bagi mereka, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Perhatian :
Sila baca tafsir at-Tibyan, tulisan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
- Teks usrah yang menerangkan adab berjemaah.
0 comments :
Post a Comment