Saturday, March 24, 2012

Sena Rendang : Susuk tubuhnya masih kelihatan tegap, disamping wajahnya yang masih kacak walaupun sudah berusia 57 tahun dan tetap petah berbicara dalam loghat Terengganu.

Satu ketika dahulu di era 70 an dan awal 80 an, dengan stokinnya yang meleleh ke buku lali, serta tendangan “inswinger”nya yang terkenal itu, beliau tangkas berlari ke sana ke mari mengejar bola yang menjadikannya hebat di padang.

Pernah membantu pasukan Terengganu melayakkan diri ke pertandingan akhir Piala Malaysia tahun 1982 tetapi tewas 1-2 kepada Selangor.

Itulah Abdullah Ali, bekas pemain bolasepak Terengganu, Selangor dan juga kebangsaan, anak kelahiran Kampung Wakaf Kedondong, Bukit Payong.

Walaupun sudah lama meninggalkan kampung halaman, namun masih banyak lagi kenangan yang beliau ingati apabila berbicara tentang kisah silam kehidupannya di Bukit Payong semalam bersama penduduk di situ.

Pada majlis minum petang dan ramah mesra bersama Abdullah Ali semalam di Kampung Sena Rendang itu, beliau telah meluangkan masa kira-kira sejam setengah berucap dan berdailog dan menjamu selera bersama penduduk sekitar.

Dalam ucapannya beliau antara lain menjelaskan bahawa Umno memang tidak suka rakyat cerdik dan bermaklumat.

“Umno suka kalu rakyat dok (tidak) cerdik sebab dia boleh tipu dan kekal memerintah.

Kalau rakyat bermaklumat,payohlah (payah) dia nok (nak) tipu,” kata beliau.

Pengurus sebuah agensi pelancongan, umrah dan haji itu turut menyeru pemuda-pemuda Bukit Payong agar melakukan kerja-kerja dengan bersungguh-sungguh bagi meraih sokongan kepada PAS dalam pihanraya akan datang.

Antaranya seperti memujuk orang-orang tua mereka dengan memberi maklumat tentang penyelewengan Umno,kerana orang-orang tua ini mungkin tidak menyedari bahawa mereka telah, sedang dan akan ditipu oleh Umno.

Ditanya dalam temubual selepas majlis apakah yang mendorong beliau menyokong PAS, beliau memberitahu antara sebab utama yang menyebabkan beliau membuat keputusan itu ialah isu penyelewengan National Feedlot Coperation (NFC).

Baginya isu itu telah menyerlahkan kejahatan Umno menipu duit rakyat.

“Dalam isu ini saya melihat Umno begitu rakus dengan mengambil duit rakyat.

Saya nampak Umno buat ikut suka dia saja untuk mengambil duit rakyat.

Dibawah pemerintahan Umno, duit rakyat tidak dijaga dengan baik dan amanah,” tegas beliau lagi.

Dalam majlis yang turut disertai oleh Wakil Rakyat Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah itu juga telah diadakan acara penyerahan sumbangan bola yang ditandatangani oleh Haji Abdullah kepada pasukan Pemuda Sena Rendang.

Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 100 orang penduduk sekitar itu, diakhiri dengan solat asar berjemaah di Surau Sena Rendang.

Monday, March 19, 2012

Bukit Payong : Wakil Rakyat Bukit Payong, Yang Berhormat Ustaz Mohd Nor Hamzah hari ini telah merasmikan keluaran sulung "Buletin Cakna Tok Wakil Kita" terbitan Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Payong.

Penerbitan buletin tidak berkala ini adalah untuk menyampaikan mesej YB kepada semua penduduk di sekitar Bukit Payong.

Walaupun kemajuan teknologi sedang berkembang pesat dengan adanya internet, akan tetapi penyebaran berita secara sebegini tidak dikesampingkan.

“Tidak semua orang terutamanya di kawasan Bukit Payong ini mempunyai akses internet.

Oleh itu cara lama sebegini juga amat penting bagi menyalurkan maklumat terus dan betul dari wakil rakyat kepada rakyat jelata selain daripada blog dan facebook saya, yang telah sedia ada ” kata beliau.

Di dalam buletin yang diedarkan secara percuma ini pembaca-pembaca akan dihidangkan dengan aktiviti-aktiviti semasa YB Ustaz Mohd Nor yang telah dan akan dijalankan.

Ini adalah satu usaha untuk YB berada lebih dekat dengan rakyat agar komunikasi antara YB dan rakyat lebih baik dan mesra.

Beliau yang juga dikenali dengan gelaran Ustaz Ripin itu, kemudiannya menjelaskan tentang pentingnya rakyat mengetahui aktiviti-aktiviti wakil rakyat kerana dalam Islam, ketua adalah seperti khadam kepada rakyat.

Oleh itu rakyat berhak tahu aktiviti wakil rakyat sesuatu tempat itu.

Orang ramai dialu-alukan jika ingin menghebahkan sesuatu berkaitan dengan aktiviti komuniti yang melibatkan YB.

Kepada sesiapa yang berminat untuk menderma untuk kos penerbitan bolehlah berhubung dengan Pok Adik 0199656188.

Semoga dengan terbitnya buletin ini akan merapatkan lagi hubungan YB dengan penduduk-penduduk Bukit Payong yang memang sentiasa di hati YB.

Friday, March 16, 2012

Petikan Buletin Online:

KUALA TERENGGANU – Tujuan PAS mengadakan konsert-konsert kesenian dan hiburan bukan untuk berhibur semata-mata, tetapi adalah untuk mengajak orang ramai mendengar segala kata-kata nasyid dan lagu yang disampaikan.


PAS dengan itu berharap, ia dapat membuka hati-hati manusia untuk memahami agama dan memahami perjungan Islam itu adalah sangat indah serta penyelesaian melalui Islam adalah yang terbaik.

Ketua Pemuda PAS Terengganu Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, PAS tidak pernah mengharamkan muzik dan konsert, melainkan ia melanggar tuntutan dan syariat Allah.

“Semenjak PAS ditubuhkan sehingga hari ini, kerana (atas) dasar Islam kita (PAS) tidak pernah berkata bahawa muzik itu haram,

“konsert hiburan kita tidak pernah kata haram, melainkan apabila ia melanggar batas-batas agama Allah SWT,”tegasnya ketika menyampaikan tazkirah pada Konsert Gema Keinsafan, disini pada Selasa malam, 13 Mac.

Katanya, antaranya yang menjadikan muzik atau konsert itu haram menurut Islam apabila berlaku dengan muzik dan konsert itu, campur gaul yang bebas antara lelaki dan perempuan, terdedah dengan arak dan dadah, terdedah aurat yang akan melahirkan maksiat dan kejahatan.

Sehubungan itu, beliau berkata, masyarakat masakini seringkali menilai perkara ‘haram’ secara tidak tepat sehingga melupakan kemungkaran sebenar yang berlaku.

Menurutnya, kemungkaran yang lebih besar yang mesti dihancurkan adalah rasuah, pecah amanah, membolot harta rakyat, menghina Islam dan menghina RasuluLlah SAW.

Justeru itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangah Negeri (ADUN) Bukit Payung, menyeru anak-anak muda supaya menghancurkan kemungkaran ‘besar’ itu dan membuat perubahan dalam pilihanraya umum ke-13 akan datang.

“berlaku pecah amanah (dan rasuah), membolot harta rakyat, mengambil (sebanyak) RM250 juta duit rakyat untuk kepentingan keluarga, menghina Islam dan hukum Allah,

“adalah kemungkaran yang mesti dihancurkan dan diubah oleh anak-anak muda,”jelasnya.

Konsert tersebut yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Kuala Terengganu membariskan artis-artis yang sudah cenderung melakukan kebaikan dan insaf serta kembali mahu menghayati cara hidup Islam menerusi seni dan budaya.

Mereka yang diundang adalah, Empy Spring, Ali dan Mael XPDC dan Mel yang menjadi menjadi vokalis utama kumpulan Wings.

Antara lagu-lagu yang dipersempahkan berjaya menarik minat hampir 1,000 anak-anak muda dan orang ramai menyaksikan konsert tersebut adalah, Hijau Bumi Tuhan oleh Mael XPDC dan Keampunan oleh Mel Wings
KUALA TERENGGANU- Entah apa nak jadi, seorang anak sanggup mengamuk dan mengugut untuk membunuh ayahnya sendiri dalam satu kejadian pada 6 Mac lalu di Wakaf Dua, Bukit Payong, Marang.

Bagaimanapun, tindakannya itu akhirnya terbalas apabila didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh, Mohd Shaheri Mamat, 27, yang bekerja sebagai mekanik itu bersama seorang lagi rakannya telah ke rumah ayahnya, Mamat Mohd Nor, 52, di Kampung Kubang Ikan, di sini pada 6 Mac lalu kira-kira jam 1.30 pagi.

Bagaimanapun, tertuduh yang dalam keadaan marah telah membuat bising di luar rumah ayahnya, sambil membawa cota.

Tertuduh kemudiannya menyuruh ayahnya keluar, namun dia enggan kerana takut diapa-apakan. Berang dengan sikap ayahnya itu, dia dan rakannya memukul pintu cermin rumah dengan cota dan mengugut ingin membunuh ayahnya.

Ayahnya kemudian memberanikan diri lalu mengambil parang dan bertindak mengejarnya.

Terkejut dengan reaksi ayahnya, kedua-dua lelaki tersebut melarikan diri.

Bagaimanapun, pihak polis berjaya menahannya pada 8 Mac lalu, kira-kira jam 1.10 pagi di sebuah bengkel di Wakaf Dua, Bukit Payong.

Dia dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh bagaimanapun mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya, di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi.

Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM2,000 dan penjara selama dua bulan jika gagal membayarnya.

Difahamkan, tertuduh membayar denda tersebut dengan bantuan rakannya.

Sunday, March 11, 2012


Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) terpanggil untuk mempersoalkan sejauhmana sebenarnya Kerajaan Negeri Terengganu serius dan mengambil berat dalam menangani permasalahan sosial yang melanda anak-anak muda di Negeri Terengganu pada hari ini.

[Gambar - Konsert Monsson Cup di Dataran Shahbandar Tahun 2007 ]

DPPNT melihat akhir-akhir ini pelbagai program berbentuk Konsert Hiburan diadakan hampir di seluruh negeri. Terbaru BIG JAM 2012 yang akan diadakan pada 10 Mac ini di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.

Penganjuran sesebuah konsert, bukanlah menjadi satu kesalahan. Malah jika kena dengan caranya, ianya boleh mendatangkan manfaat.

Bagaimanapun, berkenaan dengan BIG JAM 2012 ini, DPPNT melihat ianya hanya bertumpu kepada hiburan semata-mata. Malah dibimbangi menjurus kepada hiburan melalaikan memandangkan konsert ini bermula seawal jam 2 petang dan berakhir sehingga jam 12 malam. Di sana juga dibimbangi berlaku pergaulan bebas, pendedahan aurat, perlakuan sumbang dan sebagainya.

Kita baru sahaja meninggalkan ‘bulan Maulud’. Hampir setiap hari di sana-sini berselawat, tidak kurang juga yang mengambil kesempatan berarak. Pelbagai sepanduk, kain rentang diusung bagi menunjukkan semangat. Semuanya dilakukan bagi menunjukkan cinta dan kasih kepada Rasulullah S.A.W. Apakah cinta dan kasih kita sebagai Umat Muhammad hanya untuk sebulan?

DPPNT juga mempersoalkan sejauh mana garis panduan sesuatu program hiburan dibenarkan diadakan di Negeri Terengganu. Apakah tiada peraturan yang boleh mengawal atau memandu sesuatu program hiburan yang ingin diadakan supaya lebih bermanfaat dan lebih sihat untuk dinikmati?

Akhirnya, DPPNT mencadangkan supaya program-program umum yang melibatkan kehadiran muda-mudi seperti konsert ini diasingkan tempat penonton lelaki dan wanita. Ini bagi mengelakkan pergaulan bebas dan memastikan wanita yang hadir dapat menjaga dirinya dari diambil kesempatan oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab.

Muhammad Zaidan Abdullah
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu

Saturday, March 3, 2012


Petikan Sinar Harian edisi cetak :


Bukit Payong : Tindakan sebuah akhbar The Star menyiarkan gambar Erykah Badu yang bertatu kalimah Allah di sisi kiri dan kanan badannya merupakan satu tindakan yang dilihat sengaja dilakukan dengan tujuan menghina Islam.

Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menyifatkan akhbar terbabit yang dikatakan milik MCA itu dilihat semakin berani mencabar kesucian Islam sejak kebelakangan ini, khususnya sejak isu hudud mula hangat diperkatakan pada tahun lalu.

Malah DPPNT mendakwa selepas dua hari isu ini hangat diperkatakan, masih tiada suara ulama-ulama Umno baik dari golongan tua ataupun muda melaungkan bantahan ataupun menyatakan pendirian mereka behubung perkara ini.

Mengulas mengenai isu ini, Ketua DPPNT, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, Umno bukanlah parti yang memperjuangkan keadilan dan kesejahteraan, oleh itu tindakan-tindakan seperti ini memang sudah dijangkakan.

Menurutnya bukti yang jelas dan terbaru ialah minggu lepas, Pemuda PAS Pusat mengajak Umno bersama mereka untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Amerika berkaitan isu pembakaran al-quran, sebaliknya mereka berarak ke pejabat PKR.

“Hal ini juga menunjukkan mereka berada dibawah telunjuk MCA yang secara jelas menghina agama Islam.

Baru-baru ini MCA dengan bangganya mengatakan bahawa mereka berani melawan Umno bagi isu-isu Islam dalam debat dengan DAP, tapi hal ini juga tiada respon dari ulamak Umno,” katanya semalam.

Beliau turut bersetuju dengan cadangan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya agar menggantung sementara permit akhbar berkenaan sementara siasatan selesai dijalankan.

Menurutnya penyiaran permohonan maaf The Star dengan saiz yang kecil, bukan harganya bagi penghinaan besar seperti ini dan pihak terbabit perlu diajar supaya menghormati sensitiviti umat Islam yang menjadi majoriti di Malaysia.

“Kita tidak boleh mengharapkan Umno dalam isu ini kerana MCA adalah rakan kongsi mereka.

Walaupun konsert Erykah itu telah dibatalkan oleh kerajaan, namun isu yang berkaitan penyiaran gambar terbabit oleh The Star itu dilihat sepatutnya ditangani dengan lebih serius.

Paling kurang kerajaan sepatutnya bertindak sepertimana kes Sarawak Tribune sedikit masa dahulu yang digantung permitnya kerana menyiarkan karikatur menghina nabi Muhammad S.A.W,” katanya

Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong turut menyifatkan pendekatan Umno berkaitan dengan Islam membabitkan isu-isu sebegini amatlah jauh bezanya berbanding dengan PAS.

Buktinya apabila rakan kongsi PAS dalam Pakatan Rakyat mengeluarkan kenyataan yang dikatakan sebagai menyokong Israel baru-baru ini, PAS dengan tegas melalui Mursyidul Amnya meminta mereka memberi penjelasan.

“Inilah perbezaan yang sangat ketara antara PAS dengan Umno dalam isu-isu agama,” katanya.

Friday, March 2, 2012



Tok Pong : YB Ustaz Mohd Nor Hamzah telah sempat meluangkan masa bersama penduduk tempatan dalam satu pertandingan memancing ikan sungai di Kampung Tok Pong petang tadi.

Beliau juga sempat mencuba memancing ikan bersama-sama dengan peserta.

Dalam majlis itu juga Ustaz Mohd Nor meluangkan sedikit masa untuk menyampaikan tazkirah kepada penduduk setempat

Beliau mengingatkan masyarakat bahawa semua yang ada di dunia ini tak kira binatang atau manusia, semuanya adalah milik mutlak Allah.

Oleh itu hendaklah masyarakat bertindak selari dengan kehendak Allah.

Pelbagai kategori telah dipertandingkan termasuklah meneka biji betik dan juga hadiah bagi cabutan bertuah.

Hadiah-hadiah adalah sumbangan PAS Cawangan Tok Pong.

Pihak penganjur merasa amat puashati atas kehadiran peserta dan juga penonton.

Dianggarkan kira-kira 400 orang penduduk hadir sebagai peserta ataupun penonton.
Bukit Payong : Ahli Parlimen Shah Alam, Yang Berhormat Khalid Samad menafikan yang beliau sekarang dalam keadaan tertekan dengan apa yang dipanggil sebagai siri pendedahan oleh Datuk Dr Hassan Ali.

Apa yang dihebahkan didalam ceramah-ceramah beliau adalah tidak lain hanya untuk menyelamatkan masyarakat daripada tertipu dengan cerita versi Hassan Ali.

Beliau berkata demikian apabila ditanya tentang sikap beliau yang kelihatan akhir-akhir ini selalu menyentuh isu berkaitan Dr Hassan Ali dalam kebanyakkan ceramah-ceramah beliau.

Sedangkan sedikit masa dulu, beliau ada menyatakan hasrat seboleh-bolehnya tidak mahu lagi melayan karenah Dr Hassan Ali.

Menurut beliau masyarakat juga perlu tahu apa sebenarnya yang terjadi dari pihaknya juga, tidak hanya cerita sebelah pihak Dr Hassan sahaja.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor takut negeri Selangor akan tergadai apabila rakyat percaya dengan cerita Dr Hassan Ali.

Sambil mengulangi penafian tertekan dengan tindakan Dr Hassan itu, beliau yakin bahawa beliau sedang melakukan perkara yang betul iaitu terpaksa menjelaskan kepada rakyat cerita yang sebenarnya.

“Rakyat perlu tahu dari mana Dr Hassan mendapat dana.

Saya hairan dengan kapasiti dia yang mana dikatakan sebanyak RM87 ribu telah dibelanjakan bagi menjayakan program-program dia,” ujar beliau.

Dalam satu lagi soalan berkenaan keputusan mahkamah yang mendapati Ahli Parlimen Sabak Bernam bersalah atas tuduhan salah guna wang, beliau yakin itu hanyalah sebagai “washing machine” kepada BN.

Khalid berpendapat ianya hanya untuk memberikan gambaran bahawa mahkamah di Malaysia sudah bersih.

Baginya juga, yang ditangkap itu hanyalah ikan bilis yang kecil, manakala jerung yang besar masih selamat.

Semalam ahli parlimen Sabak Bernam Datuk Abdul Rahman Bakri telah didapati bersalah oleh mahkamah atas lapan tuduhan membuat tuntutan palsu yang berjumlah RM80,000.

Dia dituduh membuat tuntutan itu di antara 21 Januari dan 4 Februari 2008 ketika menjadi ADUN Sungai Ayer Tawar.

Sementara itu dalam pidatonya semalam, Khalid telah menggunakan hampir keseluruhan masa ceramah beliau untuk memberitahu cerita sebenar antara beliau dan Hassan kepada penyokong-penyokong Pakatan Rakyat.

Beliau mengadakan ceramah di Kampung Paya Resak di sini semalam bersama dengan YB Chan Meng Kai ADUN Simpang Pulai, Perak dan YB Ustaz Mohd Nor Hamzah wakil rakyat DUN Bukit Payong.

Beliau juga mempersoalkan idea “Third Force” yang dicanangkan oleh Dr Hassan, hanya mengkritik Pakatan Rakyat sahaja sedangkan BN tidak pula disentuh oleh Dr Hassan.

“Kalau hendak menjadi “Third Force” dia sepatutnya mengkritik PR dan juga BN, kemudian tonjolkan kelainan idea beliau daripada kedua-duanya.

Inilah baru dikatakan sebagai “Third Force”,” tegas beliau.

Beliau mengakhiri ceramah beliau dengan menegaskan bahawa Dr Hassan Ali telah berbohong dengan semua tuduhannya terhadap PAS.

Sementara itu dalam ceramah yang sama, ADUN Simpang Pulai Encik Chan Meng Kai (kiri) pula menyeru kepada pengundi melayu agar terus memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat tanpa mengira bangsa calon.

Berpakaian baju melayu berwarna hijau dan bersongkok, beliau mengimbau perjuangan beliau yang kira-kira telah lebih dari 13 tahun, pernah dimarahi oleh bangsanya sendiri kerana menyokong PAS.

Akan tetapi atas dasar yakin dan percaya bahawa PAS bukanlah parti yang ekstrim agama seperti yang didakwa oleh rakan-rakannya, maka sekarang beliau telah melihat kebenaran atas keyakinannya itu.

Sehingga kini menurut beliau, sudah ramai kaum cina yang menyokong PAS.

Malah beliau merasa sedikitterkilan apabila ramai melayu yang tidak menyokong perjuangan PAS.

Maka kepada pengundi-pengundi melayu yang masih ragu-ragu untuk memberikan sokongan kepada PAS, beliau menyeru kepada mereka agar tidak takut untuk menyokong PAS dalam pilihanraya ke 13 nanti.

ARKIB